Sebanyak dua kes denggi dilaporkan berlaku di bahagian Bintulu dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini, kata Ketua Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Azlee Ayub.
Katanya tiada pertambahan kes setakat ini dan semuanya berada dalam keadaan terkawal buat masa sekarang, jelasnya pada Mesyuarat Jawatankuasa Wabak Demam Denggi di RPR Sungai Plan dan Flat Sungai Plan di bangunan Perbinda, semalam.
Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya wabak denggi di Bintulu ialah peralihan daripada cuaca panas dan kering kepada musim hujan seperti yang berlaku pada masa sekarang.
Situasi cuaca pada masa sekarang memudahkan lagi proses pembiakan nyamuk aedes terutama di persekitaran yang kurang bersih, lembap serta menakung air.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita semua terutama di kawasan kediaman serta perumahan agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan tempat tinggal dengan sentiasa memastikan tiadanya takungan air yang memudahkan pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya.
Paling penting katanya, setiap anggota masyarakat harus sentiasa bekerjasama dan kalau boleh bergotong-royong sesama jiran dalam membersihkan persekitaran tempat kediaman atau perumahan tempat mereka tinggal kerana nyamuk aedes tidak dapat membiak di persekitaran yang bersih, kering dan tidak mempunyai takungan air.
No comments:
Post a Comment