Thursday, September 27, 2012

SUPP Keluar BN?

Cadangan keluar Barisan Nasional (BN) yang dikemukakan beberapa ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semasa mesyuarat jawatankuasa itu Ahad lepas menimbul tanda tanya beberapa pihak meskipun Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin pada sidang media selepas itu dengan tegas enggan mengulas perkara itu.

Menurut sumber dalaman parti yang meminta namanya tidak disiarkan, beberapa ahli CC parti membangkitkan isu itu kerana merasakan SUPP tidak lagi dihormati sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri. 

“Memandangkan parti tidak dilayan dengan adil, apa gunanya untuk parti ini terus berada dalam pakatan BN Negeri. 

“Sama ada SUPP sebahagian daripada komponen BN Negeri, tidak banyak beza,” ujarnya. 

Sumber itu juga memberitahu di bawah pucuk kepimpinan parti yang baharu, SUPP telah membangkitkan banyak isu terutama berkaitan komuniti Cina di negeri ini tetapi tidak diberi pertimbangan sewajarnya.

Wong Dipecat??

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh mendakwa beliau tidak tahu menahu dan tidak bersalah berhubung laporan dalam beberapa akhbar tempatan baru-baru ini mengatakan ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu membangkitkan usul agar beliau dipecat pada mesyuarat CC pada Ahad lalu.

“Saya tidak tahu menahu kenapa Presiden Datuk Seri Peter Chin menjadikan saya sasaran melainkan ada pihak lain yang ada agenda peribadi menentang saya dan mencari alasan untuk menyingkirkan saya daripada parti,” katanya dalam kenyataan akhbarnya semalam. 

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat diadili kerana tindakan beliau mengesyorkan pelantikan ketua-ketua masyarakat dan pengerusi Majlis Perbandaran Sarikei (MPS) tanpa mendapat nasihat daripada jawatankuasa pusat parti. 

“Apabila saya mengendalikan perkara ini, saya melakukannya berdasarkan kuasa saya sebagai menteri yang bertanggungjawab. “Saya percaya saya tidak melakukan apa yang salah atau menyalahgunakan kuasa saya sebagai menteri. Pendirian saya adalah jelas,” ujar Wong.

namaberita [dot] com: Kes Pembunuhan Edwin: Masyarakat Lun Bawang Berara...

namaberita [dot] com: Kes Pembunuhan Edwin: Masyarakat Lun Bawang Berara...: Penduduk di Lawas terutamanya masyarakat Lun Bawang hari ini berkumpul beramai-ramai berarak menuju ke Balai Polis Lawas  menunt...

Polis Diminta Adil Dan Telus Dalam Kes Edwin

Satu memorandum yang ingin menuntut keadilan berhubung kematian seorang remaja, Edwin Singa Pelipus, 19, malam Jumaat lepas sudah diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Lawas DSP Fauzilan Abdul Aziz dalam satu perarakan melibatkan kira-kira 120 kaum Lun Bawang pagi semalam.

Perarakan bermula sekitar jam 11.30 pagi dan berakhir jam 12.30 pagi itu membawa beberapa sepanduk di beberapa jalan utama di sekitar pekan Lawas menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas.

Antara lain mereka mahu polis Lawas melakukan siasatan secara adil ke atas insiden kematian Edwin.

Fauzilan ketika dihubungi Utusan Borneo semalam memberitahu bahawa memorandum dan surat itu diserahkan sendiri ketua kumpulan dalam perarakan itu sebelum mereka bersurai sejam kemudiannya.

RM300 Untuk Cabut Sebatang Gigi

Perlu ada sekurang-kurangnya RM300 dalam saku jika mahu turun ke Miri semata-mata untuk mencabut sebatang gigi.

Itulah dilema penduduk dari kawasan pedalaman negeri ini terutama di Ulu Baram yang terpaksa melalui jalan pembalakan dan membayar tidak kurang daripada RM80 untuk tambang perjalanan ke Miri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD). 

Kos pengangkutan tinggi ini masih lagi menjadi halangan utama bagi penduduk di Ulu Baram untuk mendapatkan khidmat kesihatan dan perubatan yang lebih baik di bandar raya.

Situasi ini diakui sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau yang memberitahu bahawa setiap kali turun ke bandar raya Miri atau pekan kecil di pinggir Miri, penduduk terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM80 hanya untuk kos pengangkutan pergi sahaja.

Kadar Cukai Tayar Turun!!

