Apakah masalahnya, demikian keluhan dan persoalan yang dilemparkan ketua-ketua kaum di negeri ini terhadap pelaksanaan kenaikan elaun mereka kepada RM800 sebulan seperti yang dijanjikan pada Belanjawan 2011.
Sudah hampir dua tahun dilaksanakan, mereka masih lagi menikmati kadar elaun lama RM450 sebulan meskipun difahamkan di Semenanjung Malaysia, golongan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah menikmatinya sejak Januari 2011.
“Kenapa bagi Sarawak terlalu lama, sudah hampir dua tahun berlalu tapi kami masih belum mendapat faedah kenaikan elaun ini,” kata salah seorang ketua kaum ketika ditemu bual di sini, semalam.
Menurutnya, pegawai Jabatan Ketua Menteri semasa taklimat pada tahun lepas mengumumkan bahawa mereka akan menikmati kadar elaun baharu itu dalam masa terdekat namun sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.
Tambahnya, perkara tersebut juga sering dibangkitkan semasa mesyuarat ketua-ketua kaum tetapi tetap tiada penyelesaian di mana kesemua mereka hanya sekadar mampu berdiam diri.