Monday, September 10, 2012

Kerajaan Hargai Sokongan Rakyat

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai sokongan padu daripada rakyat sebagai usaha untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, sokongan berterusan rakyat kepada kerajaan BN akan memantapkan lagi pelaksanaan program pembangunan negara bagi mencapai Wawasan 2020, jelas beliau.

Menurutnya, rancangan pembangunan kerajaan yang mencakupi aspek politik, ekonomi dan sosial tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa adanya sokongan rakyat dari segenap lapisan di negara ini.

“Atas sebab inilah saya mahu rakyat sedar bahawa jangan biarkan diri mereka dijadikan sebagai alat oleh sesetengah pihak yang mahu menggugat kestabilan politik di negara kita ini,” katanya.


Tolak Anasir-Anasir Luar

Rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar kerana dikhuatiri akan menggugat keharmonian dan kemesraan yang mengukuhkan semangat perpaduan kaum yang dikecapi selama ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin meminta rakyat untuk mempertahankan keamanan, kestabilan serta keharmonian sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usahlah kita mendengar anasir-anasir tidak baik yang sekadar untuk kepentingan diri sendiri malah hanya hadir semasa pilihan raya dan akan menghilang apabila pilihan raya berakhir,” jelasnya.

Akar Umbi Kekuatan Pemimpin

Kekuatan seseorang pemimpin bergantung kepada sejauh mana sokongan rakyat di peringkat akar umbi yang menilai kepimpinan pemimpin itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun menyifatkan rakyat sebagai penilai sebenar pucuk pimpinan kerajaan.

Kita menilai kekuatan seseorang pemimpin itu berdasarkan sejauh mana sokongan rakyat sendiri yang menilai dan memilih pemimpin yang ikhlas berkhidmat demi rakyat,” jelasnya.

Katanya rakyat perlu bersatu padu dan sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan yang rancak direncana dan dilaksana oleh kerajaan.

Kejayaan pembangunan yang dikecapi kita hari ini, hasil semangat bersatu padu di kalangan masyarakat berbilang bangsa. Negara kita terus maju dengan keadaan politik yang kukuh,” ujar beliau.


DAP, Mas Gading?

Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempergiatkan usaha merampas kawasan Parlimen Mas Gading daripada penyandangnya, Barisan Nasional (BN).

Calon DAP Mas Gading Mordi Bimol dalam ceramahnya di pekan Bau malam kelmarin berkata sudah tiba masanya untuk rakyat di kawasan ini menumbangkan BN dan menaikkan Roket (DAP).

Katanya rakyat di kawasan ini telah memberikan peluang yang terlalu lama untuk BN memerintah Mas Gading, namun pembangunan yang dinikmati tidak seperti yang dijanjikan.

Saya menerima banyak keluhan dan aduan daripada penduduk di kawasan Mas Gading terutama di kawasan kampung-kampung di mana mereka masih tidak dibekalkan dengan bekalan air bersih dan elektrik.

Wakil rakyat seharusnya berani membawa masalah rakyat dan memperjuangkan hak-hak rakyat dan bukannya mendiamkan diri dan menikmati dengan sewenang-wenangnya kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Oleh itu, kita perlu ubah. Penduduk di Mas Gading perlu memberi peluang kepada saya dan DAP untuk memerintah bagi penggal seterusnya,” katanya dengan penuh keyakinan di hadapan kira-kira 500 penduduk yang menghadiri ceramah berkenaan.


Sarawak Mohon Dana Tambahan Perbanyak Prasarana

Kerajaan Sarawak akan memohon dana tambahan daripada kerajaan perseku­tuan untuk melaksanakan lebih banyak projek pem­bangunan prasarana, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyar­akat Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh semalam.

Beliau berkata lebih banyak dana diperlukan untuk menye­diakan kemudahan prasarana di Koridor Tenaga Diperba­harui Sarawak (SCORE) dan menambah baik jalan utama antara Sematan dan Lawas.

Wong, yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata demikian apabila ditanya ten­tang harapan Sarawak dari­pada Belanjawan 2013 yang akan dibentang di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program kesihatan Aktiviti Berjalan 10,000 Langkah Merdeka Peringkat Sibu di Padang Bandaran Sibu di sini.

Mengenai program tersebut, beliau berkata ia merupakan satu lagi langkah untuk meny­edarkan orang ramai tentang pentingnya melakukan sena­man untuk sentiasa sihat dan cergas.


Kenaikan RON97 Tidak Jejas Pengguna

Kenaikan harga RON97 daripada RM2.70 seliter kepada RM3 sejak tengah malam Rabu lepas tidak menjejaskan ramai pengguna memandangkan rata-rata menggunakan RON95.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah akan menyebabkan kenaikan harga sesetengah barang, atau lebih teruk, akan disusuli dengan kenaikan RON95.

Ketika ditemui Utusan Borneo kelmarin, Mohd Azli Ejas menyifatkan kenaikan RON97 sebagai sesuatu yang lumrah dan merupakan perkara yang dijangkakan.

“Apa yang saya khuatiri, akan ada sesetengah pihak akan menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan harga barangan, kononnya kos pengangkutan naik,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Beliau yang berasal dari Muara Tuang menjelaskan, bagaimanapun kenaikan itu tidak menjejaskan keluarga berpendapatan sederhana memandangkan mereka memilih untuk menggunakan minyak subsidi, RON95.

Belajar Sampai Ke Negeri China

Segulung ijazah lebih besar maknanya berbanding sebidang tanah.

Demikian peringatan berbaur nasihat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada masyarakat di negeri ini khasnya Melayu dan Bumiputera.

Menyedari kepentingan pendidikan untuk jaminan masa depan, Wan Junaidi berkata biarlah anak-anak menangis kerana tidak dapat ke sekolah daripada menangis kerana tidak mahu ke sekolah.

“Orang Melayu Bumiputera, kalau hendak berjaya perlu ada pendidikan dan istilah ‘Belajarlah sampai ke negeri China’ perlu difahami dan dijadikan sebagai cabaran untuk belajar setinggi yang mungkin.

“Saya masih ingat, sebidang tanah yang dimiliki oleh keluarga saya pada suatu ketika dulu masih tiada nilainya pada hari ini tetapi segulung ijazah yang saya miliki inilah yang menjadikan saya sebagai seorang yang berjaya hari ini,” ujarnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...