Kesedaran tentang kempen kitar semula (3R) dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda adalah penting bukan sahaja bagi memulihara persekitaran, malah dapat menjimatkan pembelanjaan menguruskan barangan terbuang.
Justeru, demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam di sini tampil mengadakan kempen kitar semula dengan kerjasama Kelab Pencinta Alam Sekitar sekolah terbabit.
Menurut Yang Dipertua PIBG SMK Riam Laing Uvang, kempen tersebut adalah aktiviti tahunan sekolah untuk memberikan didikan dan mempraktikkan 3R dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.
“Kita mahu mendidik warga sekolah dalam mengurang, mengguna semula dan mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula di dalam kehidupan seharian.
“Di samping itu, kempen kitar semula ini dapat memulihara sumber semula jadi dan tenaga, yang juga membantu ekonomi dengan mengurangkan kos tenaga dan pengurusan,” katanya.