Usaha kerajaan dalam menguatkuasakan penggunaan tayar pneumatik yang mematuhi spesifikasi keselamatan dan menghentikan penggunaan tayar toreh untuk kenderaan di negara ini mungkin berhasil jika kadar cukai yang dikenakan kepada para pengedar tayar dikurangkan. 

Buat masa sekarang, akibat kadar cukai tinggi, harga pasaran tayar pneumatik yang telah lulus pengujian atau pensijilan adalah amat tinggi sehingga membebankan pengguna dan mengundang pemilihan tayar toreh. 

Demikian jelas beberapa persatuan pengedar kenderaan dan tayar berhubung harga pasaran tayar pneumatik yang tinggi, sekali gus menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai pembekalan tersebut demi kebaikan pengguna. 

“Cukai yang dikenakan kepada tayar sama ada import atau buatan tempatan amat tinggi dan sebab itu harga pasaran tayar adalah tinggi. 

“Keadaan ini amat membebankan pengguna dan pihak kami berharap agar kerajaan dapat menurunkan kadar cukai yang dikenakan ini,” kata Naib Presiden Persatuan Pembekal Skuter dan Motosikal Malaysia Temenggung Lu Kim Yong.

Thursday, September 20, 2012

Kerjasama Dengan Voon Tidak Wajar Disalah Tafsir

Kerjasamanya dengan Naib Presiden PKR Voon Shiak Ni tidak wajar disalah tafsir, kata Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Lo yang juga setiausaha SUPP Kota Sentosa berkata kerjasama itu adalah demi kepentingan orang ramai dengan niat ingin membantu masalah mereka yang terbabit. 

Apabila melakukan kerja sosial, apa yang kita lakukan ialah di luar batasan politik.

Matlamat kita ialah menjaga kebajikan orang ramai kerana rakyat wajar didahulukan dan ketepikan politik,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

PKR Tubuh Sayap Wanita PKR Bintulu

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Bintulu telah menubuhkan sayap Wanita PKR Bintulu pada 15 September lalu bagi mengukuhkan lagi pergerakan parti berkenaan di Bintulu terutama ahli wanitanya.

Ketua Publisitinya, Kennedy Paing berkata penubuhan sayap wanita ini akan membantu dalam memperkasakan lagi pergerakan wanita parti berkenaan di bahagian ini terutama ahli-ahli wanita yang baharu menyertainya.

Katanya, walaupun baharu sahaja ditubuhkan ia akan berdiri kukuh di belakang PKR dan usaha-usaha susulan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat ini bagi mengaktifkan pergerakan berkenaan sekali gus membentuk sayap wanita yang mempunyai kredibiliti tinggi serta bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agenda parti.

Singapura Berhak Perkenal Dasar Pengambilan Tenaga Kerja

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata kerajaan Singapura berhak memperkenalkan dasar tertentu dalam pengambilan tenaga kerja dari luar negara.

Beliau berkata, pengenalan dasar dan menetapkan beberapa kriteria oleh kerajaan Singapura dalam merekrut tenaga asing pastinya relevan dengan keperluan dan standard ditetapkan. 

Justeru, katanya, rakyat Sarawak yang mahu bekerja di negara itu harus mematuhi dan menghormati setiap peraturan dan undang-undang ditetapkan negara itu kerana ia merupakan prosedur biasa dan dipraktikkan di setiap negara.

Apabila orang luar datang ke Malaysia untuk bekerja, dalam konteks ini mereka mesti mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini, begitu juga apabila rakyat Malaysia mahu bekerja di Singapura.

Wednesday, September 19, 2012

BN Berpegang Kepada Demokrasi, Tidak Menzalimi Kepada Penentang

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan bersikap zalim terhadap parti lawan sehingga sanggup melakukan kekasaran fizikal atau peperangan kerana perbezaan idea dan pegangan politik. 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, BN tetap berpegang teguh kepada sistem pemerintahan demokrasi yang memberi hak kepada setiap rakyat untuk bersuara termasuk mengkiritik pemerintahan kerajaan.

Kita tidak ada perang kerana mereka tidak setuju dari segi fikiran. Kita tidak akan gunakan senapang untuk melawan mereka.

Ini kerana kita perlu kekalkan sistem demokrasi. Jika tidak setuju, kita boleh debat di Parlimen. Kita tidak mahu guna cara kasar,” tegasnya.

