Friday, October 5, 2012

SWP Telah Kenal Pasti Calon PRU13

Parti Pekerja Sarawak (SWP) telah mengenal pasti calon-calon yang bakal dipertaruhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, kata Presidennya Larry Sng.

Bagaimanapun beliau yang mempertahankan pendirian parti akan bertanding di enam kerusi Parlimen enggan mendedahkan bakal calon mewakili parti yang baharu ditubuhkan pada Mei lepas. 

“Sudah tentu kami sudah mengenal pasti calon-calon dan akan mengumumkannya pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SWP di sini, semalam.

SWP akan bertanding di kerusi Parlimen Sri Aman, Lubok Antu, Hulu Rajang, Kanowit, Julau dan Selangau. Kerusi-kerusi tersebut merupakan kawasan diwakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diketuai Tan Sri James Masing

Mengenai ura-ura mengatakan beliau bakal bertanding di Parlimen Sri Aman, Larry yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus enggan mengulas. 

“Tunggu masa untuk kami umumkan nama calon,” katanya.

Agihkan Surat ROS Kepada Ahli SUPP

Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh semalam menggesa supaya surat yang didakwa daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 26 Mac bahawa Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) adalah sah oleh Setiausaha Agung Pemuda SUPP Wilfred Yap, didedahkan atau diagihkan kepada semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)

Pengerusi SUPP Cawangan Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa yang mewakili kumpulan Wong berkata, mereka tidak sepatutnya hanya mengedarkan surat berkenaan kepada beberapa kumpulan sahaja. 

Dr Rayong menegaskan bahawa kumpulan mereka sepatutnya mendapat surat daripada ROS seperti yang didakwa kerana mereka mempunyai hak dalam perkara berkenaan bagi mengelak sebarang keraguan. 

“Apa sahaja maklumat daripada ROS adalah penting bagi menangani isu kritikal bagi mencapai perpaduan dalam parti. 

“Kita merasakan apa sahaja maklumat daripada ROS tidak harus disimpan oleh CWC sahaja tetapi diagihkan kepada semua cawangan dan ahli supaya tidak ada yang tertinggal terutama kontroversi yang menyelubungi TDC,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Penyandang Kerusi Parlimen Tiada Jaminan Dikekalkan

Tiada jaminan penyandang kerusi Parlimen dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan dikekalkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang sehingga senarai akhir calon diumumkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman kepada media semalam apabila ditanya mengenai pemilihan calon dalam kalangan parti untuk PRU13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) ditemui pada Majlis Penyerahan Agihan Bantuan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di Dewan Saidina Al- Khattab, TBS. 

Daud bagaimanapun berkata, jika penyandang telah berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan masingmasing, masih diterima rakyat dan boleh menang untuk BN, sudah tentu peluang untuk mereka dicalonkan cerah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...