Thursday, June 21, 2012

Tak Rugi Kalau Dilayan Sama Rata..


Pembentangan manifesto pilihan raya oleh calon-calon yang bertanding menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuktikan kerajaan berlaku adil terhadap parti-parti politik di negara ini.

Seorang pemerhati politik berkata, semua calon diberi peluang dan ruang sama rata bagi membentangkan manifesto parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Parti-parti politik tidak kira sama ada daripada kerajaan atau pembangkang dapat menyuarakan manifesto mereka dan ia seterusnya dinilai oleh rakyat yang bakal memilih mereka serta pemilihan RTM sebagai medium untuk membentangkan manifesto parti sangat bertepatan berikutan badan penyiaran kerajaan itu ditonton oleh rakyat di bandar dan luar bandar.

Bagi LawasBoy usaha sedemikian juga membuktikan kerajaan mengamalkan sistem demokrasi dan memberi akses sama rata kepada media bagi parti politik yang mahu membentangkan manifesto dan pada masa sama, rakyat yang sudah melihat pembentangan manifesto terbabit boleh menilai sendiri kebenarannya semasa tempoh berkempen calon.


140 Penduduk Dahaga Air Bersih..


Seramai 140 penduduk daripada 30 keluarga yang menghuni Rumah Tutong Muyan, Gua Sukat mengalami masalah kekurangan bekalan air bersih teruk sejak dua bulan lalu.

Mereka hanya bergantung sumber air minuman, membersih pakaian dan mandi-manda dari sebatang air sungai yang kotor, berhampiran rumah panjang mereka.

Menurut tuai rumah berkenaan Tutong Muyan, 73, sebelum ini anak buahnya mempunyai bekalan air mencukupi yang disalurkan menerusi kemudahan Air Graviti Bukit (AGB) yang telah siap dibina oleh kerajaan pada November tahun lalu.

Namun AGB itu sering sahaja tersumbat di empangannya apabila musim hujan lebat dan kekurangan air bertakung pada musim kemarau seperti pada masa kini.


Tuesday, June 12, 2012

Perebutan Jawatan Tuai Rumah Berlaku??


Sepatutnya penduduk di rumah panjang tidak seharusnya merebut jawatan Tuai Rumah kerana ia bukan satu jawatan untuk meraih populariti..Jawatan Tuai Rumah tidak seharusnya digunakan untuk menunjuk-nunjuk serta menyalahgunakan kuasanya.

Perasaan ingin merebut jawatan Tuai Rumah boleh mengundang perpecahan di kalangan penduduk dan tanggapan bahawa jawatan Tuai Rumah adalah sesuatu yang popular harus segera dihentikan. Ini kerana jawatan itu hanya diberikan kepada mereka yang layak serta menepati beberapa kriteria yang ditetapkan.

Oleh yang demikian jangan inginkan jawatan Tuai Rumah bagi mempopularkan diri sendiri yang bertujuan untuk menyalahgunakannya bagi melakukan kerja-kerja yang tidak baik.

...Lebih baik kita bersaing dari segi pendidikan, kehidupan atau perkara lain supaya tidak ketinggalan dengan bangsa lain daripada membuang masa untuk merebut jawatan Tuai Rumah...


Formula Pembahagian Kerusi BN Bonus Bagi PR


Formula baharu pembahagian kerusi antara parti komponen Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai bonus daripada BN untuk Pakatan Rakyat (PKR) menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Publisiti PKR See Chee How yang meragui kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu musykil sama ada beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah mendapat kelulusan daripada Majlis Tertinggi BN sebelum membuat komen seperti itu.

Komen tersebut menurut Chee How yang juga ADUN Batu Lintang boleh membawa kepada kacau-bilau terhadap parti komponen BN sendiri.

Dengan keputusan sebelum ini untuk menggantung pinjaman PTPTN bagi pelajar Unisel (keputusan itu ditarik balik dua hari kemudian) dan sekarang perkara ini, nampaknya beliau seolah-olah merendahkan kepimpinan Perdana Menteri dalam negara.


Terima Kasih Kerajaan...


Rakyat harus menghargai dan berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah berjaya membela nasib rakyat di seluruh negeri walaupun ada segelintir permasalahan tidak dapat dilaksanakan lagi..

Inilah sebenarnya matlamat utama BN untuk membela nasib rakyat dengan menyalurkan pelbagai projek pembangunan, tidak mengira di bandar mahupun luar bandar..Malah kerajaan juga tidak meminggirkan mana-mana kawasan daripada pembangunan malah sentiasa berusaha membahagikan sama rata segala projek di semua kawasan..

