Tuesday, June 5, 2012

Peduli Apa Aku??


Parti Pekerja Sarawak (SWP) tidak akan berganjak daripada keputusan untuk meletakkan calon di enam kerusi Parlimen milik Parti Rakyat Sarawak (PRS) meskipun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tidak mengiktiraf konsep mesra BN yang dinyatakan parti itu sejak penubuhannya.

Presidennya Larry Sng berkata, beliau tidak terkejut dengan ulasan Najib yang menyarankan agar SWP tidak menentang PRS jika benar mereka rakan BN kerana ia disifatkannya sebagai untuk ‘kegunaan umum’.

“SWP kekal dengan pendirian untuk bertanding hanya di kerusi-kerusi PRS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Larry yang juga bekas ADUN Pelagus dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri berkata lagi, jika menang mereka akan bekerjasama dengan BN.

“Selepas menang kami akan mengundi BN dalam Parlimen,” katanya yang pernah menjadi antara pemimpin dalam PRS.


Adakah Kaum Dayak Sokong SUPP???


Sokongan masyarakat Dayak terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masih kukuh terutama di kawasan tradisional milik parti ini.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin berkata dakwaan bahawa sokongan kaum ini kepada SUPP semakin merundum adalah tidak tepat.

Katanya jika SUPP tidak lagi relevan kepada kaum Dayak, sudah pasti mereka akan keluar daripada parti tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehingga ke saat ini, SUPP katanya tidak menerima sebarang peletakan jawatan atau keluar parti daripada kalangan ahli-ahli Dayak.

“Tanggapan mudah sesetengah pihak bahawa SUPP telah kehilangan sebahagian besar sokongan masyarakat Dayak pada saya adalah tidak tepat.

“Saya sendiri baharu sahaja berkunjung ke kawasan Dayak untuk sambutan Gawai dan apa yang saya dapati ialah, SUPP nampaknya agak popular di kalangan mereka,” katanya.


Kawan Jadi Lawan???


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Donald Lawan dikhabarkan akan aktif semula dalam arena politik negara.

Menurut sebuah akhbar tabloid tempatan berbahasa Iban, Donald dilaporkan amat berminat bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai calon Bebas yang mesra Barisan Nasional (BN).

Tabloid itu melaporkan beliau berminat terhadap kerusi Parlimen Sri Aman yang ketika ini diperuntukkan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Masir Kujat selaku penyandang.

Menariknya Masir dan Donald merupakan sahabat baik malah umum sedia maklum Donald pernah membantu melobi pencalonan Masir mewakili BN pada PRU Ke-12 (2008).

Namun, tidak dapat dipastikan hasratnya itu mempunyai pertalian dengan kemungkinan Masir akan digantikan dengan calon BN yang baharu ekoran laporan-laporan kurang menyenangkan daripada ketua-ketua masyarakat di situ.

Tabloid itu pula dengan jelas menyatakan Donald akan memastikan impiannya menyingkirkan Masir sebagai Ahli Parlimen Sri Aman menjadi realiti.


Perjuangan BN Tiada Noktah...


Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu Sarawak mengecapi pembangunan yang lebih besar dan ekonomi yang maju di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, perjuangan politik pembangunan pemimpin BN membangunkan negeri ini tidak akan terhenti begitu sahaja walaupun telah terbukti berjaya mentransformasikan Sarawak selama lima dekad.

“Perjuangan kita tidak akan habis. Kita akan teruskan politik pembangunan kita. Kita mahu yang lebih besar lagi,” tegasnya.

Taib turut berterima kasih kepada rakyat kerana terus memberi kepercayaan kepada beliau dan BN memimpin negeri ini dan menang dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang lalu.

Usaha kerajaan negeri membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) antara contoh rancangan besar kerajaan untuk memperkuatkan ekonomi rakyat dan negeri.

Nasib rakyat tanpa mengira kaum dan agama di seluruh pelosok negeri ini diberi perhatian agar rakyat dapat mengecapi bersama pembangunan yang dirancangkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...