Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim berkata pihaknya akan bekerjasma dengan Jabatan Penerangan dalam usaha mencari seranai sahih sebagai satu senarai panduan terhadap pemandu teksi yang tidak dilindungi insuran.
Katanya, perlindungan insuran penting kepada pemandu teksi kerana ia mampu menyediakan bantuan perubatan dan bantuan kepada keluarga pemandu jika sesuatu yang malang terjadi kepada pemandu.
“Dalam masa terdekat ini, saya akan mengemukakan perkara itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) atau terus kepada Jemaah Menteri sendiri.
“Perkara itu harus difikirkan oleh kerajaan apa yang perlu dilakukan untuk menghargai sumbangan dan khidmat teksi pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Penghayatan 1Malaysia bersama Pemandu dan Pengusaha Pengangkutan Awam Zon Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan di sini kelmarin.
Rais berkata, pihaknya juga memahami Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (Petekma) Cawangan Sabah yang mengalami pelbagai kesusahan. Namun apa yang perlu didahulukan adalah soal pentadbiran persatuan itu.
Oleh itu, Rais juga mengumumkan pihaknya akan menyerahkan RM20 ribu kepada Petekma dalam usaha membantu melancarkan perjalanan pentadbiran persatuan itu.
No comments:
Post a Comment