Thursday, March 8, 2012

Pembangkang Guna ‘Kanta Pembesar’ Cari Salah BN

Pihak pembangkang mula menggunakan ‘kanta pembesar’ untuk mencari pelbagai isu yang boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Mong Dagang berkata, pihak pembangkang mula bertindak demikian memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan tidak lama lagi.

Mong mendakwa, sehinggakan rumput yang tumbuh di tengah jalan akan dipersoalkan oleh mereka.

Begitu juga dengan isu pemberhentian bantuan pertanian kepada Frusis Lebi yang sengaja diperbesarkan oleh mereka demi kepentingan politik pihak mereka, ujarnya.

“Itu taktik mereka untuk meraih sokongan politik dan dengan berbuat demikian mereka mahu rakyat memberi sokongan kepada mereka dan seterusnya membenci kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Bersama Ketua Kaum Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bukit Begunan yang diadakan di Dewan Suarah Sri Aman, di sini, semalam.

Selain itu Mong yang juga ADUN Bukit Begunan meminta rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman agar tidak menggadaikan masa depan pembangunan di penempatan masing-masing nanti.

Sehubungan itu beliau menasihat rakyat agar jangan mudah terpengaruh dengan hasutan berhubung isu pembatalan bantuan pertanian kepada Frusis apabila tiba musim PRU nanti.

“Frusis sudah mendapat banyak bantuan pertanian daripada kerajaan berbanding rakyat yang lain.
“Jadi adalah tidak berbaloi hanya kerana Frusis, rakyat lain tidak mendapat bantuan seperti itu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Bukit Begunan Jiram Chendang dan 210 orang ketua kaum termasuk tuai-tuai rumah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...