Pembuat Deklarasi Kuching Tidak Faham Mekanisme, Keperluan S’wak

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembentukan Deklarasi Kuching (DK) oleh pembangkang membuktikan mereka tidak tahu mekanisme dan keperluan pentadbiran Sarawak. 

Beliau berkata, pihak yang tidak memahami dua perkara itu akan mengeluarkan banyak deklarasi yang tidak realistik. 

Saya tahu salah seorang yang membuat deklarasi ini suatu ketika dahulu tidak memberi kerjasama dalam membantu kerajaan Sarawak mendapatkan sokongan dalam belanjawan. 

Saya masih ingat pada satu masa selepas memberikan banyak janji, amat sedih apabila mendapati permintaan kita iaitu berjumlah RM600 juta bagi tempoh lima tahun untuk memajukan dan membuka estet kelapa sawit tidak ditunaikan.

Thursday, September 13, 2012

Anjakan Pendidikan Disambut Baik

Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) mengalu-alukan dan menyambut baik Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri kelmarin.

Presidennya Ahmad Malie berkata, KGBS menyifatkan laporan itu adalah sebagai bukti bahawa kerajaan amat responsif terhadap pandangan rakyat yang telah disuarakan melalui dialog yang dianjurkan sebelum ini.

KGBS yakin bahawa laporan ini telah mengambil kira semua pandangan yang telah dikemukakan sebelum ini.

Justeru KGBS mengharap-kan agar masyarakat umum dapat menerima laporan ini tanpa prejudis.

Ahmad menambah, KGBS berbangga dengan dasar Kementerian Pelajaran kerana masih memberi ruang kepada masyarakat umum untuk memberi maklum balas lanjut demi menghasilkan satu pelan yang komprehensif dan memenuhi kehendak kebanyakan rakyat.

Dengan itu kesatuan juga berharap masyarakat umum menggunakan peluang yang disediakan ini dengan sebaik mungkin.


Wednesday, September 12, 2012

Hargai Keamanan, Pilih Pemimpin Yang Ikhlas

Rakyat Sarawak harus terus melindungi serta menghargai keharmonian dan kestabilan hidup yang dinikmati sekarang dengan memilih pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, dengan harapan ke-amanan dan ketenteraman negeri ini yang bakal menyambut ulang tahun ke-49 di dalam Malaysia terus terjamin.

Kita harus memilih orang yang betul di dalam kabinet dan Parlimen iaitu wakil rakyat yang benar-benar membantu dan bekerja untuk rakyat.

Pemimpin datang dan pergi… pemimpin baharu akan datang dan mestilah mampu memberikan keadilan dari segi pentadbiran, peluang, pekerjaan dan sebagainya.

Apa yang penting ialah mestilah prihatin kepada rakyat yang miskin dan memerlukan,” katanya.


Pertahankan Mandat Untuk Memerintah

Masa depan negara untuk terus maju selaras Wawasan 2020 bergantung kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof.

Oleh itu, tegasnya, rakyat khasnya di negeri ini harus mempertahankan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan datang bagi mengecapi pembangunan berterusan di bawah pentadbiran BN ke arah Wawasan itu.

“Memang sejak dari dahulu lagi kerajaan BN telah berjaya mentadbir negara ini dengan baik sambil menfokuskan kepada keperluan rakyat dan perpaduan berbilang kaum di negara ini.

“Mereka (BN) telah menjadikan negara ini aman tanpa ancaman sambil rakyatnya menikmati pelbagai manfaat pembangunan termasuk ekonomi yang menjadikan rakyat berpendapatan tinggi.

“Tiada kerajaan lain selain BN telah menjadikan negara ini menjadi sebuah negara yang maju ketika ini dan akan lebih maju lagi bila tiba tahun 2020.


Kekalkan Kerjasama Walaupun Pemimpin Bertukar Ganti

Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meminta ketua-ketua masyarakat di bahagian ini supaya mengekalkan persefahaman yang wujud dan kerjasama baik yang terjalin dengan kerajaan, meskipun pemimpin akan bertukar ganti.

Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata beliau mahu melihatkan ketua-ketua masyarakat di sini supaya terus memberikan kerjasama mereka kepada siapa jua pemimpin (kerajaan Barisan Nasional) yang akan menggantikannya kelak, supaya mereka dapat terus menerima pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan untuk masyarakat mereka.

Katanya, hanya melalui persefahaman dan kerjasama yang diberikan itu maka kerajaan dapat melaksanakan semua projek-projek pembangunan di bawah peruntukan Projek Pembangunan Kecil Luar Bandar (MRP) dengan lancar.


