Wednesday, October 3, 2012

Sarawak Dianaktirikan??

Pembangkang melihat Sarawak terus dianaktirikan dalam ‘semanis-manis’ Belanjawan 2013 yang turut disifatkan bakal melonjakkan hutang negara kerana tidak memberi banyak penekanan khasnya dari segi infrastruktur.

Sambil menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 mengecewakan, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Wong Ho Leng berkata, sementara Semenanjung Malaysia mendapat pelbagai projek pembangunan infrastruktur, kawasan pedalaman di Sarawak pula hanya menerima tangki air berbanding diberi projek pembinaan struktur penyimpanan air yang kekal.

“Perkara ini tidak memberi banyak manfaat kepada penduduk Sarawak, khususnya dalam jangka masa panjang kepada penduduk kawasan pedalaman.

“Seperti mana yang kita sedia tahu, banyak yang perlu dibangunkan seperti jalan raya, bekalan air dan juga elektrik,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu turut melahirkan kekesalan kerana tidak ada satu sen diperuntuk bagi menaik taraf jalan raya Pan Borneo, walhal ia amat memerlukan perhatian dan telah melibatkan banyak kemalangan.

Berhubung subsidi tong gas yang diberikan kepada penduduk Sarawak pula, beliau memberitahu ia tidak memadai malah perlu dijual dengan harga lebih murah memandangkan negeri ini adalah pembekal minyak dan gas.

“Tetapi nampaknya orang tengah, seperti dalam sektor pengangkutan mengambil kesempatan dari perkara tersebut,” katanya. 

Pada masa sama, beliau menyifatkan pembentangan Belanjawan 2013 itu sebagai cara meraih undi semata-mata serta mempersoalkan sumber wang yang bakal digunakan untuk membiayai belanjawan tersebut.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...