Tuesday, November 20, 2012

BNBBC Sarawak Akan Lebih Tegas, Lantang

Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak akan bersuara dengan lebih tegas dan lantang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini.

Pengerusi BNBCC Abdul­lah Saidol berkata pihaknya bukan sahaja akan bertegas mengenai isu di ka­wasan masing-masing tetapi juga mengenai kepentingan serta masa depan negara.

“Kami BNBBC Sarawak telah diperingatkan oleh Ketua Menteri untuk sentiasa mematuhi peraturan persi­dangan serta tidak takut un­tuk menyuarakan kehendak pembangunan di kawasan masing-masing. 

“Pada masa yang sama, BNBBC Sarawak juga bersedia untuk berdepan dengan kerenah pembangkang yang sentiasa bising tetapi tiada keikhlasan dalam soal kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Utusan Borneo.

BN Bincang Persiapan PRU13

Persiapan ber­sama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain un­tuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah antara isu yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tert­inggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) semalam. 

Perkara tersebut diberitahu oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menerusi sidang media selepas mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat PBB, Jalan Bako dekat sini. 

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Presi­den PBB dan Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

“Kita tidak tahu tarikhnya tapi jentera kita sentiasa ber­siap sedia pada bila-bila masa pilihan raya diumumkan. 

“Sekarang adalah masa bagi kita untuk mengemas kini per­siapan khususnya di kalangan parti-parti komponen BN,” katanya.

Ibu Bapa Kaum Cina Harus Galak Anak-Anak Terlibat Dalam Sukan

Ibu bapa kaum Cina amnya harus menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri dalam sukan dan permainan tradisional serta kebudayaan kaum itu bagi membentuk watak serta pembangunan minda mereka. 

Temenggung Vincent Lau berkata, pendedahan awal mereka dalam apa juga jenis sukan dan permainan kaum Cina amat penting untuk jangka masa panjang. 

“Ini bukan sahaja membantu membentuk watak mental mereka, tetapi juga akan memupuk minda yang sihat dan akhirnya membuat anak-anak orang yang lebih baik,” katanya pada majlis perasmian Pertandingan Catur Persatuan Catur Cina Bahagian Sibu kali ke-21, di sini baru-baru ini. 

Mengenai catur tradisional Cina, Lau berkata ini adalah satu aktiviti yang sihat dan patut diberi pengiktirafan oleh masyarakat Cina. 

Beliau menyifatkan catur Cina sebagai permainan yang baik dan sihat, selain turut membantu memupuk serta membangunkan keupayaan pemikiran seseorang.

Jangan Pandang Ringan Isu Perpaduan Kaum

Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak memandang ringan isu perpaduan kaum yang merupakan tunjang kepada keamanan dan kesejahteraan rakyat. 

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata keharmonian yang dikecapi sekarang harus dipertahankan dari sebarang anasir atau cubaan yang memporak-perandakan perpaduan rakyat. 

Sehubungan itu, rakyat diminta untuk tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan sentimen perkauman yang akan memberi kesan buruk menyeluruh terhadap pembangunan negara.

“Sejarah telah menunjukkan secara jelas yang aspek perpaduan amat penting untuk dipertahankan. Oleh itu, sekiranya kita mahu membangun seperti negara lain kita perlu terus bersatu,” katanya pada majlis makan malam Deepa-Raya di Kelab Gymkhana Miri (GCM), malam kelmarin. 

Lee berkata, sentimen kebencian yang cuba disebarkan oleh segelintir pihak harus disekat dari mempengaruhi rakyat khasnya terhadap dasar dan pelan pembangunan kerajaan. 

“Mereka yang mahu menanam perasaan benci ini mempunyai agenda dan kepentingan kerana mahu melihat kita berada dalam keadaan kucar kacir. Tanpa perpaduan, negara kita sukar untuk membangun,” jelasnya.

Penduduk Lega Jalan Ban Siap Sepenuhnya

Penduduk Kampung Perpat, Kabong melahirkan perasaan lega setelah jalan ban mengelilingi kampung berkenaan telah siap sepenuhnya baru-baru ini. 

Ketua Kampung Hulu Perpat, Madeli Darahman ditemui melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan ban keliling kampung tersebut dan menyelamatkan hasil pertanian penduduk kampung daripada ditengelami air pasang serta mempunyai pengaliran air teratur. 

“Pelaksanaan projek itu adalah di bawah agensi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Saratok dan kami amat berpuas hati dan lega kerana telah meluluskan permohonan kami ini,” katanya. 

Justeru, katanya, penduduk berharap tali air (ban) itu dinaik taraf bagi kegunaan penduduk. 

Sekiranya diletakkan batu atau diturapkan, ban itu dapat memudahkan perjalanan penduduk untuk membawa hasil pertanian ke jeti kampung itu sekali gus dihantar ke luar kawasan kampung terbabit.

Ahli SPDP Keluar Parti

Tindakan sebilangan ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang didakwa keluar meninggalkan parti itu sememangnya sudah dijangka.

Pengerusi SPDP Bahagian Bukit Assek, Kaunselor Tiong Yong Hin berkata itu bukanlah suatu isu besar, malah tidak memberi sebarang impak besar kepada parti. 

Katanya, parti itu (SPDP) juga sememang sudah bersedia dari awal lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ahli yang keluar meninggalkan parti. 

“Bahagian Bukit Assek jikalau digabungkan dengan cawangan Tiong Hua, Kapor Lima dan Keladi mempunyai seramai 2,500 ahli. 

Kira-kira 70 peratus daripada ahli terbabit adalah kaum Cina.” “Jadi di mana 700 orang ahli yang didakwa bekas Kaunselor Engga Unchat meninggalkan parti itu seperti yang tersiar di akhbar baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat parti peringkat wilayah tengah, di sini semalam. 

Tiong berkata, pihaknya memberi ‘tabik’ kepada Engga sekiranya beliau berjaya mendapatkan seramai 30 orang daripada 930 ahli yang didakwanya keluar SPDP.

Banjir Di Baram Kian Pulih

Keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di pedalaman Baram semakin pulih dengan paras air mulai menunjukkan tanda-tanda semakin surut. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu bahawa keadaan banjir yang melanda Baram dijangka pulih sepenuhnya dalam masa sehari atau dua hari lagi. 

“Keadaan banjir kini semakin pulih dengan paras air mulai surut di kawasan hulu dan beberapa kawasan yang dilanda banjir termasuk di Long Lama dengan jalan-jalan sudah dapat dilalui kenderaan,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam. 

Menurut Dennis lagi, di kawasan terjejas banjir, bekalan makanan dan keperluan asas sudah diedarkan dari rumah panjang ke rumah panjang oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri. 

“Antara yang terjejas teruk sebelum ini ialah Long Bemang dan Long Panai di mana bekalan makanan sudah diedarkan pada minggu lepas. 

“Bagaimanapun keadaan banjir di kedua-dua kawasan semakin pulih dan paras air sudah mulai surut berbanding sebelumnya,” jelas Dennis lagi yang baharu kembali dari Ulu Baram.

Penduduk Gembira

Penduduk di Lorong 9, Kampung Bahagia Jaya Fasa III di sini merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana telah menurap jalan masuk ke rumah-rumah mereka dengan tar.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bahagia Jaya Fasa III, Narok Injing berkata kerja menaik taraf jalan sepanjang satu kilometer itu telah siap diturap pada 15 November lalu.

“Kami gembira jalan siap sepenuhnya sekarang. Justeru, saya menggesa semua penduduk untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang,” katanya di sini, semalam.

Narok, 64, mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Residen Bahagian Sibu, Pejabat Daerah Sibu, Majlis Perbandaran Sibu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee dan Temenggung Vincent Lau.

Ketua Mesti Kemukakan Profil Kampung

Ketua kampung mesti mengemukakan profil kampung mereka kepada Pejabat Daerah masing-masing bagi memastikan kelancaran operasi apabila melancarkan bantuan atau pembangunan. 

Timbalan Residen Kuching (Pembangunan) Zamahari Saidi berkata profil harus mengandungi jenis maklumat penting yang membolehkan mereka melakukan perancangan masa depan. 

“Profil adalah penting supaya kita tahu demografi orang yang tinggal di kampung tersebut. 

“Sebagai contoh, jika kita mahu mengadakan acara di kampung, kita boleh memberitahu dengan cepat jika kampung tersebut mempunyai sebuah dewan masyarakat dan berapa ramai orang yang dapat ditampung.

“Dengan itu, kita tidak perlu untuk memanggil pemimpin masyarakat dan ini akan memudahkan,” katanya ketika melancarkan Pengesahan Pendaftaran Baharu e-Kasih untuk pemimpin masyarakat dari Siburan dan Padawan di sini, semalam. 

Selain itu, katanya ia juga akan membantu apabila hendak mengadakan program untuk membantu golongan miskin seperti e-Kasih, yang telah ditutup kerana sebilangan besar permohonan daripada individu yang tidak layak.

Pembangkang Sokong Belanjawan 2013

Pakatan Rakyat (PR) Sarawak menyifatkan cadangan Belanjawan 2013 negeri yang dibentangkan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam satu belanjawan sihat demi kemajuan negeri ini. 

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen yang turut memberitahu bahawa cadangan belanjawan negeri ini lebih baik berbanding Belanjawan 2013 negara. 