Kenapa Anti Sarawak Sangat?

Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak faham kenapa ada pihak yang membangkitkan isu dengan orang Sarawak yang beliau sifatkan secara amnya sebagai sangat peramah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa laman ‘anti Sarawak’ dan ‘antiorang Sarawak’ yang muncul dalam Facebook baru-baru ini sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak dalam laman sosial itu.

Saya sebenarnya tidak tahu kenapa ada pihak yang ada isu dengan rakyat Sarawak atau negeri ini.

Saya sudah berada di sini selama lapan bulan dan saya mendapati rakyat di sini amnya sangat peramah.

Beliau menambah, walaupun beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung laman sosial terbabit, beliau percaya ia adalah angkara pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencetuskan sentimen negatif di kalangan rakyat Sarawak.

Katanya, beliau akan mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) agar menyiasat perkara itu, dan akan melancarkan siasatan untuk mengesan dalang yang bertanggungjawab jika kandungan halaman tersebut didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.


Tuesday, September 11, 2012

Dr Rauf Nafi Akan Bertanding PRU13

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Dr Rauf menafikan perkara itu selepas ada laporan yang menyatakan bahawa beliau berminat bertanding pada PRU13.

Tegasnya, beliau memberi peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyifatkan dirinya sebagai calon simpanan sahaja.

Tambahnya, bukan beliau sahaja dijadikan sebagai calon simpanan tetapi ada beberapa lagi ahli berkelayakan turut dijadikan sebagai calon simpanan.

Dr Rauf turut melahirkan kepercayaan dengan memberi ruang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan olehnya pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lalu dengan membuka ruang kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni bertanding menggantikan beliau.


Kerajaan Ringankan Beban Rakyat

Kerajaan sentiasa mencari inisiatif untuk meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup semakin meningkat dengan memperkenalkan beberapa pelan induk untuk mengurangkan inflasi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk membantu meringankan beban kumpulan sasar.

Antaranya inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Program Teksi Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi untuk meringankan beban rakyat,” katanya.


Pondok Polis Di Perlukan

Taman Soon Hup atau lebih dikenali Taman Permai amat memerlukan pondok polis susulan peningkatan kejadian jenayah di kawasan perumahan tersebut.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang Mejar Moses Ripai berkata, kejadian seperti pecah rumah, curi kereta, curi motosikal, aktiviti laku musnah dan maksiat kerap menghantui penduduk perumahan yang perlu diambil perhatian pihak berkaitan.

“Peningkatan jumlah penduduk di taman perumahan ini semakin bertambah disebabkan penambahan kawasan perumahan.

“Kawasan ini antara kawasan perumahan kedua terbesar di bahagian ini selepas Sibu Jaya iaitu sekitar 3,000 ke 4,000 unit rumah telah dibina yang didiami pelbagai kaum.

“Peningkatan jumlah penduduk antara penyumbang kepada peningkatan jenayah di kawasan perumahan ini serta mengancam keselamatan penduduk. Saya tidak menuduh penduduk Taman Permai melakukan jenayah tetapi harus diingat jenayah boleh dilakukan sesiapa sahaja.


Hargai Kemerdekaan

Semua rakyat harus menghargai kemerdekaan yang dikecapi dan tugas kita sekarang adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut dengan apa yang kita ada sekarang kata ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie.

Beliau berkata, kemerdekaan yang dikecapi harus dihargai sebaik mungkin dan harus diisi dengan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Bagi saya kemerdekaan ini ibarat kita mendapat sebuah tempayan yang besar, tempayan itu perlu diisi jadi kemerdekaan itu perlu diisi melalui pembangunan yang kita rancang seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kemerdekaan juga umpama intan yang kita miliki dan perlu dijaga dengan baik, jangan sampai ia hilang kalau hilang kita semua akan menangis untuk mencari intan yang begitu berharga.

“Orang yang hidup lama sudah merasa betapa peritnya hidup semasa dijajah oleh Jepun dahulu, di kampung saya banyak cerita yang mendukacitakan di mana orang-orang kita diseksa semasa kita dalam pemerintahan Jepun,” katanya.


