Kajian kesihatan yang dilakukan terhadap 8,694 penjawat awam yang bertugas di pelbagai jabatan kerajaan di seluruh negeri Sarawak, mendedahkan bahawa hampir separuh daripada jumlah tersebut berdepan risiko kesihatan kerana menghidapi tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi.
Keputusan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) itu juga mendapati ramai responden dalam kajian tersebut berdepan masalah kegemukan dan menghidapi dua penyakit utama itu.
Sehubungan itu Menteri Muda Sukan merangkap Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berharap agar satu cadangan dan pelan tindakan kajian dapat dilaksanakan supaya hasil kajian itu kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai pihak.
“Saya difahamkan bahawa hasil kajian ini menunjukkan 42.8 peratus responden berada pada tahap ‘berat badan mulai berlebihan’ dan ‘berat badan berlebihan’, dengan dua penyakit utama yang dihadapi oleh responden ialah tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi,” kata Lee.
Justeru, beliau menggesa penjawat awam di negeri ini terutama di Miri supaya melibatkan diri secara aktif dalam sukan, aktiviti senaman dan kesihatan menerusi kelab rekreasi masing-masing dengan Pejabat Residen mengetuai usaha tersebut.
No comments:
Post a Comment