Wednesday, October 10, 2012

BN Mampu Bentuk Kerajaan

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membentuk semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Wong yakin rakyat akan memberi mandat kepada kerajaan BN semula untuk terus memimpin negara ini, selepas kerajaan yang ada menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau juga mengingatkan pengundi, khususnya pengundi di bandar agar membuat pilihan tepat ketika pilihan raya nanti. 

“Saya ingin mengingatkan pengundi di kawasan bandar agar membuat pilihan dengan bijak. Ini kerana pengundi di luar bandar sentiasa berdiri teguh di belakang BN. 

“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana pengundi bandar menyokong pembangkang manakala pengundi luar bandar menyokong BN,” ujarnya ketika berucap merasmikan sambutan Kuih Bulan di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya, Teku, malam kelmarin.

Kadar Sewa Hotel Naik?

Kadar sewa bilik hotel di sini dijangka akan dinaikkan apabila dasar gaji minimum dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Pegawai Perhubungan Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak, Roy Ting berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan kos upah meningkat sebanyak 20 peratus. 

Katanya, pengendali syarikat perhotelan di sini juga turut sukar untuk mencari tenaga kerja yang benar-benar berkualiti.

“Dengan pelaksanaan dasar gaji minimum mulai tahun depan, bermakna gaji pekerja akan disemak semula kepada RM800 sekali gus membawa kepada kenaikan 20 peratus.”

“Perkembangan terbaru ini menyebabkan kami berasa sukar dan tertekan sehingga mengambil keputusan untuk menaikkan harga sewa bilik,” katanya.

Lagi Janji Kerajaan Ditepati

Janji ditetapi apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janjinya setelah kerja projek menaik taraf Jalan Sri Aman/Sembau/Stumbin/Lingga sepanjang 66 kilometer itu kini sedang giat dilaksanakan. 

Projek yang bernilai lebih RM50 juta itu bermula pada 24 Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada 23 Jun tahun hadapan. 

Seorang guru yang berasal dari Tajur, Sri Aman yang kerap berulang-alik melalui jalan raya itu memberitahu memandu kereta ke tempat bertugas nyata jauh lebih selesa berbanding tujuh tahun sebelumnya.

“Saya dah boleh tidur sekiranya ada rakan memandu untuk saya berikutan jalan raya terbabit sudah berturap. Ia tidak lagi ‘bergelombang’ seperti dahulu. Ini jelas bahawa kerajaan BN nyata menepati janji pembangunan untuk rakyat luar bandar di Sarawak,” katanya di sini, semalam. 

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat mempercepat usaha untuk menyalur bekalan air bersih terawat kepada penduduk di kawasan Lingga hingga ke Sri Aman demi keselesaan hidup masyarakat di kawasan terbabit.

Kerajaan BN Tunai Janji

Pembinaan dewan baharu Kampung Lintang yang bernilai RM1 juta membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Beliau berkata, dewan tersebut yang merupakan keperluan penduduk, diilhamkan selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke kampung berkenaan.

“Projek ini (dewan baharu) menunjukkan Perdana Menteri tidak hanya bercakap sebaliknya menunaikan apa yang dijanjikannya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas program menaikkan kain rentang Janji Ditepati di sini, semalam. 

Menurutnya, program anjuran penduduk Kampung Lintang itu diadakan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan BN kerana menepati janji. 

“Hari ini (semalam) penduduk kampung ingin berterima kasih kepada kerajaan yang menepati janji dengan membina dewan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...