Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berkemungkinan tidak akan diadakan pada tahun ini memandangkan Belanjawan 2013 baharu sahaja dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Beliau berkata, ini kerana inti pati belanjawan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 belum diagihkan kepada rakyat.
“Bagi pendapat peribadi saya, tiada pilihan raya berlangsung pada tahun ini kerana belanjawan baharu sahaja dibentangkan,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di sini, semalam.
Menurutnya, pada masa sekarang populariti Perdana Menteri semakin meningkat selepas pengumuman pelbagai bantuan untuk rakyat dan ia merupakan dorongan untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa.
“Jika pilihan raya diadakan pada bulan April, pihak pembangkang sudah pasti tidak bersetuju namun jika Februari atau Mac maka mereka tidak mempunyai pilihan.
“Namun apa yang saya pasti ia akan diadakan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Adenan mahu agensi atau jabatan di bawah KPKK bersiap sedia menghadapi PRU13.
No comments:
Post a Comment