Penghinaan Negeri Sarawak Perlu Disekat

Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta bertindak segera menyiasat isu menghina Sarawak di laman sosial Facebook sekali gus memadamkan semua kenyataan yang cuba menanam kebencian dan cuba melaga-lagakan rakyat negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting memberitahu kenyataan tersebut amat tidak bertanggungjawab dan berniat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Tiada negara di dunia boleh membangun tanpa perpaduan dan kestabilan di kalangan rakyat dan oleh itu kita perlu mempertahankan perpaduan dan kestabilan kita kerana kita adalah rakyat Malaysia dan tiada perbezaan antara kita.

Justeru apa rasional kenyataan yang memburukkan rakyat Sarawak seperti yang disiarkan dalam laman portal tersebut kerana kita tidak tahu apa tujuan sebenar mereka mengeluarkan kenyataan tersebut,” tambah beliau.


Monday, September 10, 2012

Kerajaan Hargai Sokongan Rakyat

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis memberitahu bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai sokongan padu daripada rakyat sebagai usaha untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Sehubungan itu, sokongan berterusan rakyat kepada kerajaan BN akan memantapkan lagi pelaksanaan program pembangunan negara bagi mencapai Wawasan 2020, jelas beliau.

Menurutnya, rancangan pembangunan kerajaan yang mencakupi aspek politik, ekonomi dan sosial tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa adanya sokongan rakyat dari segenap lapisan di negara ini.

“Atas sebab inilah saya mahu rakyat sedar bahawa jangan biarkan diri mereka dijadikan sebagai alat oleh sesetengah pihak yang mahu menggugat kestabilan politik di negara kita ini,” katanya.


Tolak Anasir-Anasir Luar

Rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar kerana dikhuatiri akan menggugat keharmonian dan kemesraan yang mengukuhkan semangat perpaduan kaum yang dikecapi selama ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin meminta rakyat untuk mempertahankan keamanan, kestabilan serta keharmonian sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usahlah kita mendengar anasir-anasir tidak baik yang sekadar untuk kepentingan diri sendiri malah hanya hadir semasa pilihan raya dan akan menghilang apabila pilihan raya berakhir,” jelasnya.

Akar Umbi Kekuatan Pemimpin

Kekuatan seseorang pemimpin bergantung kepada sejauh mana sokongan rakyat di peringkat akar umbi yang menilai kepimpinan pemimpin itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun menyifatkan rakyat sebagai penilai sebenar pucuk pimpinan kerajaan.

Kita menilai kekuatan seseorang pemimpin itu berdasarkan sejauh mana sokongan rakyat sendiri yang menilai dan memilih pemimpin yang ikhlas berkhidmat demi rakyat,” jelasnya.

Katanya rakyat perlu bersatu padu dan sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan yang rancak direncana dan dilaksana oleh kerajaan.

Kejayaan pembangunan yang dikecapi kita hari ini, hasil semangat bersatu padu di kalangan masyarakat berbilang bangsa. Negara kita terus maju dengan keadaan politik yang kukuh,” ujar beliau.


DAP, Mas Gading?

Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempergiatkan usaha merampas kawasan Parlimen Mas Gading daripada penyandangnya, Barisan Nasional (BN).

Calon DAP Mas Gading Mordi Bimol dalam ceramahnya di pekan Bau malam kelmarin berkata sudah tiba masanya untuk rakyat di kawasan ini menumbangkan BN dan menaikkan Roket (DAP).

Katanya rakyat di kawasan ini telah memberikan peluang yang terlalu lama untuk BN memerintah Mas Gading, namun pembangunan yang dinikmati tidak seperti yang dijanjikan.

Saya menerima banyak keluhan dan aduan daripada penduduk di kawasan Mas Gading terutama di kawasan kampung-kampung di mana mereka masih tidak dibekalkan dengan bekalan air bersih dan elektrik.

Wakil rakyat seharusnya berani membawa masalah rakyat dan memperjuangkan hak-hak rakyat dan bukannya mendiamkan diri dan menikmati dengan sewenang-wenangnya kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Oleh itu, kita perlu ubah. Penduduk di Mas Gading perlu memberi peluang kepada saya dan DAP untuk memerintah bagi penggal seterusnya,” katanya dengan penuh keyakinan di hadapan kira-kira 500 penduduk yang menghadiri ceramah berkenaan.


Sarawak Mohon Dana Tambahan Perbanyak Prasarana

Kerajaan Sarawak akan memohon dana tambahan daripada kerajaan perseku­tuan untuk melaksanakan lebih banyak projek pem­bangunan prasarana, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyar­akat Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh semalam.