Untuk membuktikan komitmen rakyat terhadap kerajaan selama ini, sokongan rakyat terhadap kerajaan harus diteruskan untuk memastikan kesinambungan projek pembangunan di negeri ini dan sekiranya rakyat tidak menyokong usaha kerajaan, mereka tidak akan dapat menikmati segala kesenangan yang dirasai seperti hari ini.

Jadi walaupun ada pembangunan yang belum lagi dinikmati oleh rakyat, kita sebagai rakyat haruslah bersabar dan sentiasa berkeyakinan dengan kerajaan sedia ada..

Monday, June 11, 2012

Sampai Bila Macam Ni...


Kira-kira 300 penduduk dari tiga rumah panjang di kawasan Ulu Roban kini berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Keperitan ini menjadi lebih teruk lagi setiap kali musim kering atau kemarau tiba kerana hampir semua penduduk di kawasan ini bergantung kepada sumber daripada air tangki yang ditadah semasa hujan turun.

Namun berikutan kebanyakan aktiviti harian bergantung terus kepada sumber tersebut, telah menjadikan simpanan air dalam tangki berkenaan tidak mencukupi.

Penduduk kampung, Ingka Burau, 50, berkata mendapatkan sumber air bersih untuk diminum, kebanyakan penduduk terpaksa membelinya di pekan Roban atau mengambil air dari rumah panjang sanak saudara berhampiran yang sudah mendapat bekalan air bersih dan daripada pihak ladang SALCRA.


Jangan Hanya Tunngu Bila PRU....


Segala pembohongan dan fitnah yang dilemparkan mereka yang tidak bertanggungjawab tidak melemahkan semangat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk terus bekerja keras demi pembangunan rakyat, kata Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat.

Menurut beliau, sebaliknya ia menguatkan lagi semangat wakil rakyat BN untuk terus bekerja keras demi memastikan rakyat sentiasa hidup senang.

Dalam pada itu, Masir berkata rakyat harus berfikiran terbuka dan menyokong dasar-dasar pembangunan yang telah dan bakal dilaksanakan kerajaan agar negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menurutnya, sokongan padu rakyat daripada gai parti komponen Barisan Nasional (BN) serta rakyat berbilang kaum amat diperlukan dalam memastikan pembangunan yang dirancang berjaya direalisasikan.



Friday, June 8, 2012

Wakil Rakyat Juga Harus Bersikap Terbuka..


Pemimpin masyarakat di daerah ini harus berfikiran terbuka dan sentiasa bersedia menerima pandangan anak-anak buah mereka, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, pemimpin masyarakat tidak semestinya menggunakan idea sendiri pada setiap masa, sebaliknya mereka perlu mendengar pandangan atau buah fikiran yang disuarakan oleh anak-anak buah mereka.

Ini bukan bermakna idea pemimpin masyarakat tidak penting atau tidak berguna. Pandangan anak-anak buah mungkin boleh memperluaskan sesuatu skop perbincangan atau meningkatkan keberkesanan pelaksanaan sesuatu perkara.

Pemimpin yang bijaksana ialah pemimpin yang sanggup mendengar buah fikiran orang lain. Usah terlalu berkeras untuk menggunakan idea sendiri kerana permuafakatan adalah teras bagi kejayaan..

......Bukan pemimpin masyarakat sahaja tetapi wakil rakyat juga seharusnya berfikiran terbuka sama...bekerjalah untuk rakyat..majukan rakyat..kayakan rakyat yg miskin dan bukan rakyat yg mengkayakan wakil rakyat...

Parti Politik Harus Diberi Siaran Adil, Saksama


Parti-parti politik sepatutnya dibenarkan untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandangkan pentadbiran RTM dijana menggunakan duit rakyat.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Sarawak Wong Ho Leng berkata, pentingnya parti-parti politik diberikan siaran had masa yang adil dan saksama tanpa mengira parti politik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

Jika dilihat sebelum ini, parti politik BN diberikan sepenuhnya had masa siaran. Parti politik pembangkang turut diberi sama, tetapi hanya yang merugikan pihak mereka (pembangkang).

Begitu juga ahli politik BN yang membuat tuduhan tidak berasas dibenarkan siarannya, sebaliknya ahli politik pembangkang tiada pendekatan atau saluran untuk menyangkal dan menjawab.


Petrol Dan Harga??


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri mahu kerajaan lebih serius dalam usahanya menurunkan harga bahan api di negara ini.

