Monday, April 23, 2012

Cubaan Menjatuhkan Nancy Shukri

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri enggan melayan surat layang yang cuba menjatuhkannya dan hanya mahu memfokuskan kepada perkhidmatan untuk membangunkan rakyat di kawasannya.

Malah, beliau menyifatkan ia hanya berkepentingan peribadi individu tersebut yang ingin dicalonkan dalam pilihan raya akan datang ini.

“Dia nak jadi calon sebab itu dia tulis surat sebegitu, saya tahu siapa dia, kalau dia nak jadi calon tidak perlu dia burukkan saya, hanya buktikan kamu dapat melakukan kerja membangunkan rakyat.

“Biar orang (rakyat) menilai kita, tidak perlu kita memburuk-burukkan orang lain, sebab itu saya tidak mahu mengendahkan perkara ini jadi saya hanya fokus kepada kerja saya untuk memajukan rakyat di kawasan saya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas perasmian Karnival Sukan Komuniti 1Malaysia di sini semalam.

Nancy berkata lagi, beliau menyerahkan masyarakat di peringkat akar umbi untuk menilai prestasinya selama berkhidmat di kawasan itu.

“Terpulang kepada orang untuk melihat dan menilai persepsi dan prestasi kita.

“Saya tetap melakukan tugas saya, orang sebegini terlalu banyak berpolitik tetapi bagi saya kerja dengan turun padang bersama rakyat lebih penting daripada banyak sangat berpolitik,” tambahnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...