Beliau berkata lebih banyak dana diperlukan untuk menye­diakan kemudahan prasarana di Koridor Tenaga Diperba­harui Sarawak (SCORE) dan menambah baik jalan utama antara Sematan dan Lawas.

Wong, yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata demikian apabila ditanya ten­tang harapan Sarawak dari­pada Belanjawan 2013 yang akan dibentang di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 September ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program kesihatan Aktiviti Berjalan 10,000 Langkah Merdeka Peringkat Sibu di Padang Bandaran Sibu di sini.

Mengenai program tersebut, beliau berkata ia merupakan satu lagi langkah untuk meny­edarkan orang ramai tentang pentingnya melakukan sena­man untuk sentiasa sihat dan cergas.


Kenaikan RON97 Tidak Jejas Pengguna

Kenaikan harga RON97 daripada RM2.70 seliter kepada RM3 sejak tengah malam Rabu lepas tidak menjejaskan ramai pengguna memandangkan rata-rata menggunakan RON95.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah akan menyebabkan kenaikan harga sesetengah barang, atau lebih teruk, akan disusuli dengan kenaikan RON95.

Ketika ditemui Utusan Borneo kelmarin, Mohd Azli Ejas menyifatkan kenaikan RON97 sebagai sesuatu yang lumrah dan merupakan perkara yang dijangkakan.

“Apa yang saya khuatiri, akan ada sesetengah pihak akan menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan harga barangan, kononnya kos pengangkutan naik,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Beliau yang berasal dari Muara Tuang menjelaskan, bagaimanapun kenaikan itu tidak menjejaskan keluarga berpendapatan sederhana memandangkan mereka memilih untuk menggunakan minyak subsidi, RON95.

Belajar Sampai Ke Negeri China

Segulung ijazah lebih besar maknanya berbanding sebidang tanah.

Demikian peringatan berbaur nasihat oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada masyarakat di negeri ini khasnya Melayu dan Bumiputera.

Menyedari kepentingan pendidikan untuk jaminan masa depan, Wan Junaidi berkata biarlah anak-anak menangis kerana tidak dapat ke sekolah daripada menangis kerana tidak mahu ke sekolah.

“Orang Melayu Bumiputera, kalau hendak berjaya perlu ada pendidikan dan istilah ‘Belajarlah sampai ke negeri China’ perlu difahami dan dijadikan sebagai cabaran untuk belajar setinggi yang mungkin.

“Saya masih ingat, sebidang tanah yang dimiliki oleh keluarga saya pada suatu ketika dulu masih tiada nilainya pada hari ini tetapi segulung ijazah yang saya miliki inilah yang menjadikan saya sebagai seorang yang berjaya hari ini,” ujarnya.


Thursday, September 6, 2012

SWP Mahu Sertai BN??

Sebuah parti berdaftar yang berminat menyertai Barisan Nasional (BN) perlu mendapat persetujuan daripada semua parti komponen BN Sarawak terlebih dulu.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, kenyataan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng setelah SWP menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti akan masuk BN adalah meleset sama sekali.

Ini kerana parti itu perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) terlebih dulu, jelasnya.

Menurut Nyalau, sekiranya sesebuah parti itu mahu menjadi ‘rakan kelima’ maka mereka perlu mendapat persetujuan daripada keempat-empat parti komponen terbabit.

“Andai kata sebuah parti komponen daripada empat komponen parti BN membantah kemasukannya, parti itu pun tidak akan diterima… itulah prinsip BN Negeri dan bagi PRS sudah pasti membantah kemasukan SWP ke dalam BN kerana ia melawan PRS,” katanya.


Masing Abaikan Khabar Angin

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing tidak mengambil serius khabar angin untuk ‘memusnahkan’ beliau dan calon PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, sebaliknya beliau akan mengetepikan spekulasi seperti itu kerana ia sudah sering kali dinyatakan sebelum ini.

“Saya merasakan ia hanya khabar angin sahaja. Jika ia khabar angin saya ketepikan sahaja dan tidak perlu untuk saya mengulas.

“Saya biasanya tidak mempercayai khabar angin dan sudah lama saya mendengarnya malah kerap kali saya sudah mendengarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan dalam satu laman portal bloger yang dipetik sebagai berkata, khabar angin berleluasa untuk ‘memusnahkan’ Masing dan calon PRS pada PRU akan datang muncul ekoran daripada satu pertemuan sulit antara parti baharu kontroversi, Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).


