Wednesday, October 31, 2012

PKR Tutup Pintu Kerjasama Dengan SNAP

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) sudah menutup pintu kepada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) untuk menjalin sebarang kerjasama dan pakatan. 

Ketua PKR Miri Dr Michael Teo berkata PR tidak akan ‘tertipu’ lagi dengan helah SNAP yang dilihat mengkhianati PR pada saat akhir menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas. 

“Tiada lagi kerjasama dan kami (PKR) sudah menutup kepada SNAP untuk sebarang kerjasama mahupun pakatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini, semalam. 

Dr Teo memberitahu demikian ketika mengulas mengenai tindakan SNAP pada Pilihan Raya DUN yang lalu dan persiapan mereka menghadapi PRU13 kali ini tanpa SNAP.

Beliau berkata PKR Miri terutamanya mengalami kerugiaan yang besar ekoran tindakan SNAP itu yang dilihat ‘mempergunakan’ PKR sepenuhnya. 

“Sepanjang masa berkempen, SNAP bersama-sama kami, mempergunakan jentera kempen, menggunakan majlis-majlis yang diadakan untuk mereka berceramah dan sebagainya kerana kami memberi peluang kepada mereka atas dasar ‘pakatan’ pembangkang. 

“Sebaliknya apabila tiba masa pilihan raya (negeri) mereka keluar dari pakatan dan mengisytiharkan diri sebagai ‘Bebas’ dan bertanding di semua 35 kerusi kaum Dayak,” kata Dr Teo yang mengakui beliau masih marah dan kecewa dengan tindakan tersebut.

Kaji Pencen Agensi Kerajaan Diswastakan

Kesatuan Pekerja Telekom Malaysia Berhad Sarawak (UTES) berharap kerajaan dapat mengkaji semula bayaran pencen untuk agensi kerajaan yang diswastakan termasuk Telekom Malaysia (TM). 

Presidennya Mohamad Ibrahim Hamid berkata bayaran pencen yang diterima ahli UTES sekarang terlampau rendah dan berada di bawah paras kemiskinan.

Menurutnya kerajaan sepatutnya mengkaji semula formula pengiraan bayaran pencen agar selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang.

“Pencen untuk kakitangan TM hanya bermula pada 1987 namun pencen hanya boleh diterima selepas bersara walaupun ia diswastkan pada 1988. 

“Kalau pencen hanya untuk tahun 1987, anda boleh bayangkan berapa bayaran yang akan diterima apabila bersara dan jumlahnya agak kecil,” katanya.

Tuesday, October 30, 2012

PRS Lindungi Hak Penduduk Luar Bandar

Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan terus merealisasikan objektif dan matlamatnya melindungi hak dan keperluan penduduk luar bandar di negeri ini yang terdiri daripada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Presidennya Tan Sri James Masing berkata wakil-wakil rakyat PRS yang terdiri daripada enam Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak pernah lari daripada tanggungjawab mereka untuk memperjuang dan mempertahan hak rakyat di luar bandar khususnya masyarakat Dayak. 

“Adakalanya kita menangis melihat pertempuran politik yang membabitkan serta memfokuskan kepada keperluan dan kehendak masyarakat Dayak. Dalam hal ini, kita tidak mempunyai pilihan.

“Kita (wakil rakyat) adalah dipilih oleh rakyat, justeru kita wajib menjaga kepentingan masyarakat kita (Dayak),” katanya pada Majlis Makan Malam 1Malaysia Untuk Belia (IM4U) anjuran PRS 30 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-8 PRS di sebuah hotel terkemuka, di sini malam kelmarin.

Jangan Gentar Diasak Pembangkang

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak perlu gentar dengan asakan yang bakal dilakukan oleh pembangkang jika senarai calon PRU diumumkan lebih awal.

Naib Presiden SUPP Datuk Yong Khoon Seng berkata situasi seperti itu merupakan perkara biasa dalam politik.

Justeru beliau menyambut baik jika senarai calon BN bagi PRU13 diumumkan lebih awal seperti yang dibayangkan oleh Setiausaha Agung BN Pu­sat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Saya bersetuju jika senarai calon diumumkan lebih awal bagi membolehkan bakal-bakal calon atau calon terpilih dapat bekerja dengan lebih gigih di mana ketika ini agak kelam-kabut kerana kita tidak tahu siapa akan jadi calon. 

“Kita juga tahu apabila nama keluar lebih awal, pembangkang akan sedaya upaya menjatuhkan calon BN. Tetapi pada saya ia adalah tidak apa kerana ini perkara yang biasa,” katanya.

