Tuesday, September 11, 2012

Dr Rauf Nafi Akan Bertanding PRU13

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Dr Rauf menafikan perkara itu selepas ada laporan yang menyatakan bahawa beliau berminat bertanding pada PRU13.

Tegasnya, beliau memberi peluang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyifatkan dirinya sebagai calon simpanan sahaja.

Tambahnya, bukan beliau sahaja dijadikan sebagai calon simpanan tetapi ada beberapa lagi ahli berkelayakan turut dijadikan sebagai calon simpanan.

Dr Rauf turut melahirkan kepercayaan dengan memberi ruang kepada muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan olehnya pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lalu dengan membuka ruang kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni bertanding menggantikan beliau.


Kerajaan Ringankan Beban Rakyat

Kerajaan sentiasa mencari inisiatif untuk meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup semakin meningkat dengan memperkenalkan beberapa pelan induk untuk mengurangkan inflasi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk membantu meringankan beban kumpulan sasar.

Antaranya inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Program Teksi Rakyat 1Malaysia dan pelbagai lagi untuk meringankan beban rakyat,” katanya.


Pondok Polis Di Perlukan

Taman Soon Hup atau lebih dikenali Taman Permai amat memerlukan pondok polis susulan peningkatan kejadian jenayah di kawasan perumahan tersebut.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang Mejar Moses Ripai berkata, kejadian seperti pecah rumah, curi kereta, curi motosikal, aktiviti laku musnah dan maksiat kerap menghantui penduduk perumahan yang perlu diambil perhatian pihak berkaitan.

“Peningkatan jumlah penduduk di taman perumahan ini semakin bertambah disebabkan penambahan kawasan perumahan.

“Kawasan ini antara kawasan perumahan kedua terbesar di bahagian ini selepas Sibu Jaya iaitu sekitar 3,000 ke 4,000 unit rumah telah dibina yang didiami pelbagai kaum.

“Peningkatan jumlah penduduk antara penyumbang kepada peningkatan jenayah di kawasan perumahan ini serta mengancam keselamatan penduduk. Saya tidak menuduh penduduk Taman Permai melakukan jenayah tetapi harus diingat jenayah boleh dilakukan sesiapa sahaja.


Hargai Kemerdekaan

Semua rakyat harus menghargai kemerdekaan yang dikecapi dan tugas kita sekarang adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut dengan apa yang kita ada sekarang kata ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie.

Beliau berkata, kemerdekaan yang dikecapi harus dihargai sebaik mungkin dan harus diisi dengan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Bagi saya kemerdekaan ini ibarat kita mendapat sebuah tempayan yang besar, tempayan itu perlu diisi jadi kemerdekaan itu perlu diisi melalui pembangunan yang kita rancang seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kemerdekaan juga umpama intan yang kita miliki dan perlu dijaga dengan baik, jangan sampai ia hilang kalau hilang kita semua akan menangis untuk mencari intan yang begitu berharga.

“Orang yang hidup lama sudah merasa betapa peritnya hidup semasa dijajah oleh Jepun dahulu, di kampung saya banyak cerita yang mendukacitakan di mana orang-orang kita diseksa semasa kita dalam pemerintahan Jepun,” katanya.


Penghinaan Negeri Sarawak Perlu Disekat

Pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta bertindak segera menyiasat isu menghina Sarawak di laman sosial Facebook sekali gus memadamkan semua kenyataan yang cuba menanam kebencian dan cuba melaga-lagakan rakyat negara ini.

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin iaitu Datuk Sebastian Ting memberitahu kenyataan tersebut amat tidak bertanggungjawab dan berniat untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat negara ini.

Tiada negara di dunia boleh membangun tanpa perpaduan dan kestabilan di kalangan rakyat dan oleh itu kita perlu mempertahankan perpaduan dan kestabilan kita kerana kita adalah rakyat Malaysia dan tiada perbezaan antara kita.

Justeru apa rasional kenyataan yang memburukkan rakyat Sarawak seperti yang disiarkan dalam laman portal tersebut kerana kita tidak tahu apa tujuan sebenar mereka mengeluarkan kenyataan tersebut,” tambah beliau.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...