Pengerusinya, Baru Bian berkata, keikhlasan kerajaan berbuat demikian masih kurang jelas kerana rakyat sudah tentu akan membuat kesimpulan bahawa keputusan itu hanyalah gimik politik disebabkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Apapun, katanya, PKR Negeri menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa semalam.

“Kerajaan mesti kelihatan lebih serius menurunkan harga petroleum. Setakat ini kita tidak melihat begitu (kerajaan cukup serius berbuat demikian). Apapun, masa akan memberitahu kita sama ada ini usaha ikhlas kerajaan menurunkan harga petroleum,” ujarnya.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, ironinya Malaysia merupakan pengeluar petroleum tetapi rakyat masih perlu membayar harga tinggi untuk bahan api itu.


Thursday, June 7, 2012

Penantian Satu Penyiksaan..


Kenapa biarkan kami menunggu terlalu lama untuk mendapatkan keputusan bagi tuntutan hak Bumiputera ke atas Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Rangau/Buangkurapu Kampung Patiambun yang dibuat sejak tahun 1999?”

Itulah rintihan seorang lelaki, Tapah Bangkol, 72, bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya yang terpaksa menanti sejak lebih 13 tahun untuk mendapat keputusan daripada pihak terbabit mengenai tuntutan hak Bumiputera ke atas tanah berkenaan.

Tapah bersama 13 penuntut lain mendakwa mereka adalah penduduk asal Kampung Rangau dan mengemukakan tuntutan ke atas tanah tersebut sejak bulan Oktober 1999 melibatkan keluasan 124.189 hektar, namun sehingga kini tiada jawapan.

Beliau menjelaskan, pada mulanya tuntutan ke atas tanah berkenaan dibuat oleh 19 orang penduduk asal kampung itu, namun ada antara me-reka tidak sempat membuat tuntutan kerana sudah meninggal dunia.

Jelas Tapah lagi, kebanyakan mereka adalah generasi ketiga yang berasal dari Kampung Ranggau sebelum kawasan itu dibangunkan untuk pembinaan Lapangan Terbang Baharu Limbang.


Tiada Kejutan,Donald Vs Masir..


Hasrat bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Donald Lawan bertanding atas tiket Bebas menentang Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti tidak mengejutkan rakyat Sri Aman.

Ini berikutan khidmat Donald yang merupakan rakan rapat Masir sebelum ini sudah tidak relevan di hati para pengundi di Parlimen Sri Aman terutamanya ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) lagi.

Ketua Pergerakan Pemuda PRS Balai Ringin, Tuai Rumah Alex Libau mendakwa rakyat sudah maklum Donald sudah pasti tidak akan dipilih pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk menggantikan Masir selaku calon PRS mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU13 kelak.

Alex berkata, bapa kepada ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan itu harus sedar bahawa kejayaan BN sebenarnya terletak di tangan pengundi sekali gus tidak akan menggentarkan rakyat DUN Balai Ringin nanti.

“Wakil rakyat boleh disamakan seperti peguam namun rakyat adalah hakim dan keputusan tetap di tangan kami untuk menentukan mereka betul atau salah dan menang atau kalah.


SUPP Dan PRU13??


Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diyakini mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Sibu dan mengekalkan Lanang serta Sarikei pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, ini kerana operasi dan pergerakan parti di konstituensi tersebut diterajui oleh Dato Sri Wong Soon Koh.

Ini kerana beliau lebih memahami isu dan keadaan politik setempat.

Wong yang juga dihubungi turut menyuarakan keyakinannya bahawa SUPP akan mengekalkan Lanang dan Sarikei serta merampas semula Sibu untuk Barisan Nasional (BN).

Sudah tentu kita perlu mempertahankan kerusi Lanang serta Sarikei dan memenangi semula kerusi Sibu.


Wednesday, June 6, 2012

Penduduk Pengotor Atau Tak Ada Tong Sampah?


Hulu Sungai Bedil yang terletak di Kampung Astana Lot antara sungai terkotor dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang dengan dipenuhi pelbagai sampah dan sisa makanan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, keadaan itu disumbang sikap penduduk yang gemar membuang sampah ke dalam sungai.

Malah, menurutnya, sungai yang menjadi sumber pengangkutan utama penduduk dahulu kini tersekat disebabkan longgokan sampah dan sisa buangan penduduk.

Memang sungai ini kurang bersih. Perubahan minda perlu agar penduduk tidak membuang sisa makanan dan kotoran di dalam sungai.

Sungai ini agak teruk berbanding sungai lain di kawasan saya..


Benarkah Aedes Dah Pupus Di Lawas??