Isu Sampah: Jangan Salahkan MBM Dan Kontraktor

Orang ramai jangan menuding jari kepada pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan kontraktor semata-mata dengan menyalahkan mereka berhubung isu berkaitan sampah di bandar raya ini. 

Sebaliknya penduduk Miri turut bertanggungjawab terhadap masalah yang berkaitan terutama mereka yang suka membuang sampah merata-rata dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan tong sampah yang disediakan. 

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang menegur sikap segelintir penduduk yang suka membuang sampah di luar tong sampah, berkata jika penduduk sendiri tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan, maka masalah itu tidak akan selesai walaupun kontraktor mengutip sampah setiap hari.

“Ada penduduk yang suka membuang sampah-sarap merata-rata dan ada juga yang seperti bermain basketball (bola keranjang), baling sembarangan ke arah tong sampah tanpa mempedulikan ia masuk ke dalam tong sampah atau sebaliknya. 

“Sikap sebegini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekitar sebaliknya menjadikan sampah-sarap bertaburan di merata-rata dan ini pastinya menyukarkan kontraktor yang mengutip sampah,” katanya. 

“Jadi jangan menyalahkan pihak Majlis mahupun kontraktor kalau anda sendiri membuang sampah merata-rata. 

“Justeru saya minta semua pihak bekerjasama, buang sampah dengan baik dan teratur apatah lagi kini tong-tong sampah akan ditambah jumlahnya,” tambah Lee.

Kerajaan Fokus Pembangunan Rakyat

Kerajaan akan terus memberi fokus dan tumpuan menyeluruh dalam usaha memberi kemajuan serta pembangunan kepada rakyat negeri ini kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis

Menurut beliau, kerajaan akan terus berusaha dan tidak akan berhenti sehingga matlamatnya itu tercapai. 

“Inilah KPI kerajaan dalam usaha meningkatkan pencapaian NKRA sebagaimana gagasan 1Malaysia terus terlaksana,” ujarnya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Makan Malam dan Pertandingan Nyanyian Warga Emas sempena sambutan Chong Yang Festival anjuran Kelab Hok Lin, Sri Aman di salah sebuah restoran terkemuka dekat sini baru-baru ini.

Katanya walaupun rakyat berada jauh dari arus pembangunan infrastruktur, kerajaan akan membantu sehingga mereka akan dapat menikmati pembangunan sebagaimana yang dikecapi orang lain.

Katanya bukan berkata atau berjanji apabila tibanya pilihan raya, sebaliknya usaha untuk memberi pembangunan kepada rakyat sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa.

Anjung Komuniti 1Malaysia Perlu Lebih Peka Keadaan Sekeliling

Anjung Komuniti 1Malaysia perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling dan menangkis tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata pemimpin Komuniti 1Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menyebarkan maklumat kerajaan lebih tepat kepada penduduk setempat. 

“Penubuhan Komuniti 1Malaysia yang dahulunya dikenali Komuniti Bestari anjuran Kementerian Penerangan Malaysia adalah bertujuan mewujudkan sebuah agensi yang bertindak menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya pada perasmian Anjung Komuniti 1Malaysia (K1M) di Kampung Pujut, Sungai Adong di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Sebastian menggesa pemimpin Komuniti 1Malaysia sama ada mereka yang dilantik sebagai pengerusi mahupun Ahli Jawatankuasa (AJK) perlu memainkan peranan untuk bersama-sama menjayakan agenda kerajaan khususnya dalam menyatupadukan rakyat di kawasan masing-masing.

Wilfred Yap Calon Stampin

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bersetuju memilih Wilfred Yap sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin berkata adalah tidak adil untuk parti terus merahsiakan calon yang akan bertanding antara Wilfred atau Lo Khere Chiang.

“Agak sukar untuk kami membuat keputusan ini namun Wilfred akan menjalankan tanggungjawab untuk mewakili parti di Stampin. 

“Ini kerana kami merasakan adalah tidak adil bagi mereka hanya ‘tergantung’ apabila kami membuat keputusan pada saat akhir,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Menurutnya, parti akhirnya bersetuju untuk membuat keputusan salah seorang daripada dua nama terpaksa diketepikan dalam semangat dalam parti.

Friday, October 19, 2012

Kerajaan Persekutuan Prihatin Kebajikan Rakyat Sarawak, Sabah

Kerajaan persekutuan amat prihatin terhadap beban kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat khasnya yang berpendapatan rendah termasuk di Sabah dan Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. 

