Thursday, November 1, 2012

Elak Politik Perkauman Dalam PRU13

Jika Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran menjadi negara maju menjelang 2020, maka landskap politik negara ini perlu menjauhi daripada politik perkauman dan regionalistik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang. 

Aktivitis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata para pemimpin politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang wajar berfikir secara terbuka dan serius membentuk corak politik yang harus diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata Malaysia mempunyai puluhan kumpulan etnik serta penganut agama yang berbeza, sudah tentu memaksa barisan pemimpin parti-parti politik untuk bertindak tegas dan menganggap diri mereka mewakili pelbagai kaum dari kawasan masing masing.

“Misalnya satu kawasan itu sudah tentu mempunyai pengundi yang terdiri daripada berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Melanau dan sebagainya.

“Justeru, mereka yang menjadi wakil rakyat atau bakal calon-calon yang bertanding pada PRU13 nanti perlu memikirkan secara holistik dan pembangunan yang diagihkan mengikut keperluan penduduk kawasan terbabit,” katanya di sini semalam. 

Wan Zain menarik perhatian jika tidak dilakukan secara adil sudah tentu wujud rasa tidak puas hati di kalangan pengundi pelbagai kaum disebabkan wakil-wakil (rakyat) mereka hanya membela satu kaum sahaja sambil kaum-kaum lain disisihkan demi kepentingan kaum dan agama mereka.

Jangan Terpengaruh Seruan Keluar Malaysia

Rakyat Sarawak disaran tidak terpengaruh dengan ideologi kumpulan gerakan pemisah Sarawak Sabah Keluar Malaysia (SSKM) yang diuar-uarkan dalam laman sosial ketika ini.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata SSKM sengaja mewujudkan satu akaun baharu dalam laman sosial bertujuan untuk meracuni dan mengelirukan rakyat Sabah dan Sarawak.

“SSKM sengaja memutar belit beberapa fakta berkaitan perjanjian dalam penubuhan Malaysia, malah menyifatkan kerajaan persekutuan tidak menghormati Perkara 18/20 Perjanjian Penggabungan 1963,” katanya kepada Utusan Borneo semalam. 

Beliau memberitahu, gerakan pemisah SSKM itu kemungkinan didalangi oleh ahli-ahli politik yang kurang senang dengan pentadbiran kerajaan Malaysia sehingga cuba menimbulkan isu sensitif. 

“SSKM tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan ia bergerak secara haram melalui laman sosial dengan menghasut, mengeliru dan menipu rakyat Sabah dan Sarawak,” jelasnya. 

Tambahnya sekiranya SSKM terus dibiarkan meracuni pemikiran rakyat Sabah dan Sarawak dalam laman sosial, maka ia boleh mengganggu gugat ketenteraman majoriti rakyat Borneo.

Calon Satu Kerusi Dipersoal

Naib Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Daniel Ngieng Kiong Ann semalam mempersoalkan pendirian Wong Ho Leng dan Chong Chieng Jen berhubung polisi Satu Calon Satu Kerusi oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan Karpal Singh. 

Ngieng berkata ini memandangkan Wong dan Chong masing-masing memegang dua jawatan sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Wong adalah Ahli Parlimen Sibu dan ADUN Bukit Assek manakala Chong merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota Sentosa. 

Karpal Singh secara terbuka pada Jumaat lepas memberitahu bahawa ahli DAP yang merupakan Ahli Parlimen dan ADUN perlu membuat pengumuman secara terbuka kerusi mana yang mereka akan bertanding pada Pilihan Raya Umum akan datang. 

Turut dilaporkan pemimpin tertinggi DAP seperti Lim Guan Eng, Ngeh Khoo Ham, Nga Kor Ming, Teresa Kok, Anthony Loke Siew Fook dan dua pemimpin tertinggi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Chong Chieng Jen memegang dua jawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN.

“Maka, persoalannya sama ada Wong dan Chong akan bersetuju dengan Ngeh Khoo Ham akan cadangan Karpal Singh berhubung polisi Satu Calon Satu Kerusi. Jangan cuba memperjelaskan dengan menjawab ia sebagai isu dalaman parti di mana pihak lain tidak mempunyai hak untuk mempersoalkannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...