Jabatan Kesihatan Negeri semalam mengesahkan wabak denggi di Lawas kini berakhir dengan mengambil kira tidak ada kes baharu dicatatkan pada minggu ini.

Pengarahnya, Dr Zulkifli Jantan bagaimanapun tidak menafikan terdapat 25 kes positif direkodkan sejak beberapa minggu lepas sebelum perayaan Gawai Dayak.

Saya boleh katakan wabak itu kini berakhir memandangkan tidak ada kes baharu dalam minggu ini.

Namun Menteri Muda Kesihatan Dr Jerip Susil memberitahu beliau tidak dapat menjelaskan situasi di Lawas melainkan epidemiologi menyatakan demikian.

Beliau bagaimanapun berjanji akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai situasi tersebut.

Tetapi mungkin ada penjelasan lain kenapa orang mengalami demam.


Tuesday, June 5, 2012

Peduli Apa Aku??


Parti Pekerja Sarawak (SWP) tidak akan berganjak daripada keputusan untuk meletakkan calon di enam kerusi Parlimen milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) meskipun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tidak mengiktiraf konsep mesra BN yang dinyatakan parti itu sejak penubuhannya.

Presidennya Larry Sng berkata, beliau tidak terkejut dengan ulasan Najib yang menyarankan agar SWP tidak menentang PRS jika benar mereka rakan BN kerana ia disifatkannya sebagai untuk ‘kegunaan umum’.

“SWP kekal dengan pendirian untuk bertanding hanya di kerusi-kerusi PRS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Larry yang juga bekas ADUN Pelagus dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata lagi, jika menang mereka akan bekerjasama dengan BN.

“Selepas menang kami akan mengundi BN dalam Parlimen,” katanya yang pernah menjadi antara pemimpin dalam PRS.


Adakah Kaum Dayak Sokong SUPP???


Sokongan masyarakat Dayak terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masih kukuh terutama di kawasan tradisional milik parti ini.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin berkata dakwaan bahawa sokongan kaum ini kepada SUPP semakin merundum adalah tidak tepat.

Katanya jika SUPP tidak lagi relevan kepada kaum Dayak, sudah pasti mereka akan keluar daripada parti tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehingga ke saat ini, SUPP katanya tidak menerima sebarang peletakan jawatan atau keluar parti daripada kalangan ahli-ahli Dayak.

“Tanggapan mudah sesetengah pihak bahawa SUPP telah kehilangan sebahagian besar sokongan masyarakat Dayak pada saya adalah tidak tepat.

“Saya sendiri baharu sahaja berkunjung ke kawasan Dayak untuk sambutan Gawai dan apa yang saya dapati ialah, SUPP nampaknya agak popular di kalangan mereka,” katanya.


Kawan Jadi Lawan???


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Donald Lawan dikhabarkan akan aktif semula dalam arena politik negara.

Menurut sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Iban, Donald dilaporkan amat berminat bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai calon Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN).

Tabloid itu melaporkan beliau berminat terhadap kerusi Parlimen Sri Aman yang ketika ini diperuntukkan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Masir Kujat selaku penyandang.

Menariknya Masir dan Donald merupakan sahabat baik malah umum sedia maklum Donald pernah membantu melobi pencalonan Masir mewakili BN pada PRU Ke-12 (2008).

Namun, tidak dapat dipastikan hasratnya itu mempunyai pertalian dengan kemungkinan Masir akan digantikan dengan calon BN yang baharu ekoran laporan-laporan kurang menyenangkan daripada ketua-ketua masyarakat di situ.

Tabloid itu pula dengan jelas menyatakan Donald akan memastikan impiannya menyingkirkan Masir sebagai Ahli Parlimen Sri Aman menjadi realiti.


Perjuangan BN Tiada Noktah...


Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Sarawak mengecapi pembangunan yang lebih besar dan ekonomi yang maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, perjuangan politik pembangunan pemimpin BN membangunkan negeri ini tidak akan terhenti begitu sahaja walaupun telah terbukti berjaya mentransformasikan Sarawak selama lima dekad.

“Perjuangan kita tidak akan habis. Kita akan teruskan politik pembangunan kita. Kita mahu yang lebih besar lagi,” tegasnya.

Taib turut berterima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepada beliau dan BN memimpin negeri ini dan menang dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Usaha kerajaan negeri membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) antara contoh rancangan besar kerajaan untuk memperkuatkan ekonomi rakyat dan negeri.

Nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama di seluruh pelosok negeri ini diberi perhatian agar rakyat dapat mengecapi bersama pembangunan yang dirancangkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...