Beliau berkata, sebanyak RM386 juta diperuntukkan untuk kedua-dua negeri berkenaan bagi program penyeragaman harga di bawah Belanjawan 2013 sebagai langkah menangani masalah kenaikan kos sara hidup serta kos barang keperluan asas yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Sesi dialog dan perbincangan juga diadakan secara berkala dengan industri yang berkaitan untuk mendapat sokongan dan kerjasama mereka supaya tidak mengambil apa jua kesempatan untuk menaikkan harga secara keterlaluan,” katanya kepada Bernama di sini semalam. 

Katanya program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membantu masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat barangan keperluan bersubsidi pada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan, juga merangkumi pembukaan 57 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Bagi tahun lepas, beliau berkata kos yang amat besar iaitu berjumlah RM22.9 bilion telah diberi dalam bentuk subsidi untuk pelbagai bahan api seperti RON95, diesel, gas memasak, tepung, beras, minyak masak dan gula selain banyak inisiatif baharu yang dilaksanakan untuk mengawal harga barangan keperluan utama.

Thursday, October 18, 2012

Masalah Tanah, Kerap Dilalui Rosakkan Jalan

Struktur tanah yang tidak sesuai dan kerap dilalui kenderaan berat turut menyumbang terhadap kerosakan jalan raya hingga ia turut diberi perhatian dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang tidak menafikan wujud kelemahan kontraktor dalam pelaksanaan projek tersebut berkata ia merupakan satu-satunya projek jalan raya yang bermasalah di Sarawak.

“Bukan setakat oleh kerana keupayaan pemaju, bahkan juga dari segi keadaan tanah di kawasan tersebut yang tidak begitu sesuai.

“Kenderaan berat termasuk lori balak dan lain-lain turut menjejaskan jalan raya yang kita sediakan,” katanya pada sidang media ketika merasmikan Pusat GIATMARA Stampin di sini, semalam. 

Meskipun beliau tidak menyebut projek itu, Laporan Audit Negara turut menyentuh pelaksanaan projek naik taraf jalan akses ke Mukah dari persimpangan Sibu/Bintulu ke persimpangan Matadeng sepanjang 52.4 kilometer dengan kos RM202.38 juta.

Ada Pihak Anggap Pembangkang ‘Bagus’

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal hairan dengan sikap segelintir kecil masyarakat yang melabelkan pembangkang sebagai ‘bagus’.

Katanya apakah yang telah dilakukan pakatan pembangkang merangkumi DAP, PKR dan PAS bagi membangunkan negara melainkan bijak berkata-kata kosong dan menabur janji. 

Golongan itu menurut beliau juga menidakkan pembangunan yang diusahakan kerajaan, malah mereka melabel Barisan Nasional (BN) sebagai rasuah.

“Mereka yang tidak berbuat apa-apa dikatakan bagus dan kerajaan yang buat jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain dikatakan korup,” katanya ketika merasmikan Pusat GIATMARA Stampin di sini, semalam. 

Bukti yang paling dekat ialah kawasan Parlimen Stampin sendiri, katanya.

Wednesday, October 17, 2012

KR1M Bantu Kurangkan Bebanan Rakyat

Usaha kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di semua kawasan Parlimen di Sarawak menjelang tahun hadapan adalah satu usaha murni dalam membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau Jok berkata ini adalah usaha serius yang tidak patut diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

KR1M adalah usaha serius kerajaan membantu rakyat di setiap kawasan Parlimen, bukan satu usaha atau kerja sia-sia yang tidak mendatangkan hasil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang 31 kawasan Parlimen di Sarawak yang bakal memiliki sebuah KR1M menjelang tahun hadapan. 

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan melihat dari segi keperluan dan permintaan di sesebuah kawasan terlebih dahulu seperti Baram yang melibatkan kawasan besar dan luas. 

“Jika dilihat di Baram, satu KR1M tidak dapat menampung keperluan semua penduduk meliputi seluruh kawasan,” ujarnya.

Beliau bercadang merujuk kepada keperluan penduduk Baram, KR1M perlu diwujudkan di tiga kawasan iaitu Lapok, Marudi dan Long Lama.
Kajian kesihatan yang dilakukan terhadap 8,694 penjawat awam yang bertugas di pelbagai jabatan kerajaan di seluruh negeri Sarawak, mendedahkan bahawa hampir separuh daripada jumlah tersebut berdepan risiko kesihatan kerana menghidapi tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. 

Keputusan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) itu juga mendapati ramai responden dalam kajian tersebut berdepan masalah kegemukan dan menghidapi dua penyakit utama itu. 

Sehubungan itu Menteri Muda Sukan merangkap Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berharap agar satu cadangan dan pelan tindakan kajian dapat dilaksanakan supaya hasil kajian itu kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelbagai pihak.