SPA Akan Lakukan Tapisan Kenal Pasti Ijazah, Diploma Palsu: Mahmood

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melakukan tapisan keselamatan bersama pejabat ke-selamatan bagi mengenal pasti ijazah dan diploma palsu yang digunakan pemohon semasa memohon jawatan kosong.

Pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam berkata, tapisan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada elemen- elemen meragukan melibatkan ijazah dan diploma palsu pemohon.

Jelasnya, dua tapisan dijalankan kepada pemohon iaitu pada peringkat permohonan dan temu duga supaya ijazah dan diploma yang digunakan adalah tulen.

“Kita akan buat tapisan untuk mengenal pasti yang tulen mahupun palsu.

“Ketika ini, SPA tidak berdepan dengan pemohon yang memiliki kelayakan palsu,” katanya ketika mengulas mengenai sindiket pemalsuan ijazah baru-baru ini.


Harga Ayam Naik Lagi..

Kenaikan harga makanan ternakan yang diimport sebanyak 12 peratus sejak awal tahun ini telah menyebabkan harga ayam di seluruh negara meng-alami kenaikan.

Pengarah Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pengeluaran makanan ternakan di Amerika Syarikat terjejas teruk akibat kemarau ketika permintaan meningkat dari seluruh dunia.

Fenomena global ini telah menyebabkan kenaikan harga ayam, di mana di negara jiran kenaikan harga ini lebih tinggi,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di sini, semalam.

Meskipun daging ayam kini bukan lagi barangan kawalan, namun menurut Wan Uzir, pihaknya masih boleh mengambil tindakan terhadap peniaga yang cuba meng-ambil keuntungan berlebihan dengan menjual pada harga yang tidak munasabah.


COLA Ganti BIW??

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak berharap cadangan memberi Bantuan Sara Hidup (COLA) kepada penjawat awam di negeri ini tidak akan menjejaskan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dinikmati ketika ini.

Setiausaha CUEPACS Sarawak Ahmad Malie berkata buat masa ini bayaran COLA hanya diberikan kepada penjawat awam di Semenanjung Malaysia manakala penjawat awam di Sarawak menikmati BIW.

CUEPACS Sarawak amat mengalu-alukan cadangan ini sekiranya ia tidak menjejaskan BIW dinikmati penjawat awam di Sarawak ketika ini.

Sekiranya kerajaan berhasrat memperluaskan COLA kepada penjawat awam di Sarawak tanpa menjejaskan BIW ia merupakan berita baik kepada penjawat awam di Sarawak..


Wednesday, September 5, 2012

Perbuatan memijak gambar PM penghinaan kepada kerajaan, negara: Wan Zain

Perbuatan memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ambang kemerdekaan 30 Ogos lalu dianggap satu penghinaan kepada kerajaan dan negara.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata meskipun berbeza fahaman politik, penyokong ektremis Angkatan Muda Keadilan (AMK) seharusnya menghormati pemimpin nombor satu negara itu.

Perbuatan memijak, menconteng atau mengoyak gambar Perdana Menteri sememangnya tidak masuk akal dan pelakunya seolah-olah tersasar dari landasan agama dan budaya negara ini.

Beliau memberitahu, perbuatan biadap yang dilakukan oleh penyokong muda parti pembangkang itu wajar dikenakan tindakan berat termasuk dikenakan denda melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan.

Ia sebagai usaha untuk memberi kesedaran kepada mereka supaya menghormati golongan pemimpin negara sekali gus mengembalikan ingatan mereka terhadap Rukun Negara,” katanya.

Wan Zain menambah, pihak terbabit harus menggunakan saluran yang betul sekiranya tidak berpuas hati dengan kerajaan dan bukannya melakukan tindakan biadap yang boleh menjejaskan imej negara.


Tuduh BN Gagal Laksana Projek

Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat mengingatkan parti pembangkang agar tidak menuduh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan projek pembangunan di kawasan Sri Aman selama ini.

Tuduhan yang menyatakan wakil rakyat Sri Aman tidak buat kerja kurang tepat setelah dua projek di kawasan Sri Aman yang bakal mengubah taraf hidup rakyat di sini akan siap tidak lama lagi.

Projek pembinaan hospital baharu bernilai RM200 juta dan naik taraf Loji Rawatan Air Empango Bayai bernilai RM43 juta yang sedang giat dilaksanakan di Sri Aman adalah bukti wakil rakyat bersungguh-sungguh membela nasib rakyat di Sri Aman, ujarnya.

