Friday, November 16, 2012

Golongan Miskin Tegar Dibela

Golongan miskin tegar di kawasan Parlimen Miri yang amat memerlukan bantuan membaiki rumah usang mereka, mempunyai alasan untuk berterima kasih kepada kerajaan, selepas permohonan mereka diluluskan di bawah Program Nadi Kasih. 

Menurut Setiausaha Politik Ahli Parlimen Miri yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting, kesemua kuota 200 keluarga yang diperuntukkan bagi Parlimen ini sudah dipenuhi dan diluluskan. 

Sebastian memberitahu, 100 permohonan golongan miskin tegar telah diluluskan pada tahun lepas manakala 100 lagi diluluskan tahun ini.

“Kita telah melengkapkan kuota bagi Parlimen P.219 Miri dalam tempoh dua tahun ini dengan memilih mereka yang benar-benar layak. 

“Bagi memastikan golongan miskin tegar ini benar-benar terbela, pada tahun depan kita akan mengenal pasti lagi kumpulan sasar ini dan berharap memperolehi sejumlah 100 keluarga yang layak dibantu,” katanya. 

Program Nadi Kasih adalah salah satu projek yang dibiayai oleh 1Malaysia Development Berhad dan Parlimen Miri memperolehi peruntukan RM500,000 pada tahun ini.

Lelaki Hilang Dompet

Seorang lelaki kehilangan dompet ketika sibuk berurusan di kaunter sebuah agensi kerajaan yang terletak di Simpang Tiga di sini, kelmarin. 

Menurut sumber, mangsa, 23, terdahulunya telah menyerahkan dompet kepada isterinya sebelum menjalankan urusan di kaunter berkenaan sekitar jam 10 pagi semalam.

Isteri mangsa kemudian dikatakan telah menyimpan dompet tersebut di dalam beg tangannya sebelum beredar dan duduk di kawasan khalayak ramai juga tidak jauh dari kaunter di mana suaminya berurusan.

Beberapa minit selepas itu, mangsa kemudian meminta dompetnya semula daripada isterinya kerana ingin membayar sesuatu di kaunter tersebut. 

Bagaimanapun, selepas memeriksa ke dalam beg tangannya, isteri mangsa mendapati dompet suaminya tiada di dalam beg tangannya itu. 

Dia kemudian terus memberitahu suaminya berhubung kehilangan tersebut dan percaya ia angkara perbuatan penyeluk saku yang mengambil kesempatan di tengah-tengah kesibukan orang ramai. 

Menurut mangsa selain dokumen peribadi, terdapat wang tunai berjumlah kira-kira RM600 di dalam dompetnya itu.

Pembangunan Perlukan Kerjasama Rakyat

Projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan tidak mungkin terlaksana tanpa kerjasama dan pertimbangan daripada rakyat di peringkat akar umbi. 

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian sebagai merujuk kepada projek pembangunan Darul Hana di kawasan Seberang Hilir, Petra Jaya di sini. 

Menurut beliau, projek pembangunan Darul Hana merupakan langkah jauh kerajaan untuk penduduk kampung di kawasan itu ke arah masyarakat masa depan yang dilengkapi dengan segala bentuk kemudahan sosial, ekonomi, agama, keilmuan dan lain-lain. 

“Buat masa ini apa yang diharapkan oleh kerajaan ialah kerjasama daripada penduduk kampung sepanjang pelaksanaan projek ini. 

“Tempoh sepuluh tahun secara kasarnya mungkin kelihatan agak panjang, tetapi bagi program seperti ini 10 tahun adalah singkat. 

“Justeru, saya berharap dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada penduduk kampung, program pembangunan Darul Hana ini akan dapat dipercepatkan,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Santubong.

Bank Rakyat Untuk Semua

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad atau lebih dikenali sebagai Bank Rakyat merupakan sebuah bank untuk semua kaum di negara ini. 

Ketua Bank Rakyat Wilayah Sarawak Aznan Ali Othman berkata, bank terbabit bukan untuk masyarakat Bumiputera sahaja sebagaimana persepsi umum.

“Jika dahulu persepsi ramai mengatakan Bank Rakyat hanya untuk masyarakat Bumiputera, saya pasti kita kena faham Bank Rakyat adalah untuk semua,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bank Rakyat 2012 di sebuah hotel di sini, malam kelmarin. 

Majlis ini yang dikhususkan untuk komuniti Cina di sini, turut dihadiri oleh Pengurus Bank Rakyat Cawangan Sibu Zabidah Abu Bakar. 