“Saya difahamkan bahawa hasil kajian ini menunjukkan 42.8 peratus responden berada pada tahap ‘berat badan mulai berlebihan’ dan ‘berat badan berlebihan’, dengan dua penyakit utama yang dihadapi oleh responden ialah tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi,” kata Lee. 

Justeru, beliau menggesa penjawat awam di negeri ini terutama di Miri supaya melibatkan diri secara aktif dalam sukan, aktiviti senaman dan kesihatan menerusi kelab rekreasi masing-masing dengan Pejabat Residen mengetuai usaha tersebut.

PRU13 Bukan Tahun Ini

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berkemungkinan tidak akan diadakan pada tahun ini memandangkan Belanjawan 2013 baharu sahaja dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Beliau berkata, ini kerana inti pati belanjawan terutama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 belum diagihkan kepada rakyat.

“Bagi pendapat peribadi saya, tiada pilihan raya berlangsung pada tahun ini kerana belanjawan baharu sahaja dibentangkan,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di sini, semalam. 

Menurutnya, pada masa sekarang populariti Perdana Menteri semakin meningkat selepas pengumuman pelbagai bantuan untuk rakyat dan ia merupakan dorongan untuk mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa. 

“Jika pilihan raya diadakan pada bulan April, pihak pembangkang sudah pasti tidak bersetuju namun jika Februari atau Mac maka mereka tidak mempunyai pilihan.

“Namun apa yang saya pasti ia akan diadakan dalam masa terdekat,” ujarnya. 

 Sehubungan itu, Adenan mahu agensi atau jabatan di bawah KPKK bersiap sedia menghadapi PRU13.

Tuesday, October 16, 2012

Taktik Kotor PR Semakin Terserlah

Taktik kotor Pakatan Rakyat (PR) semakin terserlah sejak akhir-akhir ini ekoran tindakan parti pembangkang itu mengaitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) akan beralih arah, kata Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof.  

Beliau berkata, pihak terbabit sebenarnya sudah ketandusan idea untuk memburuk-burukkan BN dan menyebabkan mereka menggunakan serangan peribadi.

“Mereka sebenarnya sudah tidak ada idea lagi. Ini membuatkan mereka sanggup menggunakan serangan peribadi. 

“Taktik kotor ini adalah usaha untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan itu juga merupakan langkah pembangkang untuk menimbulkan kekeliruan dalam parti komponen BN. 

“Tindakan mereka ini memang tidak boleh diterima. Apa yang mereka lakukan ini tidak lagi untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi lebih kepada serangan peribadi,” ujarnya.

Wakil Rakyat Lubok Antu Mesti Anak Tempatan, Dayak

Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menegaskan bahawa pemimpin yang layak menjadi wakil rakyat kawasan Parlimen Lubok Antu hanyalah anak tempatan Lubok Antu dan bangsa Dayak.

Sehubungan itu sekiranya ada calon luar Lubok Antu serta bukan bangsa Dayak terutama Iban, berminat bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Lubok Antu nanti harus ditolak sama sekali, ujarnya.

Menurutnya, hampir 99 peratus pengundi di kawasan Lubok Antu adalah kaum Iban maka dengan itu wakil rakyat yang harus menjadi pemimpin di Lubok Antu adalah bangsa Iban serta anak jati tempatan Lubok Antu sendiri.

“Kita bukan bersifat perkauman tetapi itu merupakan realiti politik di negara ini di mana kita saksikan sekiranya sesebuah kawasan itu majoriti Cina, maka Cina akan menjadi wakil rakyat begitu juga dengan kaum India.

“Lantaran itu kawasan Lubok Antu yang majoritinya kaum Iban maka berilah peluang kepada bangsa Iban menjadi wakil rakyat BN di sini,” katanya.

BN Ada Perancangan Pembangunan Strategik

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan pembangunan strategik selaras dengan era global dan menggunakan persaingan bagi membawa kemajuan. 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan memberitahu bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud adalah pemimpin yang berpandangan jauh dengan perancangan yang cukup strategik untuk negara dan negeri ini.

“Dalam masa 55 tahun selepas merdeka, ramai pemimpin dari negara asing sudah mengetahui bagaimana kekuatan kita dan ramai daripada mereka ini melihat pembangunan sedia ada di Malaysia,” katanya. 

Berucap semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah Ketua Kaum Edmund Abang di Melinau, Mulu, dekat sini, Jacob turut menggesa masyarakat di Baram sentiasa bersama kerajaan BN agar mereka mampu mengecapi pembangunan dan kemajuan yang dibawa BN.

