Friday, October 19, 2012

Kerajaan Persekutuan Prihatin Kebajikan Rakyat Sarawak, Sabah

Kerajaan persekutuan amat prihatin terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat khasnya yang berpendapatan rendah termasuk di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. 

Beliau berkata, sebanyak RM386 juta diperuntukkan untuk kedua-dua negeri berkenaan bagi program penyeragaman harga di bawah Belanjawan 2013 sebagai langkah menangani masalah kenaikan kos sara hidup serta kos barang keperluan asas yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Sesi dialog dan perbincangan juga diadakan secara berkala dengan industri yang berkaitan untuk mendapat sokongan dan kerjasama mereka supaya tidak mengambil apa jua kesempatan untuk menaikkan harga secara keterlaluan,” katanya kepada Bernama di sini semalam. 

Katanya program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membantu masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat barangan keperluan bersubsidi pada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan, juga merangkumi pembukaan 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Bagi tahun lepas, beliau berkata kos yang amat besar iaitu berjumlah RM22.9 bilion telah diberi dalam bentuk subsidi untuk pelbagai bahan api seperti RON95, diesel, gas memasak, tepung, beras, minyak masak dan gula selain banyak inisiatif baharu yang dilaksanakan untuk mengawal harga barangan keperluan utama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...