Tuesday, October 16, 2012

Taktik Kotor PR Semakin Terserlah

Taktik kotor Pakatan Rakyat (PR) semakin terserlah sejak akhir-akhir ini ekoran tindakan parti pembangkang itu mengaitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) akan beralih arah, kata Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof.  

Beliau berkata, pihak terbabit sebenarnya sudah ketandusan idea untuk memburuk-burukkan BN dan menyebabkan mereka menggunakan serangan peribadi.

“Mereka sebenarnya sudah tidak ada idea lagi. Ini membuatkan mereka sanggup menggunakan serangan peribadi. 

“Taktik kotor ini adalah usaha untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan itu juga merupakan langkah pembangkang untuk menimbulkan kekeliruan dalam parti komponen BN. 

“Tindakan mereka ini memang tidak boleh diterima. Apa yang mereka lakukan ini tidak lagi untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi lebih kepada serangan peribadi,” ujarnya.

Wakil Rakyat Lubok Antu Mesti Anak Tempatan, Dayak

Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menegaskan bahawa pemimpin yang layak menjadi wakil rakyat kawasan Parlimen Lubok Antu hanyalah anak tempatan Lubok Antu dan bangsa Dayak.

Sehubungan itu sekiranya ada calon luar Lubok Antu serta bukan bangsa Dayak terutama Iban, berminat bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Lubok Antu nanti harus ditolak sama sekali, ujarnya.

Menurutnya, hampir 99 peratus pengundi di kawasan Lubok Antu adalah kaum Iban maka dengan itu wakil rakyat yang harus menjadi pemimpin di Lubok Antu adalah bangsa Iban serta anak jati tempatan Lubok Antu sendiri.

“Kita bukan bersifat perkauman tetapi itu merupakan realiti politik di negara ini di mana kita saksikan sekiranya sesebuah kawasan itu majoriti Cina, maka Cina akan menjadi wakil rakyat begitu juga dengan kaum India.

“Lantaran itu kawasan Lubok Antu yang majoritinya kaum Iban maka berilah peluang kepada bangsa Iban menjadi wakil rakyat BN di sini,” katanya.

BN Ada Perancangan Pembangunan Strategik

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan pembangunan strategik selaras dengan era global dan menggunakan persaingan bagi membawa kemajuan. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud adalah pemimpin yang berpandangan jauh dengan perancangan yang cukup strategik untuk negara dan negeri ini.

“Dalam masa 55 tahun selepas merdeka, ramai pemimpin dari negara asing sudah mengetahui bagaimana kekuatan kita dan ramai daripada mereka ini melihat pembangunan sedia ada di Malaysia,” katanya. 

Berucap semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah Ketua Kaum Edmund Abang di Melinau, Mulu, dekat sini, Jacob turut menggesa masyarakat di Baram sentiasa bersama kerajaan BN agar mereka mampu mengecapi pembangunan dan kemajuan yang dibawa BN.

“Masyarakat Baram tidak mendapat apa-apa kemajuan dan pembangunan yang dibawa ke Baram sepanjang mereka dikuasai pembangkang sehinggalah Baram ‘diambil balik’ oleh BN pada 1995 (melalui kemenangan Jacob pada pilihan raya tahun 1995),” katanya. 

“Kita terpaksa mengambil masa antara lima hingga sepuluh tahun untuk membuat perancangan pembangunan di Baram. 

“Justeru kita harus belajar daripada kesilapan tersebut, (mengundi pembangkang),” tambah beliau lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...