Tuesday, April 17, 2012

Daftar Golongan OKU Sebagai Pengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan lebih agresif bagi mendaftarkan pengundi baharu terutama daripada kalangan golongan orang kurang upaya (OKU).

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, hak bagi membentuk kerajaan adalah hak rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun.

“Tidak kira mereka OKU atau sebaliknya, sekiranya mereka layak untuk mengundi, maka golongan ini perlu dibantu dan didaftarkan kerana mereka berhak membentuk kerajaan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata golongan OKU mempunyai kelayakan untuk mengundi sama seperti orang lain namun mereka kurang diberi keutamaan untuk berbuat demikian atas faktor-faktor tertentu.

“Ada ibu bapa yang mempunyai anak OKU dan layak mengundi tidak mendaftarkan anak-anak mereka kerana tidak sedar bahawa anak-anak mereka juga berhak membentuk kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, selagi rakyat Malaysia memenuhi syarat-syarat layak mengundi, maka agensi berkaitan atau parti-parti politik perlu agresif mengesan serta mendaftarkan mereka sebagai pengundi.

“Kita tidak mahu rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun tercicir daripada proses pemilihan kerajaan kerana satu undi amat bermakna kepada calon yang bertanding,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga berharap SPR lebih telus dalam pendaftaran pengundi terutama melibatkan kes-kes penukaran tempat membuang undi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...