Belajar daripada kekuatan dan kemantapan parti tulang belakang negara, UMNO, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kini mulai melangkah ke hadapan untuk membentuk barisan pemimpin pelapis dengan menubuhkan sayap Puteri dan lebih istimewa menjadi parti pertama memiliki sayap Putera.
Pengerusi Puteri SPDP Kaunselor Barbara Mawan memberitahu, inisiatif untuk mewujudkan sayap ini khusus untuk golongan muda berusia dari 18 hingga 35 tahun adalah bagi membolehkan parti menyediakan platform terbaik untuk mengasah minat dalam bidang politik di kalangan golongan muda.
“Pada masa yang sama ia untuk merealisasikan matlamat kami iaitu melahirkan golongan pelapis dalam parti itu yang mampu diketengahkan sebagai pemimpin di setiap peringkat, selain mempersiapkan individu yang berpotensi dan berwibawa sebagai calon dan wakil rakyat SPDP pada masa depan,” katanya.
Menurut Barbara dengan adanya kumpulan pelapis ini kelak, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, SPDP tidak perlu kalut atau tercari-cari calon pemimpin yang sesuai kerana parti itu sendiri sudah memiliki barisan pemimpin sedia ada yang sudah diasah bakat dan kepimpinan mereka.
Dibuka kepada pelbagai suku kaum selari dengan prinsip parti itu sendiri, sayap Putera dan Puteri akan bergerak dan dibentuk mengikut kehendak, keperluan dan suara ahli-ahlinya sendiri yang terdiri daripada golongan muda dan remaja.
“Menyedari hakikat inilah, maka SPDP rasa perlu untuk menubuhkan sayap Putera dan Puteri agar mereka boleh menyuarakan pendapat, pandangan dan idea-idea mereka sebagai bakal pemimpin pada masa depan,” katanya.
Barbara berkata demikian semasa berucap mewakili Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom dalam majlis makan malam meraikan pembentukan sayap Putera dan Puteri wilayah utara Sarawak di sini malam kelmarin. Majlis makan malam yang julung kali diadakan itu adalah anjuran Puteri SPDP Wilayah Utara.
Beliau berkata sudah tiba juga masa untuk pemimpin dan ahli-ahli parti itu mendengar sendiri suara-suara golongan muda ini kerana mereka perlu menunjukkan kemampuan dan keberanian mereka untuk menyumbang dan mengambil bahagian dalam usaha memperkukuhkan dan menguatkan parti ini mengikut acuan mereka sendiri.
“Saya tidak kisah apa baju atau fesyen yang anda pakai. Seksi, anggun dan sebagainya, terpulang kerana itu hak anda untuk menikmati kehidupan anda sebagai golongan remaja dan muda, namun apa yang paling penting di sini ialah keberanian anda memainkan peranan dan melibatkan diri dalam politik, memahami polisi dan prinsip parti serta menyediakan diri sendiri menjad insan yang berguna kepada masyarakat suatu hari nanti.
“Ia adalah jauh lebih baik daripada anda duduk mengumpat sesama sendiri atau duduk termanggu menemani ibu bapa anda (ahli parti) ke majlis-majlis berkaitan SPDP. Ada baiknya anda sendiri mengambil bahagian dan turut serta mengikut suara dan cita rasa anda semua,” katanya memberi semangat kepada lebih 300 tetamu yang hadir dengan kebanyakannya ahli-ahli Putera dan Puteri SPDP.
Sementara itu sayap Putera dan Puteri SPDP telahpun diluluskan pendaftarannya pada Disember tahun lalu dan majlis pelancaran secara rasmi kedua-dua sayap itu dijangka diadakan pada tahun ini dalam satu majlis gilang-gemilang.
Sehingga kini kedua-dua sayap itu telah pun berjaya menarik lebih 2,000 ahlinya di seluruh negeri sejak ia mulai disahkan penubuhannya.
Hadir sama dalam majlis tersebut malam kelmarin ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Peter Howell Jilan dan Kijan Toynbee, serta Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting yang mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri.
No comments:
Post a Comment