Tuesday, October 30, 2012

PRS Lindungi Hak Penduduk Luar Bandar

Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan terus merealisasikan objektif dan matlamatnya melindungi hak dan keperluan penduduk luar bandar di negeri ini yang terdiri daripada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Presidennya Tan Sri James Masing berkata wakil-wakil rakyat PRS yang terdiri daripada enam Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak pernah lari daripada tanggungjawab mereka untuk memperjuang dan mempertahan hak rakyat di luar bandar khususnya masyarakat Dayak. 

“Adakalanya kita menangis melihat pertempuran politik yang membabitkan serta memfokuskan kepada keperluan dan kehendak masyarakat Dayak. Dalam hal ini, kita tidak mempunyai pilihan.

“Kita (wakil rakyat) adalah dipilih oleh rakyat, justeru kita wajib menjaga kepentingan masyarakat kita (Dayak),” katanya pada Majlis Makan Malam 1Malaysia Untuk Belia (IM4U) anjuran PRS 30 sempena sambutan Ulang Tahun Ke-8 PRS di sebuah hotel terkemuka, di sini malam kelmarin.

Jangan Gentar Diasak Pembangkang

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak perlu gentar dengan asakan yang bakal dilakukan oleh pembangkang jika senarai calon PRU diumumkan lebih awal.

Naib Presiden SUPP Datuk Yong Khoon Seng berkata situasi seperti itu merupakan perkara biasa dalam politik.

Justeru beliau menyambut baik jika senarai calon BN bagi PRU13 diumumkan lebih awal seperti yang dibayangkan oleh Setiausaha Agung BN Pu­sat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Saya bersetuju jika senarai calon diumumkan lebih awal bagi membolehkan bakal-bakal calon atau calon terpilih dapat bekerja dengan lebih gigih di mana ketika ini agak kelam-kabut kerana kita tidak tahu siapa akan jadi calon. 

“Kita juga tahu apabila nama keluar lebih awal, pembangkang akan sedaya upaya menjatuhkan calon BN. Tetapi pada saya ia adalah tidak apa kerana ini perkara yang biasa,” katanya.

Isu Sampah: Jangan Salahkan MBM Dan Kontraktor

Orang ramai jangan menuding jari kepada pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan kontraktor semata-mata dengan menyalahkan mereka berhubung isu berkaitan sampah di bandar raya ini. 

Sebaliknya penduduk Miri turut bertanggungjawab terhadap masalah yang berkaitan terutama mereka yang suka membuang sampah merata-rata dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan tong sampah yang disediakan. 

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang menegur sikap segelintir penduduk yang suka membuang sampah di luar tong sampah, berkata jika penduduk sendiri tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan, maka masalah itu tidak akan selesai walaupun kontraktor mengutip sampah setiap hari.

“Ada penduduk yang suka membuang sampah-sarap merata-rata dan ada juga yang seperti bermain basketball (bola keranjang), baling sembarangan ke arah tong sampah tanpa mempedulikan ia masuk ke dalam tong sampah atau sebaliknya. 

“Sikap sebegini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekitar sebaliknya menjadikan sampah-sarap bertaburan di merata-rata dan ini pastinya menyukarkan kontraktor yang mengutip sampah,” katanya. 

“Jadi jangan menyalahkan pihak Majlis mahupun kontraktor kalau anda sendiri membuang sampah merata-rata. 

“Justeru saya minta semua pihak bekerjasama, buang sampah dengan baik dan teratur apatah lagi kini tong-tong sampah akan ditambah jumlahnya,” tambah Lee.

Kerajaan Fokus Pembangunan Rakyat

Kerajaan akan terus memberi fokus dan tumpuan menyeluruh dalam usaha memberi kemajuan serta pembangunan kepada rakyat negeri ini kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis

Menurut beliau, kerajaan akan terus berusaha dan tidak akan berhenti sehingga matlamatnya itu tercapai. 

“Inilah KPI kerajaan dalam usaha meningkatkan pencapaian NKRA sebagaimana gagasan 1Malaysia terus terlaksana,” ujarnya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Makan Malam dan Pertandingan Nyanyian Warga Emas sempena sambutan Chong Yang Festival anjuran Kelab Hok Lin, Sri Aman di salah sebuah restoran terkemuka dekat sini baru-baru ini.

Katanya walaupun rakyat berada jauh dari arus pembangunan infrastruktur, kerajaan akan membantu sehingga mereka akan dapat menikmati pembangunan sebagaimana yang dikecapi orang lain.

Katanya bukan berkata atau berjanji apabila tibanya pilihan raya, sebaliknya usaha untuk memberi pembangunan kepada rakyat sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa.

Anjung Komuniti 1Malaysia Perlu Lebih Peka Keadaan Sekeliling

Anjung Komuniti 1Malaysia perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling dan menangkis tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata pemimpin Komuniti 1Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif untuk menyebarkan maklumat kerajaan lebih tepat kepada penduduk setempat. 

“Penubuhan Komuniti 1Malaysia yang dahulunya dikenali Komuniti Bestari anjuran Kementerian Penerangan Malaysia adalah bertujuan mewujudkan sebuah agensi yang bertindak menyampaikan maklumat rasmi kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya pada perasmian Anjung Komuniti 1Malaysia (K1M) di Kampung Pujut, Sungai Adong di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Sebastian menggesa pemimpin Komuniti 1Malaysia sama ada mereka yang dilantik sebagai pengerusi mahupun Ahli Jawatankuasa (AJK) perlu memainkan peranan untuk bersama-sama menjayakan agenda kerajaan khususnya dalam menyatupadukan rakyat di kawasan masing-masing.

Wilfred Yap Calon Stampin

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bersetuju memilih Wilfred Yap sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin berkata adalah tidak adil untuk parti terus merahsiakan calon yang akan bertanding antara Wilfred atau Lo Khere Chiang.

“Agak sukar untuk kami membuat keputusan ini namun Wilfred akan menjalankan tanggungjawab untuk mewakili parti di Stampin. 

“Ini kerana kami merasakan adalah tidak adil bagi mereka hanya ‘tergantung’ apabila kami membuat keputusan pada saat akhir,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Menurutnya, parti akhirnya bersetuju untuk membuat keputusan salah seorang daripada dua nama terpaksa diketepikan dalam semangat dalam parti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...