Saya berharap parti pembangkang lebih berhati-hati semasa melemparkan tuduhan mengenai pembangunan rakyat di Sri Aman,” katanya.


Cinta Dan Sayang Pada Negara Harus Dipupuk

Masyarakat Bumiputera di Sibu digesa supaya terus menanam semangat cinta dan sayang kepada negara dengan menyahut seruan Kempen Kibar Jalur Gemilang semasa menyambut Hari Kemerdekaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee berkata, sesungguhnya penduduk di sini bertuah kerana Sibu diberikan amanah untuk menganjurkan banyak program sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Saya cukup bangga kerana kebanyakan masyarakat Bumiputera di sini menyambut baik Kempen Kibar Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Bagaimanapun, Dr Annuar berkata apa yang menyedihkan ada sesetengah masyarakat di sini selalu menyalahkan kerajaan apabila permintaan mereka tidak ditunaikan tetapi apabila diminta mengibarkan Jalur Gemilang mereka langsung tidak mengendahkannya.



Tidak Menyokong Pembangkang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menasihati pengundi di Parlimen Lubok Antu agar jangan sekali-kali menyokong parti pembangkang yang cuba meletakkan calon dari luar bertanding di kawasan Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurutnya, tindakan parti pembangkang yang cuba meletakkan calon luar untuk bertanding di Parlimen Lubok Antu hanya akan menyebabkan berlakunya perpecahan perpaduan rakyat di Lubok Antu sendiri.

Sebagai contoh Parti Pekerja Sarawak (SWP) selaku parti pembangkang cuba menguji nasib di sini yang dilihat boleh menggugat ‘keamanan politik’ di Lubok Antu, tambahnya.

Jadi jangan cuba menyokong calon SWP sebaliknya sokonglah calon Barisan Nasional (BN) yang sudah semestinya akan meletakkan anak jati Lubok Antu sendiri bertanding di Lubok Antu nanti,” katanya.


Hasutan Punca Perbalahan

Perbalahan antara penduduk Kampung Melikin dengan dua syarikat perladangan ke atas dakwaan pencerobohan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah di-sebabkan hasutan ‘orang luar’, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan.

Bercakap kepada pemberita semalam selepas meng-hadiri sesi dialog dengan pihak yang terjejas, Snowdan berkata ‘orang luar’ telah meracuni fikiran penduduk kampung berkaitan dengan memutarbelitkan cerita sebenar untuk kepentingan politik dan agenda peribadi mereka.

Masalah timbul disebabkan satu kumpulan kecil ‘orang luar’ telah menghasut penduduk Kampung Melikin agar menentang undang-undang dengan mengambil tindakan sendiri.

Mereka (orang luar) menggalakkan orang kampung menyertai mereka dalam ‘politik samseng’ dan bertindak seperti samseng. “Ini adalah taktik yang diimport dari Semenanjung Malaysia..


Jawatan Berdasar Meritokrasi

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam menepis dakwaan wujud kuota kaum dalam meluluskan permohonan bagi pelbagai jawatan yang ditawarkan menerusi SPA.

Beliau berkata permohonan bagi setiap jawatan kosong seperti yang ditawarkan dalam SPA adalah berdasarkan sistem meritrokrasi dan bukan bersandarkan kuota kaum sama ada Melayu, Cina, India atau Dayak.

Tidak sama sekali. Kita tidak boleh mengenakan kuota daripada setiap kaum dalam meluluskan permohonan kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan imej dan kredibiliti SPA,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan sidang akhbar di sini semalam.

MyKad Dikeluarkan Kepada Pekerja Asing?

Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng mahu agensi kerajaan berkaitan menyiasat dakwaan kononnya MyKad boleh dikeluarkan kepada pekerja asing warga Indonesia yang bekerja di negeri ini secara haram.

Wong berkata, beliau difahamkan pekerja haram terbabit hanya perlu menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang sekiranya mereka mengkehendaki MyKad.

Katanya, maklumat yang diterima beliau menjelaskan di Batu Niah, MyKad boleh dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

“Seandainya ia benar, maka perlu ada siasatan menyeluruh dilakukan. Jika tidak ia akan meninggalkan kesan yang mendalam sehingga mendatangkan kesan negatif kepada rakyat setempat.

“Dakwaan itu perlu dibuktikan dan pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera,” ujar beliau.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...