Tuesday, April 17, 2012

Tamparan Bagi SPDP

Sekitar 1,100 penduduk di Mas Gading telah keluar daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) kerana menyokong Kelab Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Kumpulan 5 (G5).

Daripada jumlah tersebut, 743 adalah dari N.1 Opar manakala selebihnya dari Tasik Biru dan kad keahlian SPDP mereka telah dibuang oleh wakil masing-masing iaitu ketua kampung dan kaunselor ketika majlis makan malam anjuran G5 di Pusat Redeems di sini malam kelmarin (Sabtu).

Menurut jurucakap kumpulan tersebut Datuk Peter Nansian, kumpulan tersebut merupakan fasa pertama keluar daripada SPDP sekali gus menunjukkan sokongan besar kepada G5 yang juga dianggotai oleh Datuk Dr Tiki Lafe, Datuk Sylvester Entri, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus.

Jangan Mengharapkan Pembangkang

Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menasihati rakyat terutama di luar bandar agar tidak sandarkan harapan pembangunan kepada parti pembangkang sekiranya ingin maju dalam hidup.

Beliau berkata, parti pembangkang hanya pandai menabur janji manis demi meraih sokongan politik tetapi tidak pandai menunaikannya.

Menurutnya, perbuatan itu taktik biasa parti pembangkang dengan mengumumkan janji kosong kepada rakyat dan kemudiannya menghilang selepas selesai pilihan raya.

“Saya berharap agar rakyat tidak terlalu memberi harapan kepada mereka ini (parti pembangkang), tidak ada hasil langsung,” katanya.

Dasar Islam Diperjuangkan PAS Tidak Pernah Berubah

Dasar Islam yang diperjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah berubah tegas Timbalan Pesuruhjaya I PAS Sarawak Mohamad Shokri Ahmad Fauzi.

Malah, katanya PAS semakin relevan dengan dasar yang dibawa dengan situasi yang berlaku pada masa kini.

Tambahnya, PAS turut mendapat sokongan amat baik daripada pengundi-pengundi berbangsa Iban berbanding kawasan majoriti Melayu.

“Golongan bukan Islam lebih yakin dengan dasar Islam yang kita bawa.

“Sokongan Rakyat bukan Islam kepada PAS didorong sikap antipolitik perkauman yang selama ini diamalkan parti komponen BN,” dakwanya.

Daftar Golongan OKU Sebagai Pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan lebih agresif bagi mendaftarkan pengundi baharu terutama daripada kalangan golongan orang kurang upaya (OKU).

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, hak bagi membentuk kerajaan adalah hak rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun.

“Tidak kira mereka OKU atau sebaliknya, sekiranya mereka layak untuk mengundi, maka golongan ini perlu dibantu dan didaftarkan kerana mereka berhak membentuk kerajaan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mas Gading Kekal Untuk BN

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom yakin kerusi Parlimen Mas Gading akan dikekalkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Mawan berkata, keyakinan tersebut dilihat berdasarkan sokongan kuat daripada penyokong tegar BN termasuk dari kalangan bekas pemimpin SPDP yang kini digelar G5.

“Saya cuma harap mereka (penyokong tegar G5) kekal benar kepada perjuangan mereka. Mereka mengaku setia kepada BN dan kami (BN) berharap mereka kekal seperti itu selamanya.

“Kami juga mempunyai penyokong kami sendiri. Jadi, satu tambah satu sama dengan dua,” katanya sebagai membidas DAP mengambil peluang ke atas masalah BN di Mas Gading.

Sabtu lalu, G5 telah mengadakan jamuan makan malam BN di Pusat Redeems dan mendakwa sekitar 1,000 orang hadir manakala SPDP yang menganjurkan majlis pada hari yang sama di Dewan Suarah Bau dihadiri oleh sekitar 850 orang kebanyakan pengundi Cina Mas Gading.

Pertahan Sarawak Daripada Jatuh Ke Tangan PAS

Rakyat Sarawak harus mempertahankan negeri ini daripada dirampas oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang bakal tiba.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, anak jati sendiri adalah pilihan terbaik terutama dari segi pentadbiran politik.

“Adakah rakyat negeri ini mahu melihat Sarawak dirampas dalam PRU13 nanti terutama oleh PAS?”

Menurutnya, jika rakyat Sarawak masih sayangkan negeri ini, sudah pasti PAS dan sekutunya yang lain harus ditolak dan jelas bukan pilihan dalam PRU13.

Penduduk Kapit Sokong BN

Penduduk Katibas, Song, di Musah khasnya menunjukkan sokongan padu mereka kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas/Song Datuk Ambrose Blikau Enturan.

Rata-rata tuai-tuai rumah di sepanjang Sungai Musah menyatakan sokongan serta berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat ini yang sentiasa prihatin dan meluangkan masa untuk berjumpa dengan masyarakat bawahan.

Mereka melahirkan rasa terima kasih tersebut ketika berucap dalam Program Muhibah 1Malaysia, anjuran bersama agensi-agensi kerajaan di Song, di Rumah Japok, Sungai Musah, di sini malam kelmarin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...