Friday, October 12, 2012

Kesedaran 3R Akan Pelihara Alam Sekitar

Kesedaran tentang kempen kitar semula (3R) dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda adalah penting bukan sahaja bagi memulihara persekitaran, malah dapat menjimatkan pembelanjaan menguruskan barangan terbuang. 

Justeru, demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam di sini tampil mengadakan kempen kitar semula dengan kerjasama Kelab Pencinta Alam Sekitar sekolah terbabit. 

Menurut Yang Dipertua PIBG SMK Riam Laing Uvang, kempen tersebut adalah aktiviti tahunan sekolah untuk memberikan didikan dan mempraktikkan 3R dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.

“Kita mahu mendidik warga sekolah dalam mengurang, mengguna semula dan mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula di dalam kehidupan seharian.

“Di samping itu, kempen kitar semula ini dapat memulihara sumber semula jadi dan tenaga, yang juga membantu ekonomi dengan mengurangkan kos tenaga dan pengurusan,” katanya.

Daud Sangkal Fadillah Tidak Dicalon Semula

Khabar angin yang mengatakan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof tidak akan dipertandingkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) disangkal Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau menegaskan, keputusan untuk menentukan calon di kerusi berkenaan sudah ditentukan oleh pucuk pimpinan negeri iaitu Presiden PBB, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

“Bagi saya keputusan untuk menentukan calon di kerusi Parlimen Petra Jaya sudah ditentukan iaitu Yang Berhormat Fadillah akan menjadi calon di situ, perkara itu tidak ada keraguan lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) berjumlah RM57,618.54 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...