Wednesday, November 14, 2012

Nasib Si Penjual Diesel Haram

Malang bagi seorang pengusaha bengkel apabila kegiatannya menjual diesel secara haram dapat dikesan oleh tiga pihak agensi penguat kuasa.

Ia bermula apabila satu pa-sukan dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) datang memeriksa bengkel berkenaan semalam setelah menerima aduan bahawa premis tersebut di sebuah rumah kedai di KM15, Jalan Penrissen di sini, menjejaskan kawasan persekitaran.

Bagi mengelak kemungkinan diambil tindakan, pengusaha bengkel yang berumur dalam lingkungan 30-an itu cuba memberi suapan kepada kakitangan NREB, namun enggan diterima oleh mereka. 

Sebaliknya, kakitangan NREB itu menghubungi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini yang kemudian menghantar pegawai-pegawainya ke bengkel tersebut untuk memeriksa.

Pegawai-pegawai tersebut menjumpai sebuah tangki geluncur dan sebuah trak penuh dengan tong-tong yang berisi diesel. 

Mengesyaki pengusaha bengkel itu terlibat dengan kegiatan haram yang lain, pegawai-pegawai SPRM itu menghubungi pejabat penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) di sini, memberitahu hasil penemuan mereka itu. 

Pengarah KPDNKK negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman mengerahkan unit penguatkuasanya untuk memeriksa yang kemudian melaporkan bahawa bengkel berkenaan tidak memiliki lesen menjual diesel.

“Kami menyita tangki geluncur tersebut yang dipercayai berisi kira-kira 10,000 liter bahan berkenaan dan 8,000 liter bahan sama sebagai kargo di dalam trak,” kata-nya kepada pemberita di sini. 

Wan Ahmad Uzir berkata nilai trak bersama bahan yang dirampas itu melebihi RM100,000 sambil menambah bahawa pengusaha bengkel itu boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata pihak SPRM masih menyoal pengusaha bengkel itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...