Monday, April 30, 2012

Jelajah Janji Ditepati Sarawak Disambut Baik

Rakyat Sarawak menyambut baik program Jelajah Janji Ditepati yang disifatkan sebagai manifestasi kerajaan dalam menunaikan segala janji yang diberikan kepada rakyat sebelum ini.

Menurut seorang pengunjung yang ditemui semasa program berkenaan semalam, Ramzi Sa’at, 29, program tersebut membolehkan kerajaan mendengar permasalahan rakyat secara terus dan menyelesaikannya dengan serta-merta.

Tambahnya, program berkenaan merupakan pencapaian dalam usaha membangunkan rakyat sebagai usaha membawa perubahan yang dipamerkan bagi rakyat menilainya.

“Buktinya, kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke sini membawa banyak berita gembira apabila memberikan pelbagai peruntukan dan bantuan untuk pembangunan rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui di karnival sempena Jelajah Janji Ditepati di pekarangan parkir kereta Wisma Bapa, Petra Jaya semalam.

Ramzi dari Kampung Astana yang datang bersama keluarganya menambah, melalui program seumpama itu, Perdana Menteri dapat menyelami masalah rakyat dan menyelesaikannya dengan cepat.

“Itulah pemimpin yang kita mahukan dan ia perlu dicontohi pemimpin di negeri ini,” tegasnya.

Pemuda PBB Harap Ahlinya Dicalonkan

Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri yakin pucuk pimpinan tertinggi parti akan memberi peluang kepada beberapa muka baharu barisan Pemuda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Gerald Rentap Jabu berkata barisan Pemuda PBB Negeri sememangnya berharap setiap kali pilihan raya negeri atau pusat ahli-ahlinya akan dicalonkan.

“Kami sememangnya mempunyai ahli-ahli yang profesional dan layak untuk dipilih sebagai calon pada PRU13 nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Calon Mesti Mesra Rakyat

Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon yang bukan sahaja mampu memberi perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga merupakan individu yang mudah didekati dan mendampingi rakyat.

Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar berkata saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan calon boleh menang dan bukannya kegemaran parti perlu difahami sedalamnya.

“Kita mempunyai ramai calon yang boleh menang namun ia tidak bererti jika calon itu hanya dikenali daripada kalangan parti politik berbanding rakyat setempat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau memberitahu, mana-mana calon yang difikirkan boleh menang pada pilihan raya kelak perlu mempunyai komitmen yang tinggi untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Seperti sebelum ini, saya menyarankan BN supaya mengekalkan penyandang yang sudah memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat kerana mereka juga merupakan calon boleh menang dan digemari rakyat,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...