Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Chan Kam Wai mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi MDS berkuat kuasa semalam menerusi surat yang dihantar kepada kementerian bertanggungjawab.
Chan ketika dihubungi pemberita semalam memberitahu, peletakan jawatan itu adalah atas sebab dan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Saya rasa dengan tempoh berkhidmat selama 32 tahun ini sudah cukup buat saya, dan sekarang sudah tiba masanya untuk saya berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Saya membuat keputusan meletak jawatan ini untuk memberi ruang dan peluang kepada orang lain khususnya generasi muda menggalas tanggungjawab yang seterusnya,” ujarnya kepada pemberita, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dr Wong Hua Seh yang mengadakan sidang akhbar di Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sarikei berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Chan.
“Kita menyambut baik usaha dan tindakan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Chan Kam Wai yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai satu tindakan yang bijak dan wajar dilakukan.