“Secara keseluruhan cadangan Belanjawan 2013 Negeri ini, sebanyak 70 peratus untuk pembangunan dan 30 peratus untuk perbelanjaan operasi merupakan satu belanjawan sihat untuk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pembentangan cadangan Belanjawan 2013 Negeri selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam. 

“Jika dibandingkan dengan Belanjawan 2013 Persekutuan, cadangan Belanjawan Negeri ini lebih baik yang mana persekutuan hanya memperuntukkan 30 peratus untuk pembangunan dan 70 peratus untuk pentadbiran,” tambahnya. 

Bagaimanapun, beliau yang juga ADUN Kota Sentosa mendakwa terdapat satu ‘black hole’ (lubang hitam) dalam belanjawan negeri. 

Tegasnya terdapat ketidakseimbangan dalam peruntukan yang diberikan kepada agensi yang diluluskan oleh kerajaan berbanding peruntukan yang diberikan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.

“Selama ini perbelanjaan pembangunan sebanyak 40 peratus telah diperuntukkan kepada agensi yang diluluskan oleh kerajaan. 

“Kami telah bertanya mengenai agensi tersebut tetapi kerajaan negeri merahsiakan perkara ini.

Persidangan DUN Berlangsung Dengan Lancar

HARI pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam berlangsung dengan lancar.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa sebelum pemasyhuran daripada Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar. 

Persidangan hari pertama itu semalam turut menyaksikan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2013 iaitu sejumlah RM3.4 bilion atau 69 peratus daripada belanjawan dicadangkan untuk pembangunan manakala selebihnya, RM1.5 bilion atau 31 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi.

Kewangan S’wak Terus Kukuh

Kedudukan kewangan negeri bagi tahun 2013 dijangka kekal sihat dan kukuh dengan lebihan Belanjawan 2013 berjumlah RM83 juta.

Penjanaan lebihan belanjawan ini adalah berdasarkan kepada jangkaan jumlah pendapatan sebanyak RM4.1 bilion berbanding perbelanjaan lazim berjumlah RM4 bilion termasuk peruntukan Akaun Dana Pembangunan (DFA). 

Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika pembentangan cadangan Belanjawan 2013 semalam berkata untuk merangsang aktiviti ekonomi dan menyokong pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun, negeri memerlukan belanjawan yang menjurus kepada pembangunan. 

Oleh itu katanya, sejumlah RM3.4 bilion atau 69 peratus daripada Belanjawan Negeri 2013 dicadangkan untuk pembangunan manakala selebihnya, RM1.5 bilion atau 31 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi. 

Malah katanya, bertepatan dengan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kedudukan kewangan negeri kekal sihat dan kukuh, Belanjawan 2013 dijangka mempunyai lebihan berjumlah RM83 juta.

“Dalam usaha kita mencapai lebih banyak pembangunan yang seimbang dan luas serta menyokong pertumbuhan ekonomi, Belanjawan 2013 juga akan fokus kepada objektif-objektif dan strategi-strategi utama seperti menyediakan peruntukan mencukupi bagi kejayaan pelaksanaan dan penyelesaian semua projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Selain itu, Belanjawan 2013 turut akan fokus kepada kesinambungan rancangan jangka panjang transformasi dan penstrukturan semula ekonomi dan sosial bagi memastikan pengagihan pembangunan yang sama rata di seluruh negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, Petra Jaya di sini semalam.

Tragedi 9/11 Bencana Terburuk Akibat Perbuatan Manusia

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan kesan serangan 9/11 terhadap Amerika dan menyifatkannya sebagai bencana terburuk akibat perbuatan manusia sejak Perang Dunia yang lepas berakhir. 

Beliau berkata peristiwa 9/11 mengakibatkan kematian ratusan ribu rakyat Iraq dan Afghanistan serta beberapa ribu tentera Amerika dan British, selain kemusnahan dunia negara Islam itu.  

“Ia telah membahagikan dunia kepada Islam dan bukan Islam, serta menabur benih syak wasangka dan kebencian di antara mereka,” katanya sambil menambah peristiwa itu turut menjejas keselamatan negara di dunia sehingga terpaksa membelanjakan bertrilion dolar untuk langkah keselamatan. 

“Namun, ancaman tetap kekal, bukan hanya daripada mereka yang digelar pengganas, malah dari negara berkuasa serta kempen mereka untuk mengubah dunia,” katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa berkaitan ’9/11 Revisited – Seeking the Truth’ di sini Isnin. 

Negarawan Malaysia itu juga berkata adalah penting untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi 9/11 “kerana apabila kebenaran didedahkan, barulah kita benar-benar bersedia untuk melindungi diri dan keselamatan kita.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...