Thursday, August 9, 2012

Pantau Restoran Orang Islam Dibuka Lebih Awal

Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM) harus memantau operasi restoran-restoran orang Islam yang dipercayai dibuka lebih awal.

Aktivis Masyarakat Wan Zain Syed Mohdzar mendapat maklum balas bahawa terdapat restoran-restoran orang Islam dibuka lebih awal daripada tempoh yang dibenarkan MBM.

Ramai yang mendakwa restoran-restoran makanan orang Islam dibuka lebih awal dan kami bimbang ia akan menggalakkan lagi orang Islam yang tidak berpuasa membeli makanan di restoran terbabit,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau turut memberitahu, MBM harus mendedahkan waktu sebenar tempoh operasi restoran-restoran orang Islam agar ia tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat setempat.

Ia amat penting kerana ada pengusaha restoran ini lebih mementingkan keuntungan dan berani mengambil risiko menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa,” ujarnya.


Naik Taraf Sekolah Perlu

Kerajaan persekutuan harus memastikan infrastuktur sekolah-sekolah luar bandar yang dikenal pasti dalam keadaan daif atau usang dinaik taraf dalam Belanjawan 2013 kelak.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, beberapa sekolah di luar bandar yang usang perlu dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada semua warga pendidik dan pelajar.

Jika struktur bangunannya diperbuat daripada kayu dan dalam keadaan usang, maka ia perlu dinaik taraf kepada sebuah bangunan konkrit bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik,” kata-nya kepada Utusan Borneo semalam.

Ahmad Lai memberitahu, hasrat untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pendidikan akan tercapai sekiranya mereka belajar dalam keadaan selesa, aman dan tenteram.

Kita mengharapkan agar kemudahan infrasktuktur di sekolah-sekolah luar bandar termasuk kuarters guru mendapat pertimbangan daripada kerajaan dan ia dimasukkan dalam Belanjawan 2013,” katanya.


Promosi Derma Darah

Bank Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) memohon kepada masyarakat bukan Muslim untuk menderma darah bagi memastikan bekalan berterusan dan mencukupi semasa bulan Ra-madan ini.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Bank Darah semalam, kaunter derma darah di HUS dibuka kepada orang ramai dari Isnin hingga Jumaat pada jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Sementara itu kepada mereka yang mahu menderma, Unit Bergerak Bank Darah akan mengadakan kempen derma darah di Selection Wisma Wan Sabtu ini (11 Ogos) dari jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang.

Pada 12 Ogos pula (Ahad) unit bergerak akan berada di pusat beli-belah Hills dari jam 9.30 pagi hingga 2.30 petang dan di Gereja Methodist Ching Kwong di Jalan Pending pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 082-276795 atau 082-276797.


BN Sarawak Bermasalah?

Masalah-masalah dalaman yang menyelubungi parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri Sarawak kini, tidak akan menjejaskan pencapaian BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Demikian kenyataan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang kemudiannya menjelaskan bahawa BN Negeri akan tetap bersatu walaupun masalah dalaman berlaku di kalangan para pemimpin parti.

Bagi PBB, kami cukup kukuh… sudah tentu ada masalah dengan parti komponen lain tetapi bagi saya, keputusan seperti Wong Judat untuk meninggalkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak akan menjejaskan kekuatan BN.

Beliau selama ini seorang ‘lone ranger’ walaupun semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana beliau suka menyendiri.

Cuma SPDP yang akan terjejas kerana hanya seorang ADUN sahaja yang tinggal daripada parti itu iaitu Presidennya (Tan Sri William Mawan)..


Royalti Minyak Untuk Sarawak Hanya 5%??

Pemimpin negeri dalam kerajaan dan barisan pembangkang menyuarakan hasrat yang sama agar kerajaan persekutuan menyemak semula royalti petroleum sebanyak lima peratus yang dibayar kepada Sarawak sejak empat dekad lalu.

Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing berkata jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk meneliti royalti petroleum bagi negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia harus juga merangkumi Sarawak dan Sabah.

Memandangkan Sarawak dan Sabah adalah penyumbang utama kepada pengeluaran petroleum negara, royalti lima peratus bagi kedua-dua negeri harus disemak semula dan dipinda,” kata Masing kepada Borneo Post di sini semalam.

Bagaimanapun Masing menegaskan kuantum bagi Sarawak harus ditentukan berdasarkan saranan jawatankuasa khas berkenaan yang seharusnya turut dianggotai anak Sarawak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...