Tuesday, November 20, 2012

Kewangan S’wak Terus Kukuh

Kedudukan kewangan negeri bagi tahun 2013 dijangka kekal sihat dan kukuh dengan lebihan Belanjawan 2013 berjumlah RM83 juta.

Penjanaan lebihan belanjawan ini adalah berdasarkan kepada jangkaan jumlah pendapatan sebanyak RM4.1 bilion berbanding perbelanjaan lazim berjumlah RM4 bilion termasuk peruntukan Akaun Dana Pembangunan (DFA). 

Menteri Kewangan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika pembentangan cadangan Belanjawan 2013 semalam berkata untuk merangsang aktiviti ekonomi dan menyokong pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun, negeri memerlukan belanjawan yang menjurus kepada pembangunan. 

Oleh itu katanya, sejumlah RM3.4 bilion atau 69 peratus daripada Belanjawan Negeri 2013 dicadangkan untuk pembangunan manakala selebihnya, RM1.5 bilion atau 31 peratus adalah untuk perbelanjaan operasi. 

Malah katanya, bertepatan dengan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kedudukan kewangan negeri kekal sihat dan kukuh, Belanjawan 2013 dijangka mempunyai lebihan berjumlah RM83 juta.

“Dalam usaha kita mencapai lebih banyak pembangunan yang seimbang dan luas serta menyokong pertumbuhan ekonomi, Belanjawan 2013 juga akan fokus kepada objektif-objektif dan strategi-strategi utama seperti menyediakan peruntukan mencukupi bagi kejayaan pelaksanaan dan penyelesaian semua projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Selain itu, Belanjawan 2013 turut akan fokus kepada kesinambungan rancangan jangka panjang transformasi dan penstrukturan semula ekonomi dan sosial bagi memastikan pengagihan pembangunan yang sama rata di seluruh negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Unda-ngan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, Petra Jaya di sini semalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...