“Masyarakat Baram tidak mendapat apa-apa kemajuan dan pembangunan yang dibawa ke Baram sepanjang mereka dikuasai pembangkang sehinggalah Baram ‘diambil balik’ oleh BN pada 1995 (melalui kemenangan Jacob pada pilihan raya tahun 1995),” katanya. 

“Kita terpaksa mengambil masa antara lima hingga sepuluh tahun untuk membuat perancangan pembangunan di Baram. 

“Justeru kita harus belajar daripada kesilapan tersebut, (mengundi pembangkang),” tambah beliau lagi.

Friday, October 12, 2012

Kesedaran 3R Akan Pelihara Alam Sekitar

Kesedaran tentang kempen kitar semula (3R) dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda adalah penting bukan sahaja bagi memulihara persekitaran, malah dapat menjimatkan pembelanjaan menguruskan barangan terbuang. 

Justeru, demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam di sini tampil mengadakan kempen kitar semula dengan kerjasama Kelab Pencinta Alam Sekitar sekolah terbabit. 

Menurut Yang Dipertua PIBG SMK Riam Laing Uvang, kempen tersebut adalah aktiviti tahunan sekolah untuk memberikan didikan dan mempraktikkan 3R dalam kalangan pelajar dan warga sekolah.

“Kita mahu mendidik warga sekolah dalam mengurang, mengguna semula dan mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula di dalam kehidupan seharian.

“Di samping itu, kempen kitar semula ini dapat memulihara sumber semula jadi dan tenaga, yang juga membantu ekonomi dengan mengurangkan kos tenaga dan pengurusan,” katanya.

Daud Sangkal Fadillah Tidak Dicalon Semula

Khabar angin yang mengatakan Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof tidak akan dipertandingkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) disangkal Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman.

Beliau menegaskan, keputusan untuk menentukan calon di kerusi berkenaan sudah ditentukan oleh pucuk pimpinan negeri iaitu Presiden PBB, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

“Bagi saya keputusan untuk menentukan calon di kerusi Parlimen Petra Jaya sudah ditentukan iaitu Yang Berhormat Fadillah akan menjadi calon di situ, perkara itu tidak ada keraguan lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) berjumlah RM57,618.54 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Wednesday, October 10, 2012

BN Mampu Bentuk Kerajaan

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membentuk semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Wong yakin rakyat akan memberi mandat kepada kerajaan BN semula untuk terus memimpin negara ini, selepas kerajaan yang ada menunjukkan prestasi yang baik.

Beliau juga mengingatkan pengundi, khususnya pengundi di bandar agar membuat pilihan tepat ketika pilihan raya nanti. 

“Saya ingin mengingatkan pengundi di kawasan bandar agar membuat pilihan dengan bijak. Ini kerana pengundi di luar bandar sentiasa berdiri teguh di belakang BN. 

“Kita tidak mahu berlaku situasi di mana pengundi bandar menyokong pembangkang manakala pengundi luar bandar menyokong BN,” ujarnya ketika berucap merasmikan sambutan Kuih Bulan di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya, Teku, malam kelmarin.

Kadar Sewa Hotel Naik?

Kadar sewa bilik hotel di sini dijangka akan dinaikkan apabila dasar gaji minimum dikuatkuasakan mulai tahun depan.

Pegawai Perhubungan Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sarawak, Roy Ting berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan memandangkan kos upah meningkat sebanyak 20 peratus. 

Katanya, pengendali syarikat perhotelan di sini juga turut sukar untuk mencari tenaga kerja yang benar-benar berkualiti.

“Dengan pelaksanaan dasar gaji minimum mulai tahun depan, bermakna gaji pekerja akan disemak semula kepada RM800 sekali gus membawa kepada kenaikan 20 peratus.”

“Perkembangan terbaru ini menyebabkan kami berasa sukar dan tertekan sehingga mengambil keputusan untuk menaikkan harga sewa bilik,” katanya.

Lagi Janji Kerajaan Ditepati

Janji ditetapi apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janjinya setelah kerja projek menaik taraf Jalan Sri Aman/Sembau/Stumbin/Lingga sepanjang 66 kilometer itu kini sedang giat dilaksanakan. 

Projek yang bernilai lebih RM50 juta itu bermula pada 24 Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada 23 Jun tahun hadapan. 

Seorang guru yang berasal dari Tajur, Sri Aman yang kerap berulang-alik melalui jalan raya itu memberitahu memandu kereta ke tempat bertugas nyata jauh lebih selesa berbanding tujuh tahun sebelumnya.

