Wednesday, September 12, 2012

Hargai Keamanan, Pilih Pemimpin Yang Ikhlas

Rakyat Sarawak harus terus melindungi serta menghargai keharmonian dan kestabilan hidup yang dinikmati sekarang dengan memilih pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, dengan harapan ke-amanan dan ketenteraman negeri ini yang bakal menyambut ulang tahun ke-49 di dalam Malaysia terus terjamin.

Kita harus memilih orang yang betul di dalam kabinet dan Parlimen iaitu wakil rakyat yang benar-benar membantu dan bekerja untuk rakyat.

Pemimpin datang dan pergi… pemimpin baharu akan datang dan mestilah mampu memberikan keadilan dari segi pentadbiran, peluang, pekerjaan dan sebagainya.

Apa yang penting ialah mestilah prihatin kepada rakyat yang miskin dan memerlukan,” katanya.


Pertahankan Mandat Untuk Memerintah

Masa depan negara untuk terus maju selaras Wawasan 2020 bergantung kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof.

Oleh itu, tegasnya, rakyat khasnya di negeri ini harus mempertahankan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang bagi mengecapi pembangunan berterusan di bawah pentadbiran BN ke arah Wawasan itu.

“Memang sejak dari dahulu lagi kerajaan BN telah berjaya mentadbir negara ini dengan baik sambil menfokuskan kepada keperluan rakyat dan perpaduan berbilang kaum di negara ini.

“Mereka (BN) telah menjadikan negara ini aman tanpa ancaman sambil rakyatnya menikmati pelbagai manfaat pembangunan termasuk ekonomi yang menjadikan rakyat berpendapatan tinggi.

“Tiada kerajaan lain selain BN telah menjadikan negara ini menjadi sebuah negara yang maju ketika ini dan akan lebih maju lagi bila tiba tahun 2020.


Kekalkan Kerjasama Walaupun Pemimpin Bertukar Ganti

Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meminta ketua-ketua masyarakat di bahagian ini supaya mengekalkan persefahaman yang wujud dan kerjasama baik yang terjalin dengan kerajaan, meskipun pemimpin akan bertukar ganti.

Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata beliau mahu melihatkan ketua-ketua masyarakat di sini supaya terus memberikan kerjasama mereka kepada siapa jua pemimpin (kerajaan Barisan Nasional) yang akan menggantikannya kelak, supaya mereka dapat terus menerima pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan untuk masyarakat mereka.

Katanya, hanya melalui persefahaman dan kerjasama yang diberikan itu maka kerajaan dapat melaksanakan semua projek-projek pembangunan di bawah peruntukan Projek Pembangunan Kecil Luar Bandar (MRP) dengan lancar.


Kenapa Anti Sarawak Sangat?

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak faham kenapa ada pihak yang membangkitkan isu dengan orang Sarawak yang beliau sifatkan secara amnya sebagai sangat peramah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa laman ‘anti Sarawak’ dan ‘antiorang Sarawak’ yang muncul dalam Facebook baru-baru ini sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak dalam laman sosial itu.

Saya sebenarnya tidak tahu kenapa ada pihak yang ada isu dengan rakyat Sarawak atau negeri ini.

Saya sudah berada di sini selama lapan bulan dan saya mendapati rakyat di sini amnya sangat peramah.

Beliau menambah, walaupun beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung laman sosial terbabit, beliau percaya ia adalah angkara pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencetuskan sentimen negatif di kalangan rakyat Sarawak.

Katanya, beliau akan mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) agar menyiasat perkara itu, dan akan melancarkan siasatan untuk mengesan dalang yang bertanggungjawab jika kandungan halaman tersebut didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...