Monday, September 10, 2012

Kenaikan RON97 Tidak Jejas Pengguna

Kenaikan harga RON97 daripada RM2.70 seliter kepada RM3 sejak tengah malam Rabu lepas tidak menjejaskan ramai pengguna memandangkan rata-rata menggunakan RON95.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah akan menyebabkan kenaikan harga sesetengah barang, atau lebih teruk, akan disusuli dengan kenaikan RON95.

Ketika ditemui Utusan Borneo kelmarin, Mohd Azli Ejas menyifatkan kenaikan RON97 sebagai sesuatu yang lumrah dan merupakan perkara yang dijangkakan.

“Apa yang saya khuatiri, akan ada sesetengah pihak akan menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan harga barangan, kononnya kos pengangkutan naik,” kata lelaki berusia 33 tahun itu.

Beliau yang berasal dari Muara Tuang menjelaskan, bagaimanapun kenaikan itu tidak menjejaskan keluarga berpendapatan sederhana memandangkan mereka memilih untuk menggunakan minyak subsidi, RON95.

“Adil untuk saya katakan, ia biasa berlaku kebelakangan ini kerana kadang-kadang minyak RON97 naik, kadang-kadang minyak turun.

“Tetapi perkara itu saya rasa tidak menjejaskan pengguna RON97 juga kerana mereka daripada kalangan yang berkemampuan, manakala kita memang menggunakan minyak subsidi,” katanya yang bekerja di sebuah kilang.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...