“Saya dah boleh tidur sekiranya ada rakan memandu untuk saya berikutan jalan raya terbabit sudah berturap. Ia tidak lagi ‘bergelombang’ seperti dahulu. Ini jelas bahawa kerajaan BN nyata menepati janji pembangunan untuk rakyat luar bandar di Sarawak,” katanya di sini, semalam. 

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat mempercepat usaha untuk menyalur bekalan air bersih terawat kepada penduduk di kawasan Lingga hingga ke Sri Aman demi keselesaan hidup masyarakat di kawasan terbabit.

Kerajaan BN Tunai Janji

Pembinaan dewan baharu Kampung Lintang yang bernilai RM1 juta membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Beliau berkata, dewan tersebut yang merupakan keperluan penduduk, diilhamkan selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke kampung berkenaan.

“Projek ini (dewan baharu) menunjukkan Perdana Menteri tidak hanya bercakap sebaliknya menunaikan apa yang dijanjikannya sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas program menaikkan kain rentang Janji Ditepati di sini, semalam. 

Menurutnya, program anjuran penduduk Kampung Lintang itu diadakan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan BN kerana menepati janji. 

“Hari ini (semalam) penduduk kampung ingin berterima kasih kepada kerajaan yang menepati janji dengan membina dewan ini.

Tuesday, October 9, 2012

Ada Pihak Cuba Lagakan Pemimpin SPDP

Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Muara Tuang menyelar tindakan segelintir pihak yang mahu melihat parti itu dilanda krisis semula. 

Timbalan Pengerusinya Tuai Rumah David Jiku Nader semalam berkata usaha kumpulan ‘penghasut’ itu tidak akan berjaya kerana SPDP sedang ‘melangkah ke hadapan dan tidak akan berpaling ke belakang’ selepas mengalami beberapa siri masalah sebelum ini. 

Menurutnya bermula dengan kehilangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada PKR (Parti Keadilan Rakyat) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 2011 sehingga peletakan jawatan Naib Presidennya (ADUN Meluan) Wong Judat Ogos lalu. 

“Parti pernah mengalami waktu sukar dan sekarang masanya untuk bangkit. Jadi tolong hentikan permainan ini dan setiap kali anda (penghasut) ‘mengganggu’ kepimpinan kami, kami sebagai ahli turut merasainya. 

“Bukan Tan Sri Mawan, Datuk Seri Tiong, Datuk Jacob dan YB Jelaing sahaja ahli parti tetapi ribuan ahlinya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kehendak Kaum Cina Tidak Pernah Dipinggir

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan kehendak kaum Cina termasuk usaha mengekal dan mempromosikan kebudayaan mereka. 

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata komitmen kerajaan terhadap aspek itu diperkuatkan lagi dalam Gagasan 1Malaysia untuk semua kaum di negara ini. 

“Selain memberi penghargaan kepada kaum Cina dalam ekonomi, kerajaan sentiasa memberi sokongan dalam usaha mengekal dan mempromosikan kebudayaan kaum Cina menerusi pendidikan,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kuih Bulan anjuran SUPP Riam di Sekolah Menengah Riam Road (RRSS) malam kelmarin.

Sehubungan itu, Lee yang juga merupakan ADUN Senadin berkata kerajaan akan sedaya upaya menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka termasuk kaum-kaum lain. 

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan masyarakat Cina untuk memberi maklum balas positif dan terlibat secara aktif dalam program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Belanjawan 2013 Harus Diterangkan Kepada Rakyat

Ketua-ketua Kaum sebagai pemimpin pering­kat akar umbi perlu diberi penerangan sejelas-jelasnya mengenai Belanjawan 2013, supaya mereka lebih mudah menjelaskannya kepada pen­duduk di kampung masing-masing. 

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jah­wie berkata antara yang perlu pemimpin masyarakat itu lakukan ialah melengkapkan data golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan belia berpendapatan kurang daripada RM2,000 untuk memudahkan mereka menda­pat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0. 

“Penyediaan data golongan yang layak menerima BR1M itu secara lebih awal penting supaya mereka tidak terlepas daripada menerimanya dan mengelak berlaku kesesakan seperti tahun lalu,” katan­ya semasa bertemu dengan ketua-ketua kaum di daerah kecil Igan bagi menjelaskan Belanjawan 2013, di Igan kelmarin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mem­bentangkan Belanjawan 2013 minggu lalu mengumumkan kerajaan akan mengagihkan BR1M 2.0 sebanyak RM500 kepada golongan berpendapa­tan kurang daripada RM3,000 dan RM250 kepada golongan bujang dengan pendapatan kurang RM2,000. 

