Friday, March 9, 2012

46 Majikan Di Putatan Gagal Daftar Perkeso

Sebanyak 46 majikan sekitar daerah Putatan dikenal pasti gagal berdaftar kepada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, Dr Mohammed Azman Mohammed berkata melalui Operasi Kesan (Ops Kesan) yang dilaksanakan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari di sekitar daerah berkenaan turut menyaksikan lawatan ke 152 buah syarikat yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana serta sektor perkhidmatan.

Daripada jumlah itu, Azman mendedahkan 46 majikan tidak melakukan pendaftaran pekerja mereka ke Perkeso setelah Ops Kesan dilakukan di kawasan terbabit yang mana 17 daripadanya didaftarkan serta merta melalui program pengesanan seperti dilaksanakan kelmarin.

“Sebanyak 17 daripada 46 majikan yang gagal berdaftar itu kemudiannya didaftar serta merta selepas program pengesanan.

“Bagi mereka yang belum berdaftar, kita minta mereka supaya dapat berbuat demikian secepat mungkin, tindakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja akan diambil sekiranya gagal melakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata majikan yang terbabit perlu hadir ke Perkeso secepat mungkin agar tiada tindakan atau kompaun dikenakan terhadap mereka dan tempoh diberikan adalah seminggu daripada tarikh amaran dikeluarkan.

“Diharap majikan faham tujuan Perkeso melaksanakan program mesra majikan iaitu untuk memberikan maklumat dan pemahaman bahawa mereka wajib berdaftar demi kebajikan pekerja.

“Saya juga berharap agar majikan memahami tanggungjawab Perkeso yang mana kita tidak ingin menghukum mereka tetapi ingin membantu majikan dan membantu pekerja mereka,” katanya.

Azman berkata demikian pada sidang media bersempena pelaksanaan Ops Kesan Perkeso yang turut dihadiri oleh Pengarah Negeri, Mariam Hassan di sini kelmarin.

Menurutnya, secara keseluruhan majikan yang dikesan itu mempunyai kurang 10 pekerja. Program itu mampu melihat suasana yang mana majikan kecil dan sederhana kurang faham kewajipan berdaftar dengan Perkeso.

Menyentuh sama ada para majikan memahami prosedur Perkeso, Azman menggesa sekiranya pendaftaran niaga sebagai sendirian berhad dan mempunyai pekerja dengan berpendapatan kurang RM3,000 maka adalah wajib berdaftar.

“Selain Ops Kesan Perkeso, kita juga mempunyai pendekatan lain yang berobjektif memberi penerangan serta kesedaran kepada umum berkaitan perkhidmatan kami.

“Kita juga mengeluarkan iklan dalam media massa dan elektronik, meminta majikan hadir dan mendaftar dengan Perkeso,” katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...