Masyarakat India di Sarawak tetap berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan cuti umum untuk Sarawak sempena Hari Deepavali tahun depan.
Kapitan Masyarakat India di Kuching Lucy Lingam berkata meskipun masyarakat India tidak ramai di negeri ini iaitu sekitar 10,000 orang, perayaan Deepavali tetap disambut meriah dengan amalan kunjung-mengunjungi dilakukan oleh masyarakat berbilang kaum.
“Jujurnya saya amat sedih dan kecewa apabila Perdana Menteri mengumumkan cuti umum sempena Deepavali untuk Wilayah Persekutuan Labuan bermula tahun ini.
“Diharap masyarakat India di Sarawak juga akan mendapat perkhabaran gembira tahun depan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Deepavali di kediamannya di sini, semalam.
Menurutnya setiap kali sambutan Deepavali, rumahnya akan penuh dengan tetamu terdiri daripada kaum keluarga serta sahabat handai yang berbilang kaum dan agama.
Beliau percaya dengan pengisytiharan cuti umum sempena Deepavali untuk Sarawak nanti akan mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai kaum di negeri ini dan sudah tentu memeriahkan lagi sambutan Pesta Cahaya itu.
“Saya berharap Perdana Menteri akan memberi cuti kepada Sarawak kerana ia bukan sahaja membolehkan Deepavali disambut oleh semua kaum tetapi sejajar dengan konsep 1Malaysia serta pengiktirafan kepada masyarakat India yang selama ini bersama kerajaan.
No comments:
Post a Comment