Justeru Abu Seman meminta ketua-ketua kaum di kawasan DUN Jemoreng termasuk daerah kecil Igan supaya menyediakan data golongan yang layak menerima BR1M 2.0 lebih awal bagi mengelak berlaku kesesakan seperti tahun lalu.

Paulus Masih Diperlukan?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang semalam tampil menjelaskan bahawa beliau masih lagi menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sekali gus menjawab segala persoalan dan tanda tanya di kalangan rakyat di konstituensinya. 

“Saya masih menjadi wakil rakyat BN sehingga pilihan raya akan datang dan hanya wakil rakyat BN sahaja yang diberi peruntukan oleh kerajaan untuk diagih-agihkan kepada rakyat,” katanya. 

Paulus berkata sebelum ini ramai rakyat khususnya di kawasannya yang musykil mengenai kedudukan sebenarnya sebagai wakil rakyat. 

“Saya berharap dengan penjelasan itu dapat menjawab sebarang kemusykilan dan persoalan yang ditimbulkan sebelum ini,” katanya pada penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) daerah Limbang di Pejabat Daerah Limbang semalam.

Abaikan Fitnah Jawah: Uggah

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas melahirkan rasa kesal dengan tindakan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang yang memburuk-burukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di kawasan Lubok Antu.

Menurutnya, tindakan Jawah yang cuba menyerang peribadi Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak semasa berucap dalam ceramah politik sekitar rumah panjang di kawasan Parlimen Lubok Antu sebenarnya adalah bersifat politik. 

“Apa yang dikatakan Jawah itu adalah bohong maka saya berharap anda semua di kawasan Parlimen Lubok Antu sedar bahawa ia merupakan taktik yang cuba meraih undi untuk keuntungan politik dirinya,” katanya. 

Uggah selaku Ahli Parlimen Betong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama RELA (Ikatan Relawan Rakyat Malaysia) di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Lubok Antu kelmarin.

Uggah berkata demikian bagi merujuk kepada cerita Nyalau semasa berucap pada majlis yang sama yang mengatakan bahawa bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang mewakili Parti Pekerja Sarawak (SWP) menabur fitmah dan memburukkan peribadinya (Nyalau) semasa berucap di rumah panjang sekitar Lubok Antu baru-baru ini.

Monday, October 8, 2012

Sokong Kerajaan Demi Pembangunan

Pembangunan tidak akan dapat diteruskan jika rakyat tidak mengundi kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng berkata rakyat di negeri ini, khasnya di luar bandar dan skim penempatan semula masih dahagakan pembangunan daripada kerajaan. 

Bagaimanapun katanya, pembangunan yang diharapkan oleh rakyat tidak mungkin akan dapat direalisasikan jika rakyat sendiri menolak kerajaan BN.

“Skim penempatan semula Stapok ini misalnya, jelas sekali masih mundur dari segi infrastruktur dan mengambil masa yang lama untuk dibangunkan. 

“Justeru, saya menyeru kepada anda semua, pada pilihan raya akan datang jangan anda bersikap buang batu kepada calon Barisan Nasional seperti yang berlaku kepada bekas ADUN Batu Kawa Tan Joo Phoi,” katanya.

Friday, October 5, 2012

SWP Telah Kenal Pasti Calon PRU13

Parti Pekerja Sarawak (SWP) telah mengenal pasti calon-calon yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, kata Presidennya Larry Sng.

Bagaimanapun beliau yang mempertahankan pendirian parti akan bertanding di enam kerusi Parlimen enggan mendedahkan bakal calon mewakili parti yang baharu ditubuhkan pada Mei lepas. 

“Sudah tentu kami sudah mengenal pasti calon-calon dan akan mengumumkannya pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SWP di sini, semalam.

SWP akan bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Hulu Rajang, Kanowit, Julau dan Selangau. Kerusi-kerusi tersebut merupakan kawasan diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Tan Sri James Masing

Mengenai ura-ura mengatakan beliau bakal bertanding di Parlimen Sri Aman, Larry yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus enggan mengulas. 

“Tunggu masa untuk kami umumkan nama calon,” katanya.

Agihkan Surat ROS Kepada Ahli SUPP

Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh semalam menggesa supaya surat yang didakwa daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 26 Mac bahawa Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) adalah sah oleh Setiausaha Agung Pemuda SUPP Wilfred Yap, didedahkan atau diagihkan kepada semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)

Pengerusi SUPP Cawangan Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa yang mewakili kumpulan Wong berkata, mereka tidak sepatutnya hanya mengedarkan surat berkenaan kepada beberapa kumpulan sahaja. 