Menurut Aznan, sejak Bank Rakyat Cawangan Sibu beroperasi pada bulan Mei 2000, bank telah menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua kaum di sini, termasuk daripada komuniti Cina. 

“Tanpa sokongan anda yang tidak berbelah bahagi, kami tidak akan berada pada kedudukan hari ini. 

“Sebagai menghargai sokongan anda semua, saya akan pastikan pasukan di Bank Rakyat Sibu akan bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik untuk semua,” katanya.

Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Akan Dibina Di S’wak

Lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di Sarawak menggunakan peruntukan yang diberikan kerajaan pusat menerusi Belanjawan 2013 khas untuk pembangunan perumahan di negeri ini. 

Perkara itu didedahkan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang memberitahu ia hasil lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Sarawak yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyatnya. 

Jumlah peruntukan untuk merancakkan sektor perumahan itu akan diumumkan Abang Johari pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 19 November ini. 

“Saya akan mengumumkan semasa (persidangan) DUN nanti mengenai peruntukan yang kita dapat daripada kerajaan pusat mengenai pembangunan perumahan di Sarawak. 

“Sebenarnya, kita berasa beruntung kerana dalam Bajet 2013, Sarawak mendapat peruntukan yang agak baik dari sudut pembangunan rumah mampu milik, ini belum termasuk rumah mesra rakyat,” katanya.

MPP Rugi RM70,000 Akibat Vandalisme

Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM70,000 setiap tahun disebabkan kegiatan vandalisme terhadap kemudahan-kemudahan terdapat di taman-taman rekreasi di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Landskap MPP Edward Kurik berkata disebabkan perbuatan vandalisme itu juga pihaknya sering dipersalahkan dan dikatakan tidak mengutamakan usaha mencantikkan landskap serta taman rekreasi di kawasan seliaannya. 

“Hakikatnya setiap tahun purata kerugian dialami MPP hanya melibatkan landskap termasuk 34 taman rekreasi ialah sekitar RM70,000. 

“Ini disebabkan perbuatan vandalisme ke atas kemudahan-kemudahan disediakan seperti alat permainan kanak-kanak khususnya buaian, bangku dan tidak kurang juga yang dicuri. 

“Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini… RM70,000 besar nilainya dan ia boleh digunakan untuk aspek pembangunan lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam. 

Menurutnya disebabkan itu MPP menganggarkan kos memperbaiki, menambah baik serta menaik taraf semua taman rekreasi dan landskapnya kira-kira RM100,000.

Warga Tua Merempat Rupanya Bekas Guru Besar

Seorang lelaki warga tua yang ditemui merempat di kaki lima Pasar Sentral tengah malam kelmarin rupa-rupanya seorang bekas guru besar.

Kehadiran pesara kerajaan yang berumur 70 tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan yang terdengar bunyi orang meraung kesakitan. 

Apabila didekati, pengawal keselamatan itu mendapati warga emas tersebut seolah-olah sukar bernafas, manakala badannya menggeletar. 

Ditanya asalnya, warga tua itu memberitahu dia orang Samarahan dan mendakwa dia telah dihalau oleh keluarganya dan tinggal di merata-rata tempat sejak seminggu lalu. 

Warga tua itu juga memberitahu, dia pernah menjadi guru besar dan mempunyai seorang isteri berasal dari Matu Daro. 

Namun, keadaan warga tua itu semakin tenat sehingga memaksa pengawal keselamatan itu menghubungi nombor kecemasan. Ambulans dan kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tiba di situ tidak lama kemudian dan membawanya ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. 

Warga tua itu turut membawa sebuah beg pakaian yang mengandungi dokumen-dokumen penting seperti buku akaun bank. 

Dia dikatakan tidak sedarkan diri sehingga sekarang setelah dimasukkan ke wad hospital.

Perpaduan Tunjang Wawasan

Amalan kesederhanaan mampu memperkukuhkan perpaduan kaum yang merupakan asas untuk merealisasikan wawasan negara, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, konsep wasatiyyah yang diterapkan menerusi sambutan Maal Hijrah tahun ini bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. 

“Konsep wasatiyyah ini adalah selaras, bahkan sebenarnya berdasarkan wawasan kepimpinan negara yang berazam untuk mewujudkan keseimbangan dalam membina perpaduan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya. 

“Justeru pendekatan wasatiyyah, amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa mengira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk membina modal insan demi mencapai kemajuan dan kemakmuran negara,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...