Berpuluh-puluh buah kenderaan terkandas berdekatan dengan Rumah Christopher, Pais, Skrang apabila air setinggi tiga setengah kaki melimpahi jalan raya di situ bermula jam 10 pagi, semalam.
Wartawan Utusan Borneo yang bergegas ke kawasan bencana itu mendapati air melimpah dari anak sungai berdekatan kawasan Pais berikutan kawasan Sungai Ulu Skrang dilanda hujan lebat malam kelmarin.
Akibatnya jalan raya sepanjang 500 meter di kawasan Pais ditenggelami air sekali gus menyebabkan terputus hubungan dari wilayah Selatan dan Tengah Sarawak akibat kejadian itu.
Berikutan itu ramai pengguna jalan raya berpatah balik setakat jam 2 petang dan ada pula yang setia menanti sehingga air surut dan dapat dilalui kenderaan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Seorang pemandu lori, Donny Kipa yang ingin pergi ke Lidong, Skrang berkata setakat ini hanya lori, bas dan kenderaan pacuan empat roda sahaja yang dapat meredah banjir itu.
Manakala kenderaan biasa seperti Kancil, Wira langsung tidak dapat meredah laluan banjir tersebut, jelas beliau.
No comments:
Post a Comment