Dr Rayong menegaskan bahawa kumpulan mereka sepatutnya mendapat surat daripada ROS seperti yang didakwa kerana mereka mempunyai hak dalam perkara berkenaan bagi mengelak sebarang keraguan. 

“Apa sahaja maklumat daripada ROS adalah penting bagi menangani isu kritikal bagi mencapai perpaduan dalam parti. 

“Kita merasakan apa sahaja maklumat daripada ROS tidak harus disimpan oleh CWC sahaja tetapi diagihkan kepada semua cawangan dan ahli supaya tidak ada yang tertinggal terutama kontroversi yang menyelubungi TDC,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Penyandang Kerusi Parlimen Tiada Jaminan Dikekalkan

Tiada jaminan penyandang kerusi Parlimen dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang sehingga senarai akhir calon diumumkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman kepada media semalam apabila ditanya mengenai pemilihan calon dalam kalangan parti untuk PRU13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) ditemui pada Majlis Penyerahan Agihan Bantuan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Dewan Saidina Al- Khattab, TBS. 

Daud bagaimanapun berkata, jika penyandang telah berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan masingmasing, masih diterima rakyat dan boleh menang untuk BN, sudah tentu peluang untuk mereka dicalonkan cerah.

Wednesday, October 3, 2012

Sarawak Dianaktirikan??

Pembangkang melihat Sarawak terus dianaktirikan dalam ‘semanis-manis’ Belanjawan 2013 yang turut disifatkan bakal melonjakkan hutang negara kerana tidak memberi banyak penekanan khasnya dari segi infrastruktur.

Sambil menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 mengecewakan, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Wong Ho Leng berkata, sementara Semenanjung Malaysia mendapat pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kawasan pedalaman di Sarawak pula hanya menerima tangki air berbanding diberi projek pembinaan struktur penyimpanan air yang kekal.

“Perkara ini tidak memberi banyak manfaat kepada penduduk Sarawak, khususnya dalam jangka masa panjang kepada penduduk kawasan pedalaman.

“Seperti mana yang kita sedia tahu, banyak yang perlu dibangunkan seperti jalan raya, bekalan air dan juga elektrik,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu turut melahirkan kekesalan kerana tidak ada satu sen diperuntuk bagi menaik taraf jalan raya Pan Borneo, walhal ia amat memerlukan perhatian dan telah melibatkan banyak kemalangan.

Berhubung subsidi tong gas yang diberikan kepada penduduk Sarawak pula, beliau memberitahu ia tidak memadai malah perlu dijual dengan harga lebih murah memandangkan negeri ini adalah pembekal minyak dan gas.

“Tetapi nampaknya orang tengah, seperti dalam sektor pengangkutan mengambil kesempatan dari perkara tersebut,” katanya. 

Pada masa sama, beliau menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 itu sebagai cara meraih undi semata-mata serta mempersoalkan sumber wang yang bakal digunakan untuk membiayai belanjawan tersebut.

Belanjawan 2013 Amat Munasabah Kepada Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyifatkan peruntukan Belanjawan 2013 adalah amat munasabah terutama kepada Sarawak.

Utusan Borneo melaporkan bahawa menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar itu, banyak sudut dalam belanjawan itu akan memberi manfaat serta keuntungan kepada keseluruhan rakyat di bandar atau luar bandar. 

“Peruntukan kewangan yang diagihkan pada Belanjawan 2013 dari segi pembangunan luar bandar dan pertanian adalah amat munasabah.

Suspek Kesembilan Kes Bunuh Edwin Didakwa

Seorang lelaki berusia 26 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di Limbang semalam, atas tuduhan membunuh Edwin Singa Pelupis, menjadikan jumlah suspek meningkat kepada sembilan orang setakat ini. 

Laporan ahli patologi turut mendedahkan bahawa tiada pemutar skru digunakan dalam pembunuhan yang berlaku pada 21 September lalu. 

Suspek ditahan pada jam 1.30 petang Isnin dan dibawa ke Limbang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan perkara itu dalam sidang akhbar di sini, semalam. 

Beliau yang mengetepikan persepsi awam bahawa mangsa dibunuh menggunakan pemutar skru, berkata laporan ahli patologi mendedahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala ekoran serangan menggunakan objek tumpul. 

“Pemutar skru yang didakwa digunakan tidak pernah ditemui dan tiada bukti ia digunakan untuk menyerang mangsa di belakang kepala atau digunakan untuk mencalarkan tubuh mangsa,”katanya. 

Suspek kesembilan itu akan dihadapkan ke mahkamah hujung bulan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...