Monday, April 23, 2012

Wan Junaidi Sedia Berkhidmat

Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuarakan kesediaannya untuk berkhidmat di konstituensi Santubong yang disandangnya selama dua penggal itu sekiranya beliau dicalonkan semula bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ini kerana, menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, kepercayaan dan mandat penuh oleh rakyat kepadanya memberi semangat juang yang tinggi untuk beliau berkhidmat dengan lebih gigih dalam memastikan konstituensinya terus mengecapi pembangunan dan kemajuan.

“Sejak menjadi Ahli Parlimen pada tahun 2004 dan seterusnya tahun 2008, banyak perubahan telah saya bawa.

“Dan pada kali ini kalau terus dikurniakan kesihatan serta kekuatan, mandat rakyat agar saya dicalonkan semula pada PRU13 dan kemudian menjadi semula Ahli Parlimen akan saya sempurnakan dengan memberi perkhidmatan cemerlang yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ‘Lan Minum Petang Ngan Datuk Wan Junaidi’ bersama penduduk Kampung Tabuan Lot di Surau Darussalam Kampung Tabuan Lot dekat sini, semalam.

Wan Junaidi berkata berdasarkan rekod PRU11 (2004) dan PRU12 (2008), beliau telah memperolehi kemenangan yang cemerlang dengan majoriti lebih 10,000 undi bagi setiap pilihan raya.

“Atas dasar sokongan rakyat sebeginilah yang membuatkan saya berazam untuk memberi perkhidmatan dengan sebaik mungkin,” katanya bagi mengulas rekod kemenangannya itu.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...