Tuesday, October 2, 2012

Kepimpinan BN Disokong

Persatuan Kebudayaan Cina Lawas berikrar akan terus memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak menyediakan program pembangunan bagi memastikan daerah Lawas terus membangun.

Pengerusinya Kaunselor Liaw Ho Peng berkata masyarakat Cina sememangnya banyak terhutang budi kepada pemimpin khususnya Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung yang berkhidmat untuk kebaikan semua kaum.

“Kita berasa amat bertuah kerana mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat. Awang Tengah dan Henry sentiasa berusaha dan memberi kemajuan kepada Lawas.

“Sememangnya kita terhutang budi dan patut berterima kasih kepada pemimpin kita kerana membawa banyak kebaikan kepada masyarakat Cina di sini,” katanya pada Festival Kuih Bulan, di sini malam kelmarin. 

 Justeru katanya, masyarakat Cina perlu memberi sokongan padu kepada pemimpin terbabit demi memastikan kesinambungan daerah ini terus membangun.

Penjawat Awam Berhibur Hingga Larut Malam

Pusat-pusat hiburan menjadi ‘lubuk’ tempat berhibur segelintir penjawat awam di sini.

Situasi ini sangat menyedihkan kerana kakitangan yang dianggap sebagai kaki pub oleh masyarakat berpotensi mengganggu Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan berasaskan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Tabiat buruk ini sudah tentu mengganggu prestasi kerja mereka akibat sering pulang lewat ke rumah hingga larut malam atau dinihari (pagi) dan terpaksa pula bangun awal untuk bekerja pada hari berikutnya atau beberapa jam kemudian. 

Tinjauan eksklusif Utusan Borneo pada hujung minggu lalu di beberapa premis hiburan yang sering menjadi ‘lubuk’ kepada golongan terbabit di sini, mendapati golongan inilah yang banyak memenuhi premis-premis hiburan di sini. 

Kegiatan penjawat awam suka mengunjungi pusat-pusat hiburan memang sudah lama berlaku dan diperhatikan di sini.

Kesan buruk yang timbul disebabkan kegiatan suka mengunjungi pusat hiburan ialah golongan itu suka berhutang, ponteng kerja, boros, perceraian, kemerosotan prestasi dan produktiviti kerja dan sebagainya.

Perokok Berjaya Henti Merokok Diberi Sijil

Lapan perokok tegar yang berjaya melepaskan tabiat merokok mereka untuk tempoh enam bulan menerima sijil penghargaan masing-masing. 

Satu majlis ringkas telah diadakan bagi menghargai para penerima sijil berkenaan diadakan di Poliklinik Jalan Lanang, di sini. 

Mereka adalah antara 23 daripada 184 perokok yang telah berdaftar dengan Poliklinik Lanang dan Poliklinik Jalan Oya di sini untuk berhenti merokok sejak Januari 2011. 

Angka ini merupakan satu kadar 12.5 peratus daripada perokok yang telah berjaya berhenti merokok dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

TR1Ma: PTM Mohon Maaf, Akui Kesilapan

Persatuan Teksi Miri (PTM) memohon maaf kepada Ahli Parlimen Miri merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin dan agensi berkaitan kerana mengeluarkan kenyataan bahawa pemberian baucar Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkan sebelum ini tidak wujud. 

Setiausaha PTM Lias Julaihi berkata beliau mengakui mengeluarkan kenyataan yang menyebut pemberian baucar TR1Ma adalah satu pembohongan dalam satu sidang media yang kemudian diterbitkan dalam akhbar tempatan. 

“Memang hari itu saya membuat aduan di surat khabar, kerana saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan pemandu teksi yang lain bahawa baucar itu tidak wujud dan hanya diberikan untuk mereka di Semenanjung Malaysia.”

“Kami mengakui menerima maklumat yang salah, justeru saya memohon maaf kepada Chin dan agensi berkaitan terutama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Rakyat Lubok Antu Diajak Terus Menyokong William Nyalau

Tuai Rumah Lawen Nanga Mepi di sini mengajak ketua-ketua masyarakat dan rakyat Lubok Antu menyokong penuh Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak sekiranya diberi kepercayaan mengibar bendera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. 

Lawin berkata, Nyalau adalah seorang pemimpin yang mesra rakyat dan paling layak menjadi wakil rakyat Lubok Antu buat penggal keduanya. 

Menurut beliau, anak Jati Rumah Lepang Gerang, Sayat, Lubok Antu itu mempunyai ciri-ciri sebagai seorang wakil rakyat yang prihatin, merendah diri dan berbudi bahasa dan pemimpin seperti inilah yang harus disokong memimpin Parlimen Lubok Antu. 

“Saya yakin Nyalau mempunyai peluang cerah untuk memenangi Parlimen Lubok Antu kerana beliau mempunyai pengaruh dan sokongan kuat rakyat di sini. 

“Tambahan pula, Nyalau kerap turun padang untuk mengetahui masalah kita di sini dengan lebih dekat. Jadi berilah sokongan kepada Nyalau nanti,” katanya.

Tidak Prihatin Pekerja Miskin

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kesal dengan pendirian Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mahukan penangguhan pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja restoran dan kedai kopi. 

Menurut kenyataan akhbar oleh Setiausaha MTUC Sarawak Andrew Lo, ini hanya membuktikan bahawa parti itu tidak mendengar seruan pekerja miskin yang berpendapatan serendah RM300 sebulan.

“Restoran rantaian francais makanan segera global di Sarawak masih membayar pekerjanya sebanyak RM2.50 sejam, dalam kadar yang sama seperti 20 tahun lalu. 

“Sedangkan harga burger telah meningkat dari RM1.80 kepada RM4.50.

“Selain itu industri terbabit juga terkenal dari segi mengelak pembayaran KWSP untuk pekerja dengan membayar perkhidmatan mata yang masih diragui. 

“Ia juga telah menipu pengguna dengan peningkatan harga kopi sebanyak 20 sen secawan sedangkan harga gula hanya dinaikkan sebanyak 20 sen sekilo.” tambahnya.

Pemimpin Dan Rakyat Harus Bekerjasama

Rakyat Sarawak harus bersedia menerima perubahan dan kemajuan serta bekerja sama rapat dengan kerajaan jika mahu menikmati manfaat daripada pembangunan negeri ini. 

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata setiap pembangunan dijalankan kerajaan memerlukan penglibatan dan penilaian rakyat terhadap kemajuan dikecapi hari ini serta kemungkinan yang berlaku pada masa depan.

Beliau berkata semua orang mahukan perubahan dan kemajuan tetapi mungkin ramai tidak tahu bahawa perubahan dan kemajuan amat bergantung kepada kerjasama yang baik antara pemimpin dan rakyat. 

“Rakyat Sarawak harus bersedia untuk berubah dan paling penting bekerjasama dengan kerajaan. 

“Parti politik apa yang anda pilih itu adalah urusan peribadi anda… kami dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) masih kekal harmoni kerana ahli kami rata-ratanya daripada mereka yang kurang berkemampuan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...