Thursday, November 1, 2012

Jangan Terpengaruh Seruan Keluar Malaysia

Rakyat Sarawak disaran tidak terpengaruh dengan ideologi kumpulan gerakan pemisah Sarawak Sabah Keluar Malaysia (SSKM) yang diuar-uarkan dalam laman sosial ketika ini.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata SSKM sengaja mewujudkan satu akaun baharu dalam laman sosial bertujuan untuk meracuni dan mengelirukan rakyat Sabah dan Sarawak.

“SSKM sengaja memutar belit beberapa fakta berkaitan perjanjian dalam penubuhan Malaysia, malah menyifatkan kerajaan persekutuan tidak menghormati Perkara 18/20 Perjanjian Penggabungan 1963,” katanya kepada Utusan Borneo semalam. 

Beliau memberitahu, gerakan pemisah SSKM itu kemungkinan didalangi oleh ahli-ahli politik yang kurang senang dengan pentadbiran kerajaan Malaysia sehingga cuba menimbulkan isu sensitif. 

“SSKM tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan ia bergerak secara haram melalui laman sosial dengan menghasut, mengeliru dan menipu rakyat Sabah dan Sarawak,” jelasnya. 

Tambahnya sekiranya SSKM terus dibiarkan meracuni pemikiran rakyat Sabah dan Sarawak dalam laman sosial, maka ia boleh mengganggu gugat ketenteraman majoriti rakyat Borneo.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...