Rakyat di negeri ini diingatkan agar tidak memandang ringan isu perpaduan kaum yang merupakan tunjang kepada keamanan dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata keharmonian yang dikecapi sekarang harus dipertahankan dari sebarang anasir atau cubaan yang memporak-perandakan perpaduan rakyat.
Sehubungan itu, rakyat diminta untuk tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan sentimen perkauman yang akan memberi kesan buruk menyeluruh terhadap pembangunan negara.
“Sejarah telah menunjukkan secara jelas yang aspek perpaduan amat penting untuk dipertahankan. Oleh itu, sekiranya kita mahu membangun seperti negara lain kita perlu terus bersatu,” katanya pada majlis makan malam Deepa-Raya di Kelab Gymkhana Miri (GCM), malam kelmarin.
Lee berkata, sentimen kebencian yang cuba disebarkan oleh segelintir pihak harus disekat dari mempengaruhi rakyat khasnya terhadap dasar dan pelan pembangunan kerajaan.
“Mereka yang mahu menanam perasaan benci ini mempunyai agenda dan kepentingan kerana mahu melihat kita berada dalam keadaan kucar kacir. Tanpa perpaduan, negara kita sukar untuk membangun,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment