Monday, October 1, 2012

Pendapat Keluar BN Dibawa Ke Perhatian Pemimpin: Chin

Pucuk pimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan membawa ke perhatian pimpinan Barisan Nasional (BN) berhubung pendapat dan pandangan agar parti itu keluar dari gabungan tersebut seperti disuarakan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat (CC) pada mesyuarat Ahad lepas.

Presidennya Datuk Seri Peter Chin semalam berkata, tidak ada usul berkenaan perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) pada 23 September lalu.

Menurutnya, pada mesyuarat lepas ramai ahli-ahli CC membahaskan kedudukan parti yang sukar dalam pentadbiran BN negeri termasuk kemungkinan keluar dari BN negeri. 

“Kami ingin menyatakan tidak ada resolusi mahupun keputusan dibuat berhubung kedudukan SUPP dalam BN. 

“Bagaimanapun, adalah menjadi tugas kami di kepimpinan pusat parti untuk membawa perkara ini kepada kepimpinan BN dengan segera.

Wong Soon Koh Disiasat

Jawatankuasa Pusat (CC) menggesa semua cawangan agar menghantar aduan terhadap Dato Sri Wong Soon Koh dalam tempoh dua minggu untuk siasatan sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, pihaknya masih mengumpul sebanyak mungkin aduan berhubung Wong dan individu-individu lain yang terlibat untuk dirangkumkan sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin.

“Kita tidak boleh mengabaikan suara pihak lain, tetapi aduan-aduan ini mesti berasas. 

“Justeru, kami menggesa semua cawangan untuk menghantar sebarang aduan yang berasas kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk siasatan dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Orang Ulu Yakin Dapat Tempias Belanjawan 2013

Masyarakat Orang Ulu yakin dapat menikmati tempias daripada peruntukan besar dalam Belanjawan 2013 yang disalurkan kepada penduduk di kawasan pedalaman negeri ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Datuk Abu Bakar Abdullah berkata etnik Orang Ulu yang kebanyakannya tinggal di kawasan Ulu Baram, Miri sememangnya amat menanti-nantikan ledakan pembangunan di kawasan mereka.

“Kami sentiasa bekerjasama dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan penempatan masyarakat Orang Ulu. 

Malah, kami juga mengamalkan semangat bermuafakat dalam menerima arus perubahan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya di sini semalam. 

Mengulas Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen, Kuala Lumpur Jumaat lalu, Abu Bakar percaya peruntukan dengan sejumlah yang besar itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat luar bandar. 

LawasBoy berpendapat masyarakat luar bandar sememangnya amat memerlukan perubahan drastik dari segi pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...