Cadangan keluar Barisan Nasional (BN) yang dikemukakan beberapa ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semasa mesyuarat jawatankuasa itu Ahad lepas menimbul tanda tanya beberapa pihak meskipun Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin pada sidang media selepas itu dengan tegas enggan mengulas perkara itu.
Menurut sumber dalaman parti yang meminta namanya tidak disiarkan, beberapa ahli CC parti membangkitkan isu itu kerana merasakan SUPP tidak lagi dihormati sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri.
“Memandangkan parti tidak dilayan dengan adil, apa gunanya untuk parti ini terus berada dalam pakatan BN Negeri.
“Sama ada SUPP sebahagian daripada komponen BN Negeri, tidak banyak beza,” ujarnya.
Sumber itu juga memberitahu di bawah pucuk kepimpinan parti yang baharu, SUPP telah membangkitkan banyak isu terutama berkaitan komuniti Cina di negeri ini tetapi tidak diberi pertimbangan sewajarnya.