Monday, October 1, 2012

Pelajar Tidak Bertopi Keledar Dipandang Serius

Keseriusan pihak polis dalam menangani masalah kegagalan memakai topi keledar ketika menunggang motosikal di kalangan pelajar disambut baik.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sibu Jaya Danggang Ugik berkata pihaknya memang memandang serius perkara itu. 

Beliau berkata pihaknya menggunakan pelbagai cara untuk menangani gejala itu malah turut mengingatkan ibu bapa agar mengambil serius perkara terbabit. 

“Beberapa perkara perlu kita lihat sebagai contoh pelajar terbabit ketika menunggang motosikal tidak memakai topi keledar. 

“Kalau di luar sekolah, pihak sekolah tidak seharusnya dipersalahkan kerana ibu bapalah yang paling rapat dengan mereka. 

“Saya berpendapat, para pelajar tahu bahawa tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal adalah satu kesalahan. Tetapi, mereka sangat ego dan hanya mahu diri mereka sentiasa menjadi tumpuan,” katanya.

Belanjawan 2013 Ke Arah Masyarakat Berpendapatan Tinggi

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan Belanjawan 2013 sebagai satu percubaan yang berjaya oleh kerajaan dalam peralihan ke arah masyarakat berpendapatan tinggi.

Beliau yang ditemui pemberita selepas perasmian Hari Jantung Sedunia 2012 di Taman Sahabat di sini semalam berkata format belanjawan kali ini tidak hanya merangkumi bilangan besar rakyat yang terjejas akibat perubahan agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan. 

Malah menurut Taib, ia juga merangkumi persoalan bagaimana rakyat yang paling terjejas didahulukan.

“Saya berpendapat ini adalah permulaan kepada usaha kerajaan untuk menangani masalah kemewahan dalam masyarakat. 

“Ia bukan persoalan menangani kemiskinan, ia adalah persoalan menyeimbangkan perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat kemewahan,” katanya. 

Tambah Taib, Belanjawan 2013 juga cuba ditambah baik dengan mengambil kira kos kehidupan serta mengenal pasti kumpulan yang tidak mendapat perhatian sebelumnya disebabkan masalah yang tidak difahami.

Mulu Mungkin Hilang Pelancong

Tapak Warisan Dunia, Taman Negara Gunung Mulu mungkin berdepan dengan kehilangan pelancong pada masa akan datang berikutan kos penerbangan yang terlalu tinggi. 

Pengurus Besar yang juga operator pelancongan, Pearl Suites Grand Hanoi Hotel Alex Dlee berkata, beliau hanya membayar RM300 untuk terbang dari Hanoi ke Kuala Lumpur berbanding jumlah yang dibayar semasa di Mulu yang jauh lebih mahal.

“Saya lihat begitu ramai pelancong datang melawat Mulu namun pelancong tempatan amat kurang. 

“Saya percaya ramai yang mahu datang namun kos penerbangan ke sana sangat tinggi menyebabkan mereka mungkin tidak berminat untuk datang. 

“Sebaliknya, mereka lebih cenderung melancong ke destinasi lain dalam negara atau luar negara yang lebih murah.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, tidak hairan Mulu akan kehilangan pelancongnya,” katanya ketika ditemui di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...