Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sarawak (UTES) berharap kerajaan dapat mengkaji semula bayaran pencen untuk agensi kerajaan yang diswastakan termasuk Telekom Malaysia (TM).
Presidennya Mohamad Ibrahim Hamid berkata bayaran pencen yang diterima ahli UTES sekarang terlampau rendah dan berada di bawah paras kemiskinan.
Menurutnya kerajaan sepatutnya mengkaji semula formula pengiraan bayaran pencen agar selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang.
“Pencen untuk kakitangan TM hanya bermula pada 1987 namun pencen hanya boleh diterima selepas bersara walaupun ia diswastkan pada 1988.
“Kalau pencen hanya untuk tahun 1987, anda boleh bayangkan berapa bayaran yang akan diterima apabila bersara dan jumlahnya agak kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali UTES Ke-9 di sini, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Ibrahim menjelaskan, kerajaan memang sudah membuat tiga kali kajian semula sejak 1987 namun jumlah bayaran pencen masih kecil.
“Kebanyakan bekas kakitangan TM menerima pencen di bawah paras kemiskinan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment